Menu

 

A+ A A-

BERSAMA MEMPERJUANGKAN PERBANKAN ISLAM

Islam melarang umatnya daripada terjebak dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Allah s.w.t.

Dalam sistem perbankan yang diamalkan dunia sekarang, terdapat banyak perkara yang tidak sehaluan dengan kehendak Islam, antaranya amalan riba. Sebagai makhluk Allah, menjadi kewajipan kita untuk melaksanakan segala tuntutan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dalam konteks perbankan sedia ada, riba menjadi isu utama yang menjadi darah daging kepada perbankan yang tidak berteraskan asas Islam.

Dewasa ini kita melihat perbankan Islam berkembang begitu pesat. Semua ini merupakan ketentuan Allah. Yakinlah bahawa sudah tiba masanya kita berjuang habis-habisan untuk menegakkan syariat Allah melalui saluran perbankan Islam.

Perbankan Islam Senjata Ampuh

Persoalannya, bagaimana kita ingin menjadikan perbankan Islam ini satu senjata ampuh untuk memerangi sistem-sistem yang bertunjangkan riba yang semakin menjadi-jadi?

Perkara inilah yang perlu kita bahas dan bincangkan bersama untuk menimbulkan kefahaman dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh), segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahuinya. Dan apa-apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal 8: 60)

Ayat ini memerintahkan umat Islam supaya mempersiapkan kekuatan untuk menghadapi sebarang rintangan dengan menggunakan pelbagai kelengkapan dan kekuatan, bersesuaian dengan zaman yang dihadapi mereka.

memperjuangkan-perbankan-islam-1

Langkah Memperkasakan Perbankan Islam

Oleh sebab itu, kita perlu membina kekuatan perbankan Islam yang padu. Kita melihat bahawa terdapat beberapa perkara yang difikirkan penting untuk diketengahkan antaranya:

1. Bekerja kerana agama

Pihak pengurusan dan seluruh kakitangan bank perlu disuntik dengan kesedaran bahawa tujuan bekerja dalam perbankan Islam adalah bagi melaksanakan tanggungjawab agama. Selain itu, mereka perlu ditiupkan semangat untuk menjadi penggerak-penggerak atau boleh kita istilahkan sebagai “tentera Allah” untuk memperjuangkan Islam dalam urusan perbankan tersebut.

2. Memenuhi kepentingan masyarakat

Produk-produk perbankan Islam perlu mempunyai ciri-ciri yang memenuhi kepentingan (maslahah) masyarakat dan mencapai objektif-objektif syariah (maqasid shar‘iyyah), mempunyai daya saing yang kompetitif dan dapat menzahirkan keadilan kepada semua pihak yang berkontrak, iaitu memberikan hak kepada pihak yang sepatutnya. Kini kebanyakan produk yang dihasilkan mempunyai kekuatan dan ciri-ciri istimewa. Paling penting, produk-produk tersebut telah mendapat pengesahan dan kelulusan daripada Majlis Penasihat Syariah atau Jawatankuasa Syariah.

3. Menyelesaikan masalah

Produk-produk yang ditawarkan mestilah dapat menyelesaikan masalah pengguna itu sendiri, bukan menambahkan lagi bebanan mereka. Inilah roh Islam yang ingin dilahirkan melalui penawaran produk-produk perbankan Islam. Sesebuah perbankan Islam itu harus berusaha secara serius untuk melaksanakan segala tatacara pengendalian produk supaya ianya benar-benar sejajar dengan tuntutan syarak.

4. Berterusan meningkatkan kualiti

Mantapkan perkhidmatan pelanggan perbankan Islam. Sebenarnya ia selaras dengan ajaran baginda Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah para tetamunya.”(Riwayat al-Bukhari)

Oleh sebab itu, perbankan Islam seharusnya senantiasa berusaha keras untuk meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan pelanggan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Usaha ini dilakukan bukannya dengan mengutamakan urusan “business” sesebuah institusi semata-mata dengan mengetepikan dakwah dalam berurusan. Akan tetapi perlu diingat, ini tidak bermakna sesebuah perbankan Islam itu tidak menjadikan “business” sebagai sasaran. Sebaliknya dengan penerapan dakwah dalam kehidupan, yakinlah Allah s.w.t. akan turut serta membantu.

5. Alternatif untuk lari daripada riba

Kita sebagai masyarakat Islam hendaklah bersyukur dengan kewujudan perbankan Islam. Jika masyarakat Islam dahulu sering mengeluh kerana terpaksa terjebak dengan perbankan yang tidak berasaskan Islam sehingga terlibat dengan riba itu sudah menjadi satu kebiasaan. Namun pada hari ini, menjadi kewajipan masyarakat untuk memilih dan menyokong perbankan Islam yang telah sedia wujud dengan banyaknya di negara kita. Sesungguhnya tiada lagi alasan bagi masyarakat terutamanya masyarakat Islam untuk tidak memilih perbankan Islam.

Masa Depan Perbankan Islam

Kita boleh melihat sendiri betapa persaingan untuk menubuhkan perbankan Islam di negara ini begitu pesat sekali, tidak kira sama ada perbankan Islam yang sepenuhnya ataupun secara jendela (Islamic window). Kita juga melihat banyak perbankan Islam dari luar negara yang mula mengintai peluang perbankan di negara kita. Hal ini disebabkan masyarakat, tidak kira masyarakat Islam ataupun bukan Islam semakin menyedari manfaat-manfaat yang wujud hasil daripada keindahan sistem Islam itu sendiri.

­­­

Mohd Hafiz Fauzi
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 4


Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi

Ketua Jabatan Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad. Lulusan Sarjana Muda Undang-undang (Sivil dan Syariah) UIA dan Sarjana Undang-undang Perbandingan (Bidang Perbankan dan Kewangan Islam) UIA. Beliau pernah menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 dan penceramah Radio IKIM.FM.

Kembali ke atas