Menu

 

A+ A A-

TIADA TAAT DALAM MAKSIAT

DARIPADA SAYIDINA ALI BERKATA, RASULULLAH S.A.W. TELAH BERSABDA YANG BERMAKSUD: “TIDAK ADA KETAATAN SAMA SEKALI KEPADA MAKHLUK DALAM KEMAKSIATAN TERHADAP ALLAH S.W.T.” {Riwayat Imam Ahmad}

Konsep Taat

Taat diibaratkan suatu kepatuhan kepada satu pihak dalam menjalankan segala apa yang disuruh dan dilarang olehnya. Sebagai seorang Muslim, kita disuruh agar mematuhi peraturan Tuhan yang telah menciptakan sekalian alam serta mengikut panduan Rasul-Nya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul serta mereka yang diserahkan suatu urusan – para pemimpin – dari kalangan kamu...”

Segala bentuk ketaatan kepada tiga pihak ini adalah kepatuhan dalam melaksanakan kebaikan. Jika ketaatan itu menjurus kepada perkara mungkar, maka ia wajib ditinggalkan. Amat mustahil bagi Allah s.w.t. dan Rasul-Nya mengajak ke arah perkara kejahatan dan maksiat yang boleh membinasakan manusia. Sedangkan ketaatan kepada pemimpin berdasarkan tafsiran Imam al-Jazairi adalah pada perkara yang berkaitan dengan amalan kebaikan. Adapun selain daripadanya, maka ketaatan tidak boleh diberikan.

2

Taat Dalam Maksiat

Ringkasnya, maksiat adalah perbuatan yang menyalahi apa yang disuruh atau melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. Contohnya, Allah s.w.t. menyuruh agar umat Islam mengerjakan solat. Maka, perbuatan tidak mengerjakan solat merupakan suatu kemaksiatan kepada Allah s.w.t.

Pengecualian dalam ketaatan adalah pada perkara yang meletakkan diri seseorang di dalam kemaksiatan kepada Allah s.w.t. Walaupun ia disuruh oleh mereka yang mempunyai kedudukan seperti guru, pemimpin walau ibu bapa sekalipun, namun ketaatan sebenar adalah kepada Allah s.w.t. Pada waktu itu, segala arahan yang menyuruh seseorang melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. adalah haram untuk dilakukan.

Maksiat Tanpa Taat

Namun, seringkali sesuatu maksiat itu dilakukan bukan dengan suruhan atau paksaan daripada orang lain. Tetapi, ia dikerjakan akibat tertipu dengan hasutan syaitan dan ajakan hawa nafsu. Ia bukan sahaja melibatkan anggota badan yang zahir, bahkan hati juga akan terbabit dalam melakukan maksiat seperti riyak, dendam, bersangka buruk dan sebagainya.

Mereka yang menahan dirinya daripada melakukan maksiat akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t. Sayidina Umar pernah ditanya tentang suatu kaum yang berkeinginan melakukan maksiat tetapi tidak melakukannya. Beliau menjawab: “Mereka itulah kaum yang diuji hati-hati mereka oleh Allah s.w.t. ke arah (mencapai) ketakwaan. Bagi mereka keampunan dan ganjaran yang besar.”

Bahaya Menyuruh Kepada Maksiat

Mereka yang melakukan maksiat secara bersendirian akan mendapat dosa akibat perbuatannya. Tetapi, jika mereka menyuruh dan mengajak orang lain untuk turut melakukannya, dosa yang diperolehi akan berganda. selagi mana orang tersebut melakukannya, maka penunjuk ajar kepada maksiat itu akan mendapat dosa walaupun dia tidak melakukannya pada waktu itu.

Sabda Nabi s.a.w.: “sesiapa yang menyeru kepada petunjuk (kebaikan), baginya ganjaran sama seperti ganjaran orang yang mengikutnya dan tidak dikurangi sedikit pun daripada ganjaran mereka. sesiapa yang menyeru kepada kesesatan (maksiat), baginya dosa sama seperti dosa mereka yang mengikutnya dan tidak dikurangi sedikit pun daripada dosa mereka.” (riwayat imam Muslim)

 

Pengajaran

1 sentiasa memperbanyakkan zikir sebagai pendinding kepada perlakuan maksiat.

2 Menasihati orang yang mengajak ke arah maksiat dengan cara yang terbaik.

3 Berusaha mengajak orang lain kepada melakukan kebaikan.



Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir

 Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 04


 

Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas