HUKUM MEMBACA BAHAN LUCAH
- Ditulis oleh Dr. Abdul Halim Mahmud
- Kategori Hukum
- Read 33198 times
Hubungan Intim Sesama Perempuan
Apa hukum dalam Islam berkenaan hubungan intim antara perempuan dengan perempuan?
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada golongan perempuan supaya menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan mereka.” (Surah al-Nur: 31)
Ini perintah Allah kepada golongan perempuan supaya menundukkan pandangan mereka daripada sesuatu yang tidak halal bagi mereka, dan menjaga kemaluan mereka daripada setiap yang diharamkan Allah seperti zina dan lesbian (hubungan seks antara perempuan dengan perempuan).
Perbuatan ini mungkar sekali gus ditegah kerana menterbalikkan fitrah dan tabiat semula jadi lelaki dan wanita ciptaan Allah. Perbuatan tersebut menafikan kesucian dan kemuliaan. Lebih-lebih lagi ia merangsang nafsu syahwat wanita yang terlibat sehingga mendorongnya kepada maksiat dan mengejar laki-laki.
Rasulullah s.a.w. telah melarang lelaki bersama lelaki lain, atau perempuan bersama perempuan lain dalam satu selimut. Perbuatan itu akan membawa kepada terjadinya persentuhan kulit antara satu sama lain sehingga membawa kepada kemungkaran.
Hubungan intim seperti ini akan menjadikan perempuan merasa berpada dengan sesama perempuan. Akibatnya mereka tidak ingin berkahwin dan merebaknya gaya hidup membujang yang merosakkan masyarakat. Maka wajiblah berlindung dan menjauhkan diri daripada budaya yang keji ini serta berpegang teguhlah dengan adab-adab agama. Allah itu Maha Mengawasi dan Maha Menolong.
Hukum Membaca Buku Lucah
Apakah hukum dalam Islam terhadap muda-mudi yang suka membaca buku lucah?
Agama Islam menggalakkan para pemudanya agar mempertingkatkan diri dengan ilmu pengetahuan, menyeru kepada setiap perkara yang dapat meluaskan akal fikiran, dan menggalakkan kepada perkara yang bermanfaat untuk agama dan dunia. Kesemuanya ini hanya berlaku dengan ilmu yang bermanfaat dan pengetahuan yang berguna.
Buku lucah berisi rangsangan dan galakan untuk melakukan maksiat. Jika tidak dengan kata-kata yang eksplisit pun, perbahasannya tentang praktikal seks membuatkan pembaca ingin meniru apa yang dibaca dan melaksanakannya. Tidak syak lagi bahawa membaca buku-buku seperti ini sangat merosakkan akhlak muda-mudi kerana dapat merangsang nafsu syahwat dan menyebarkan perkara yang keji.
Jenayah dan hedonisme tidak tersebar melainkan setelah tersebarnya budaya seperti ini dalam kalangan muda-mudi kita. Maka kewajipan para guru dan pembimbing menggesa mereka agar menjauhkan diri daripada buku-buku lucah ini supaya para pemuda terselamat daripada penyimpangan-penyimpangan seksual.
Sangat banyak buku-buku berguna yang mengajak kepada akhlak mulia, menggalakkan patriotisme, menambahkan ilmu dan meluaskan akal fikiran. Buku-buku ini lebih baik dibaca berbanding buku-buku lucah yang sangat merosakkan itu.
Dr. Abdul Halim Mahmud
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7
Dr. Abdul Halim Mahmud
Tokoh ulama al-Azhar ini dilahirkan pada 10 Mei 1910 di Mesir. Setelah menghafal al-Quran di desanya, beliau melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar. Kemudian beliau ke Universiti Sorbonne di Paris dan menamatkan pengajiannya pada peringkat doktor falsafah pada tahun 1940. Syeikh Abdul Halim Mahmud diamanahkan jawatan Syeikh al- Azhar pada tahun 1973. Beliau meninggal dunia pada hari Selasa, 17 Oktober 1978.