Menu

 

A+ A A-

HUKUM SUNTIKAN DAN INHALER KETIKA BERPUASA

Ditulis oleh 

MUQADIMAH: Puasa merupakan satu ibadah yang disyariatkan oleh Allah s.w.t. ke atas umat Islam. Antara hikmah di sebalik ibadah ini adalah untuk menimbulkan sifat takwa dalam diri sepertimana yang disebutkan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Telah diwajibkan puasa ke atas kamu sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa.”

 (Surah al Baqarah 2: 183)

Bahkan puasa adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima berdasarkan kepada sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Islam itu terbina atas lima perkara: bersaksi bahawa tiada tuhan (yang layak disembah) melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji (di Baitullah), dan puasa di bulan Ramadan.” (Riwayat al-Bukhari)

Maka para ulama telah menetapkan beberapa panduan dan hukum melalui ijtihad masing-masing pada ibadah ini. Ini bertujuan agar ia dapat dilaksanakan dengan sempurna dan matlamat di sebaliknya tercapai. Jika tidak, puasa menjadi rosak dan tidak dikira, apatah lagi untuk merealisasikan tujuannya. Salah satu daripada perbahasan yang dimasukkan dalam ibadah ini adalah berkenaan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Sebahagian daripadanya telah disepakati oleh para ulama, manakala sebahagian yang lain mengalami perselisihan pendapat dalam kalangan mereka. Antara perkara yang telah diperselisihkan oleh mereka ialah penggunaan suntikan oleh orang yang berpuasa.

SUNTIKAN: Perbuatan memasukkan cecair dengan cara menolaknya menggunakan jarum picagari ke dalam anggota badan pada kawasan di bawah kulit, ke dalam daging, atau urat.

HUKUM: Berdasarkan kepada situasi ini, memasukkan cecair sama ada ia adalah ubat atau unsur makanan ke dalam badan dengan cara suntikan tidak membatalkan puasa.

SEBAB: Perkara tersebut tidak termasuk dalam kategori memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka, sedangkan kulit manusia bukanlah termasuk daripada rongga badan yang dimaksudkan di sini. Rongga badan yang terbuka dan boleh membatalkan puasa seseorang ialah: Mulut, hidung, Qubul (kemaluan hadapan), dubur (kemaluan belakang). Maka, liang roma pada kulit tidak termasuk dalam rongga badan yang terbuka dan boleh membatalkan puasa seseorang. Salah seorang daripada ulama mazhab Syafie, Imam al-Ramli menyebutkan dua gambaran yang hampir sama dengan masalah ini dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj ila Syarhi al-Minhaj:

1. Seseorang yang berpuasa lalu masuk berendam ke dalam takungan air akan mendapati bahagian dalam badannya menjadi sejuk. Maka, ia tidak membatalkan puasanya.  

2. Seseorang yang berpuasa memakai celak atau menitiskan suatu cecair ke dalam matanya, dan dapat merasa cecair tersebut di dalam halkumnya. Dalam keadaan ini, puasanya tetap sah kerana Rasulullah s.a.w. pernah menggunakan celak ithmid ketika baginda sedang berpuasa. Ini menunjukkan bahawa mata tidak termasuk di dalam anggota yang dikira sebagai rongga badan.  

KESIMPULAN: Liang bulu roma pada kulit tidak dikira rongga yang terbuka bagi anggota badan. Maka, suntikan cecair yang dilakukan pada kawasan tersebut ke dalam badan tidak akan membatalkan puasa. Namun, jika ia dilakukan melalui rongga-rongga badan yang disebutkan sebelum ini, puasa seseorang itu akan terbatal.

Hukum Menggunakan Inhaler Bagi Orang Yang Berpuasa.

Inhaler: Alat yang digunakan oleh pesakit asma. Ia terdiri daripada cecair yang dimampatkan dalam tekanan gas yang tinggi. Pesakit asma ini akan meletakkan corongnya di kawasan mulut dan menolak punat yang terdapat di atasnya bagi memudahkan ubat berbentuk gas masuk ke dalam rongga pernafasan. Pada masa yang sama, dia tetap menarik nafas seperti biasa ketika menggunakan alat ini.

HUKUM: Penggunaannya membatalkan puasa seseorang kerana ia masuk ke dalam anggota badan melalui rongga pernafasannya.

SEBAB: Beberapa sebab yang dikaji oleh para ulama kontemporari dan mendapati perbuatan menggunakan inhaler oleh orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya. Walaupun ia bukanlah makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalam rongga dan boleh membatalkan puasa, tetapi apa-apa jua sesuatu yang masuk ke dalam rongga badan yang terbuka dengan usahanya sendiri dikira membatalkan puasa. Menurut kajian perubatan, 80% daripada gas inhaler masuk ke dalam rongga badan manakala bakinya dilepaskan keluar melalui penafasan. Gas yang masuk tidak dibezakan pada saluran sama ada saluran makanan atau saluran pernafasan. Apa yang penting, ia masuk melalui mulut yang merupakan rongga yang terbuka bagi badan manusia. Menurut pandangan ini, tidak boleh dikiaskan kepada baki kumuran yang ditelan kerana perbuatan berkumur-kumur hanya berlaku di dalam mulut. Manakala penggunaan inhaler menyasarkan saluran pernafasan sebagai kawasan terakhirnya. Ia juga tidak sama dengan suntikan atau memasukkan darah ke dalam badan melalui saluran kerana penggunaan inhaler melibatkan rongga badan yang terbuka, berbeza dengan dua cara sebelumnya.

KESIMPULAN: Penggunaan inhaler oleh orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya. Ada dalam kalangan mereka yang hanya menghidapi penyakit yang perlu menggunakan alat ini dalam tempoh sementara kerana ia dapat dipastikan akan sembuh, maka puasa yang terbatal melaluinya hendaklah digantikan pada hari yang lain. Manakala mereka yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh, puasa yang ditinggalkan disebabkan menggunakan alat ini hendaklah digantikan dengan fidyah yang dibayar mengikut kadar makanan asasi sesebuah negara berdasarkan jumlah bilangan hari yang ditinggalkan.

Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz isu No.4


Read 50741 times
Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.