SOLAT SEMAKIN INDAH DENGAN MEMAHAMI AL-FATIHAH
- Ditulis oleh Muhammad Luqman Makhtar
- Kategori Terkini
- Read 11264 times
Aku dan al-Fatihah Dahulu
Sebanyak rakaat yang dikerjakan, sebanyak itu pulalah ia dilafazkan. Biarpun tujuh ayat sahaja, tetapi aku ingin segera menghabiskan. Sementelah apabila aku sudah pandai meniru bacaan imam tarawih ekspres, kerap kali juga aku membaca dengan menyambung ayatayatnya. Rekod terbaikku, enam ayat sekali gus dibaca dalam satu nafas sahaja.
Jujurnya padaku, solat tidak lebih daripada satu perkara yang wajib aku lakukan semata-mata. Ia satu ibadah dengan gabungan siri pergerakan dan bacaan yang tertentu. Lima kali sehari, itu yang wajib. Ketika datang semangat dan kerajinan, bertambahlah satu dua solat sunat.
Sejujur-jujurnya, surah al-Fatihah hanyalah salah satu rutin bacaan dalam solat. Apabila disebut rutin, unsur-unsur ‘jemu’ itu terkadang ada. Apabila dibaca, laju sahaja. Kadang-kadang aku juga membacanya perlahan-lahan. Ayat demi ayat dibaca, penuh bertajwid sekali. Kononnya, aku cuba datangkan ‘feel’, atau orang menyebut khusyuk ketika membacanya, biarpun aku kosong daripada maksud ayat. Bukannya tidak pernah diajarkan tentang maksud ayat. Entah mengapa, ia tidak lekat di ingatanku.
Berbicara dengan Allah Melalui al-Fatihah
Namun segalanya berubah. Aku dipertemukan dengan satu hadis kudsi riwayat Muslim yang bermaksud:
Ya Allah, rupa-rupanya al-Fatihah itu ialah satu perbualan. Bukan sembarangan perbualan pula. Bahkan perbualan dengan Allah, Tuhan sekalian alam. Lebih tepat, ia satu munajat. Munajat untuk mengadu dan memohon kepada Allah.
Biadabnya aku selama ini. Sudahlah tidak faham apa yang disebut, cara melafazkan pun semberono sahaja. Kalaulah cara itu aku berbual dengan ayahku, pasti singgah satu pelempang di mukaku. Maha Pemaafnya Allah, tidak berkira dengan kejahilan hamba-Nya.
Semenjak itu, aku berusaha memahami al-Fatihah. Ayat demi ayat aku tangkap maksudnya. Tidaklah sepayah mana pun. Apabila belajar berserta kesedaran, hadirlah kefahaman. Apabila belajar diiringi keinsafan, bertandanglah penghayatan.
Apa yang dipohon dalam al-Fatihah?
Munajat sepanjang tujuh ayat ini terbina daripada dua bahagian. Lima ayat pertama ialah lafaz pujian dipersembahkan untuk Allah. Allah sebenarnya ingin mengajar adab kepada hambanya. Sebelum meminta, bersopan santun dahulu. Manakala dua ayat terakhir ialah lafaz permohonan. Kali ini Allah mengajar pula tentang apakah perkara yang paling utama untuk dimohon daripada Allah s.w.t.
Allah boleh sahaja menganugerahkan apa-apa sahaja kehendak yang dimohon. Namun tidak ada anugerah yang sebanding dengan hidayah! Ya, hidayah untuk kekal atas siratulmustakim. Namun berapa ramai Muslim yang menghargai nilainya. Justeru Allah mengajar supaya sentiasa memohon dikekalkan hidayah tersebut. Belum tentu seorang yang hidup sebagai seorang Muslim, matinya dalam iman. Nauzubillah.
Allah juga mengajar kita supaya tidak diulangi kesalahan Yahudi dan Nasrani. Silih berganti nabi-nabi diutus bersama hidayah kepada mereka. Betapa mereka diiringi hidayah sepanjang hidup, namun mati mereka dalam kemurkaan dan laknat Allah. Sebab itulah kita perlu sentiasa mengharap kepada Allah agar tidak menjadi seperti mereka: “Bukanlah jalan mereka yang Engkau murkai (Nasrani), dan juga bukan jalan mereka yang sesat (Yahudi).”
Aku dan al-Fatihah Sekarang
Kini, aku melafazkan al-Fatihah ayat demi ayat. Dengan teliti, aku boleh memahami. Ya, fahamilah al-Fatihah, solat kita akan semakin indah.
USTAZ MUHAMMAD LUQMAN MAKHTAR
Sumber artikel daripada GEN-Q 10
Muhammad Luqman Makhtar
Sarjana Muda Ilmu Wahyu (Fiqh dan Usul al-Fiqh), UIAM. Pernah berkhidmat di Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Selayang. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.