Menu

 

A+ A A-

PENGISLAMAN UMAR & HAMZAH

Lanjutan daripada cerita tentang keadaan umat Islam yang terseksa di Makkah. Adakah nasib malang umat Islam ini berterusan tanpa sebarang perubahan?

Jawapan

Nasib umat Islam pasti akan terbela. Itu janji Allah bagi Mukminin yang setia mengesakan-Nya. Buktinya, selepas melalui beberapa siri penderitaan di Makkah, nasib mereka benar-benar terbela. Ini berikutan pengislaman dua tokoh besar Quraisy iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib dan Umar bin al- Khattab.

Hamzah ialah bapa saudara dan juga adik beradik susuan Rasulullah. Hubungan akrab antara mereka berdua mendorong hidayah Allah kepada Hamzah untuk menerima Islam.

Pada awalnya, pengislaman beliau lebih bersifat peribadi. Beliau terpanggil untuk mempertahankan Nabi dari celaan dan hinaan oleh Musyrikin. Namun kemudiannya kesucian Islam meresap masuk ke jiwanya. Hamzah menjadi antara orang yang paling teguh berpegang serta mempertahankan Islam.

Pada suatu hari sepulangnya daripada berburu, Hamzah mendapat berita daripada hamba wanita milik Abdullah bin Jud’an. Ia menceritakan penghinaan yang dilakukan oleh Abu Jahal terhadap Nabi di Bukit Safa. Hamzah bergegas menerpa masuk ke majlis yang dihadiri Abu Jahal. Lalu ia memukul kepala Abu Jahal dengan busur panahnya sehingga kepala musuh Islam ini berdarah. Hamzah kemudiannya mengisytiharkan pengislamannya kepada Abu Jahal dan orang Quraisy yang berada di situ.

Namun selepas itu, Hamzah menjadi ragu-ragu tentang keputusannya memeluk Islam sehingga fikirannya menjadi kacau bilau dek hasutan syaitan. Pada keesokan harinya, beliau datang bertemu Rasulullah dan akhirnya dengan berkat nasihat Baginda, keyakinannya terhadap Islam bertambah kukuh.

Pengislaman Umar

Bagaimana pula kisah pengislaman Sayidina Umar al-Khattab?

Jawapan

Sayidina Umar al-Khattab memeluk Islam tiga hari selepas pengislaman Hamzah. Ia berlaku selepas hijrah pertama umat Islam ke Habsyah pada tahun kelima kerasulan. Sebelum memeluk Islam, beliau banyak menindas dan membuli umat Islam seperti yang lazim dilakukan oleh pembesar Quraisy yang lain.

Umar memeluk Islam berikutan doa Rasulullah: “Ya Allah! Teguhkanlah Islam dengan salah seorang yang paling Engkau cintai antara Abu Jahal atau Umar al-Khattab.” (Riwayat al-Tirmizi) Bagi memahami kisah pengislaman Umar, mari kita lihat beberapa peristiwa penting sebagaimana yang digambarkan oleh jadual berikut:

pengislaman-umar-dan-hamzah-2

pengislaman-umar-dan-hamzah-3

Impak Pengislaman

Apakah impak yang diterima oleh umat Islam dengan pengislaman dua tokoh hebat ini?

Jawapan

Setelah pengislaman Umar, umat Islam yang telah sekian lama dihalang daripada bersolat dalam Masjid al- Haram dapat bersolat kembali di dalamnya, bahkan di hadapan Kaabah. Abdullah bin Mas’ud mengakui pengislaman Umar menjadi sebab kemuliaan serta keteguhan Islam di Makkah.

Sayidina Umar juga banyak menentang penindasan Musyrikin Quraisy. Berikutan pengislaman serta tindakan agresifnya, Umar pernah diancam bunuh. Percubaan itu dihalang oleh teman setianya semasa Jahiliah iaitu al-‘As bin Wa’il. (Sahih al-Bukhari dan Sirah Ibn Ishaq)

Wallahu a‘lam.

ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18

 


 


 

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas