Menu

 

A+ A A-

TUNAIKAN, USAH MUNGKIRI

DARIPADA Abu Hurairah r.a. telah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tanda-tanda orang munafik itu tiga: apabila dia bercakap dia berbohong; dan apabila dia berjanji dia memungkiri; dan apabila dia diberi amanah dia mengkhianati.” - (Riwayat Muslim dan at-Tirmizi)

Amanah salah satu sifat wajib Nabi

Amanah merupakan salah satu daripada sifat yang wajib para nabi dan rasul. Sifat yang ada merangkumi segala perbuatan mereka kerana mereka merupakan contoh bagi kaum yang berada di sekelilingnya. Antara amanah yang paling besar untuk dilaksanakan ialah menyampaikan risalah wahyu Ilahi kepada manusia agar umat manusia mendapat keredaan daripada Allah s.w.t.

Tugasan yang berat

Antara amanah utama kita sebagai umat Islam ialah amanah terhadap Allah s.w.t. Ia merangkumi segala kewajipan yang telah diberikan kepada kita, termasuk juga larangan-Nya. Seseorang Muslim yang patuh akan melaksanakan amanah ini dengan baik iaitu dengan mengerjakan segala yang diperintahkan serta meninggalkan segala yang dilarang. Amanah ini akan menjamin seseorang manusia itu mendapat pertolongan dan keredaan daripada Allah s.w.t. di dunia dan akhirat.

tunaikan-4

Tanda munafik

Hadis ini menyebutkan tentang 3 ciri orang munafik iaitu:
• Berbohong ketika berbicara.
• Memungkiri janji.
• Khianat pada amanah.

Mereka yang munafik ini dikenali sebagai orang yang berpura-pura dalam mengamalkan ajaran Islam sedangkan di dalam hati mereka terdapat suatu perasaan benci terhadap agama ini. Allah s.w.t. akan menimpakan balasan yang buruk kepada golongan ini seperti firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa’ ayat 145 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka…”

Jika seseorang itu mempunyai salah satu daripada ciri-ciri yang telah disebutkan di dalam hadis ini, maka dia telah melakukan salah satu perbuatan orang-orang munafik. Lama kelamaan, sikap ini akan menyebabkan dia terhalang daripada mendapat rahmat dan pertolongan Allah s.w.t. Akhirnya, dia akan binasa dengan berterusan melakukan perbuatan maksiat dan semakin sukar untuk melakukan perbuatan taat kepada Allah s.w.t.

tunaikan-3

Cara menunaikan amanah dengan baik

Sedia maklum bahawa meninggalkan amanah merupakan penyebab kepada seseorang itu digelar munafik seperti yang dinyatakan di dalam hadis ini. Namun ada beberapa kaedah dan cara yang disebutkan di dalam hadis dan kata-kata ulama yang memandu seseorang itu supaya dijauhkan daripada bersifat munafik ini. Antaranya:

 Berusaha mengerjakan solat secara berjemaah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi, daripada Anas bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang solat kerana Allah s.w.t. selama 40 hari secara berjemaah dan mendapatkan takbir pertama, akan ditulis baginya dua pelepasan, iaitu pelepasan daripada neraka dan pelepasan daripada nifak.”

Penjelasan: khianat merupakan salah satu daripada sifat orang munafik, maka cara untuk menjauhkannya ialah dengan melazimi solat berjemaah seperti yang disebutkan di dalam hadis.

 Ka’ab berkata: Sesiapa yang memperbanyakkan mengingati Allah s.w.t. (berzikir), maka dia akan terlepas daripada sifat nifak.

Penjelasan: khianat merupakan lawan kepada sifat amanah dan ia merupakan salah satu tanda golongan munafik. Maka, mengingati Allah s.w.t. akan menjadi suatu benteng kepada sifat khianat yang termasuk dalam ciri mereka yang munafik ini.

 Dalam maksud sebuah hadis riwayat Imam Muslim ada menyatakan, “Dan Allah membantu seorang hamba selagi mana hamba itu membantu saudaranya.”

Penjelasan: Jika kita diberi suatu amanah, maka berniatlah bahawa tugasan yang akan dilakukan itu sebagai suatu bentuk pertolongan kita kepada seseorang, kerana Allah s.w.t. akan membantu hambanya yang ikhlas menolong saudaranya yang lain.

 Banyakkan beristighfar kepada Allah s.w.t. jika melakukan kekurangan dan kesilapan dalam menjalankan amanah.

 Sentiasa memperingati antara satu sama lain supaya menjaga amanah yang dipikul. Q

tunaikan-2


Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas