Menu

 

A+ A A-

PERBANKAN ISLAM LEBIH UNGGUL

Kali ini kita ingin melihat perbezaan antara perbankan Islam dan perbankan konvensional dari dua aspek lagi iaitu aspek operasi dan produk.

1.Aspek Operasi dan Tadbir Urus

Perbezaan antara perbankan Islam dan perbankan konvensional dari aspek operasi dan tadbir urus boleh dilihat berdasarkan gambar rajah dan huraian berikut:

1PILU

2.Aspek Produk dan Perkhidmatan

Perbezaan antara perbankan Islam dan perbankan konvensional berdasarkan produk dan perkhidmatan adalah sebagaimana berikut:

2PILU

DEPOSIT SIMPANAN/SEMASA

Dalam produk deposit, perbankan Islam menstrukturkan produk tersebut dengan menggunakan kontrak wadi’ah yad dhaman iaitu simpanan dengan jaminan. Hibah atau hadiah akan diberikan kepada penyimpan, tertakluk kepada budi bicara bank. Berbeza dengan produk akaun simpanan di bank konvensional, setiap pemegang akaun dijanjikan pulangan tertentu untuk simpanan yang dibuat. Akibatnya, berlaku riba kerana dalam produk akaun simpanan, pihak bank telah meminjam duit yang disimpan oleh pelanggan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaannya. Justeru, sebarang pertambahan dalam bentuk pulangan kepada simpanan pelanggan adalah dikira sebagai riba daripada transaksi pinjaman.

 3PILU

DEPOSIT PELABURAN

Dalam kontrak pelaburan, perbankan Islam menggunakan konsep perkongsian keuntungan, berdepan risiko sebenar dan tidak membebankan kedua-dua pihak atau salah satu pihak yang terlibat. Sebagai contoh, dalam kontrak al-mudharabah (pelaburan), pelanggan sebagai pelabur dan bank sebagai pengusaha berkongsi keuntungan ketika mendapat keuntungan, manakala kerugian akan ditanggung oleh pelabur. Ini bertepatan dengan kaedah fiqah yang bermaksud “setiap pulangan adalah dengan risiko”. Perkongsian untung dan risiko secara sebenar ini adalah adil dan tidak membebankan mana-mana pihak. Berbeza dengan pelaburan konvensional yang menjanjikan pulangan tetap pada awal kontrak, yang mana pelaburan ini tidak melibatkan perkongsian sebenar antara pihak terlibat. Pulangan tetap yang dijanjikan pada awal kontrak pelaburan ialah riba dan haram dalam Islam.

 4PILU

PRODUK PEMBIAYAAN

Dalam pembiayaan, perbankan Islam menstruktur produk tersebut dengan menggunakan pelbagai kontrak syariah seperti BBA, murabahah, istisna, ijarah dan sebagainya. Contohnya,proses pembiayaan peribadi misalnya dibuat menerusi kontrak jual beli yang menghasilkan hutang(debt/dayn) seperti bai‘al-inah dan juga tawarruq. Hutang yang dihasilkan bukan daripada kontrak pinjaman tetapi kontrak jual beli. Keuntungan yang diterima daripada perbankan Islam adalah hasil daripada ‘profitrate’ dalam bentuk harga jualan. Berbeza dengan konvensional, pelanggan akan menerima hutang hasil pinjaman wang daripada bank dan keuntungan yang diterima bank berdasarkan(‘interestrate’) atau dikenali riba.

5PILU

Ustaz Mohd Hafiz Fauzi 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi

Ketua Jabatan Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad. Lulusan Sarjana Muda Undang-undang (Sivil dan Syariah) UIA dan Sarjana Undang-undang Perbandingan (Bidang Perbankan dan Kewangan Islam) UIA. Beliau pernah menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 dan penceramah Radio IKIM.FM.

Kembali ke atas