Menu

 

A+ A A-

PERUBATAN MODEN DAN KESANNYA PADA PUASA

Penentuan al-Jauf (Rongga Badan)

PERUBATAN moden hari ini banyak melibatkan prosedur memasukkan sesuatu ke badan manusia mahupun sebaliknya. Dari semudah-mudah cara seperti memasukkan termometer ke dalam mulut hingga kepada serumit-rumit cara seperti memasukkan kamera berwayar ke dalam badan manusia. Bagaimana dengan puasa? Bukankah asalkan memasukkan sesuatu ke dalam rongga akan membatalkan puasa?

RINGKASNYA: Tidak semestinya asal sahaja memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa. Hal ini perlu diperincikan.

PRINSIP: Para fuqaha semua sepakat atas satu prinsip: “Tidak dinafikan akan berubahnya ijtihad dengan berubahnya masa dan tempat.”

Perubahan cara hidup, perkembangan ilmu dan kemajuan teknologi zaman moden menuntut ijtihad-ijtihad baru digagaskan dan ijtihad silam disemak semula. Dan fuqaha masa kini berdepan dengan banyak isu yang tidak pernah disaksikan oleh mana-mana imam mazhab yang empat atau imam mujtahid lain pada masa lampau. Justeru kita dapati banyak ijtihad baru terhasil. Antaranya hukum zakat pendapatan, hukum melaburkan wang zakat, begitu juga tentang kesan perubatan moden terhadap puasa.

perubatan-moden-kesan-pada-puasa-1

Berkenaan isu perubatan moden dan kesannya pada hukum puasa, ia telah dibincangkan secara serius dan mendalam oleh para fuqaha dan mujtahid semasa dalam banyak persidangan ilmiah, antaranya dalam Majma‘ Fiqhi al-Islami. Sememangnya masih wujud perbezaan pendapat, namun mereka saling menghormati dan meraikan antara satu sama lain.

HURAIAN: Sebenarnya perbezaan pendapat antara mereka berakar daripada pendirian mereka dalam dua persoalan dasar berikut:

1. Apakah yang dimaksudkan dengan al-jauf (rongga badan)?

2. Adakah apa-apa sahaja yang masuk ke dalam jauf membatalkan puasa atau hanya jenis tertentu sahaja?

Persoalan dasar pertama: Apakah had al-jauf?

Para ulama sepakat bahawa terbatal puasa jika memasukkan sesuatu ke dalam jauf. Bagaimanapun mereka tidak sependapat dalam menentukan had jauf. Secara umumnya terdapat tiga pendapat umum fuqaha sebagaimana berikut:

perubatan-moden-kesan-pada-puasa-4

1. Bahagian dalaman tubuh manusia

Ini termasuklah mana-mana saluran yang membawa sesuatu hingga ke bahagian dalaman tubuh seperti mulut. Bagaimanapun setiap mazhab yang empat ada perincian lanjut yang berbeza-beza. Ulama mazhab Syafi‘i umumnya menetapkan mulut, hidung, telinga, kemaluan dan dubur sebagai rongga terbuka yang menjadi saluran yang membawa kepada jauf. Maka apa sahaja yang dimasukkan hingga melepasi rongga tersebut sampai ke dalam membatalkan. (Al-Gharar al-Bahiyah, 2/213 dan al-Tuhfah al-Muhtaj, 3/299)

2. Perut sahaja

Pendapat ini diutarakan oleh sebahagian ulama mazhab Hanbali dan Maliki. Kesannya, Jika sesuatu memasuki badan tetapi tidak sampai ke perut, maka puasa tidak batal. Dan jika sesuatu masuk melalui dubur atau kemaluan, maka terbatallah puasa kerana dubur dan kemaluan ialah saluran yang bersambungan hingga ke perut. (Al-Kasyaf al-Qana‘, 2/318 dan al-Taj wa al-Iklil, 3/361)

3. Bahagian perut tempat penghadaman makanan sahaja

Pendapat ini dirumuskan oleh beberapa orang ulama semasa antaranya Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Kesannya, puasa hanya terbatal apabila sesuatu masuk hingga sampai ke tempat tersebut. Jadi jika semata-mata sesuatu melepasi halkum, memasuki dubur atau seumpamanya, ia tidak membatalkan puasa. (Fiqh Nawazilal-Siyam)

PENDAPAT YANG DIPILIH

Pendapat ketiga, insya-Allah. Tidak sedikit fuqaha masa kini yang mentarjihkan pendapat ini sebagaimana boleh diikuti dalam beberapa persidangan ilmiah di peringkat antarabangsa.

HUJAH: Sebenarnya tiada dalil yang jelas dalam penetapan had jauf. Oleh sebab itu, ulama berijtihad. Pendapat pertama dan kedua lebih atas dasar ihtiat (sikap berhati-hati).

Pendapat ketiga dirumuskan daripada penelitian hukum batal puasa disebabkan makan atau minum. Hal ini kerana apa-apa sahaja makanan atau minuman yang diambil, semua itu akan masuk ke perut, tidak ke tempat lain. Bermula dari situ, badan manusia akan mendapat tenaga setelah diproses.

Di sinilah jelasnya sebab syarak menetapkan hukum terbatal puasa dengan makan atau minum iaitu menyebabkan pertambahan tenaga badan. Hikmahnya, Allah ingin menilai kesungguhan hambanya, adakah sanggup berkorban untuk-Nya dengan kudrat yang ada itu (tanpa makan minum).

Maka, semata-mata memasukkan sesuatu ke dalam mulut, menitikkan ubat ke dalam mata, mengorek hidung atau telinga tidaklah membatalkan puasa. (Mufattiratal-Sawm al-Mu‘asirah, hlm. 14, Fiqh Nawazil al-Siyam, hlm. 4)

Persoalan dasar kedua: Adakah semata-mata memasukkannya sesuatu ke dalam rongga itu, maka terbatalnya puasa?

Sekali lagi para ulama berselisih pendapat sebagaimana berikut:

1. Apa-apa saja, tidak kira daripada apa yang boleh dimakan atau tidak membatalkan puasa sekiranya memasuki rongga

Inilah pendapat majoriti ulama silam termasuklah mazhab Syafi‘i. Mereka menilai hukum imsak (menahan diri daripada makan dan minum ketika berpuasa) dari sudut ta‘abbudi, iaitu ia ibadah sepenuhnya tanpa mengkaji justifikasi (illah atau hikmah) di sebalik hukum tersebut. Makan atau minum bermaksud memasukkan sesuatu ke dalam badan. Oleh sebab itu, mereka merumuskan bahawa dilarang juga daripada memasukkan apaapa saja hatta kayu ke dalam rongga badan. Pendapat ini atas dasar ihtiat. (Lihat Fiqh Nawazilal-Siyam)

2. Hanya makanan, minuman dan apa-apa yang mempunyai unsurnya sahaja yang membatalkan puasa sekiranya memasuki rongga

Ini pendapat sebahagian ulama dahulu dan ulama masa kini seperti Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil dan Dr. Abdullah bin Hammad al-Sakakir. Mereka pula menilai hukum imsak dari sudut ta‘lil, iaitu hukum tersebut boleh dikaji justifikasi illah dan hikmahnya. Mereka mendapati bahawa illat (sebab pensyariatan) di sebalik hukum imsak itu ialah atas sifat makanan itu memberikan kekuatan pada tubuh badan. Maksud di sebalik hukum imsak tersebut adalah supaya jangan memasukkan sesuatu yang mempunyai unsur memberi kekuatan pada badan. (lihat FiqhNawazil al-Siyam) Jadi, semata-mata masuknya batu, kayu, plastik dan sebagainya ke dalam jauf yang tidak memberikan zat pada badan manusia tidak membatalkan puasa.

KESIMPULAN:

1. Menurut ulama mazhab Syafi‘i, apa-apa sahaja baik berupa makanan atau tidak yang dimasukkan ke rongga melalui saluran tabiinya (mulut, hidung, telinga, kemaluan dan dubur) akan membatalkan puasa. Justeru sebarang proses perubatan yang melibatkan perkara di atas membatalkan puasa. Pendapat ini lebih berhati-hati.

2. Manakala menurut sebahagian fuqaha semasa seperti mana yang dibincangkan, mereka menggariskan bahawa puasa akan terbatal sekiranya:

a. Perkara yang memasuki jauf itu makanan dan minumanatau apa yang mengandungiunsurnya sahaja (membekalkanzat tenaga baru kepada badan).

b. Perkara yang memasuki badan itu betul-betul sampai kepada jauf iaitu bahagian perut tempat penghadaman.

Justeru sebarang proses perubatan yang melibatkan perkara ini, barulah puasa dikira batal.

Pendapat ini lebih lebih dekat dengan roh syariat dan maqasid syariah. Bagaimanapun perbincangan kali ini memilih pendapat kedua di atas sebagai dasar penentuan hukum berkaitan isu perubatan moden dan kesannya terhadap puasa. Ketetapan ini akan menjadi penjelasan kepada soalan-soalan yang berikutnya.

perubatan-moden-kesan-pada-puasa-2

Cabut Gigi Batal Puasa

Saya inginkan kepastian, adakah semua rawatan gigi seperti mencabut gigi, menampal, scaling dan sebagainya membatalkan puasa? Ini kerana kebanyakan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan sepanjang Ramadan di klinik saya tidak berpuasa pada hari tersebut. Jawapan yang sama saya dapat, “cabut gigi batal puasa”.

Ada pula pesakit yang tarikh temu janjinya jatuh pada bulan Ramadan, menangguhkan hingga lepas hari raya. Sedangkan ada antara mereka memerlukan rawatan segera.

Saya juga kerap menerima cadangan supaya klinik beroperasi pada waktu malam sepanjang Ramadan. Cadangan itu tidak wajar pada pandangan saya. Di samping isu ketidaksesuaian waktu rawatan, ia juga menjejaskan hak peribadi saya. Saya juga tidak ingin lepaskan peluang solat tarawih berjemaah di masjid. Mohon pencerahan. -Doktor gigi, Ampang.

RINGKASNYA: Secara asasnya, sebarang rawatan gigi tidak membatalkan puasa.

HUJAH: Semata-mata memasukkan peralatan rawatan ke dalam mulut, tidaklah membatalkan puasa. Namun sekiranya semasa proses rawatan tersebut, pesakit tidak dapat mengelak daripada tertelan air, maka puasanya terbatal. Pendapat ini sudah diputuskan dan disepakati antara fuqaha dalam Majmak Fiqhi Islami di bawah Pertubuhan Kerjasam Islam (OIC) pada daurahnya yang ke-10 yang berlangsung pada 28 Jun hingga 3 Julai, 1997 bertempat di Jeddah, Arab Saudi. (Rujuk http:// www.fiqhacademy.org.sa)

Puasa Pesakit Asma

Saya penghidap asma. Bagaimana dengan puasa saya apabila berlaku keadaan yang memaksa yang saya menggunakan inhaler? Ada orang mengatakan puasa saya batal dan ada juga pendapat sebaliknya. Namun saya mengambil langkah selamat dengan menganggap puasa saya telah batal. Tahun lepas sahaja, 12 hari puasa yang saya wajib gantikan. Di sini saya ingin mohon penjelasan pihak al-Ustaz pula.

perubatan-moden-kesan-pada-puasa-5

RINGKASNYA: Sememangnya terdapat perbezaan ijtihad ulama semasa dalam masalah ini tanpa disangkal. Namun berpegang kepada asas yang dijelaskan dalam soalan pertama, maka puasa tidak batal. Pendapat ini boleh diguna pakai insya-Allah.

PENJELASAN: Ulama semasa yang berpendapat penggunaan inhaler membatalkan puasa mempunyai hujah tersendiri. Untuk keterangan lanjut boleh baca artikel di ruangan Fiqah Semasa di halaman 83. Bagaimanapun tidak kurang juga ulama yang berpendapat ia tidak membatalkan puasa. Antara hujah mereka:

1. Perbuatan itu tidak mempunyai unsur makan atau minum sepertimana yang dilarang syarak iaitu ia tidak membekalkan sebarang zat tenaga baru kepada badan.

2. Kias kepada hukum berkumur-kumur dan bersugi. Para ulama sepakat bahawa orang berpuasa boleh berkumur-kumur. Walhal ada kuantiti kecil air tetap melepasi kerongkong. Mereka juga sepakat bahawa orang berpuasa juga boleh bersugi (dahulunya menggunakan kayu sugi). Walhal ada kuantiti unsurnya kekal dalam mulut dan masuk melepasi rongga bersama air liur yang ditelan. Jadi menggunakan inhaler tidak membatalkan puasa biarpun ia mengandungi kuantiti kecil air dan sejumlah bahan kimia yang lain.

3. Sementelah ada kajian mengesahkan bahawa kandungan inhaler (terdiri daripada air dan bahan kimia tertentu) yang disedut akan terserap habis pada bahagian dan laluan sistem pernafasan (setakat dada) sahaja, tidak sampai ke perut pun. Bagaimanapun ada sebahagian pengkaji mengatakan ia sampai ke perut. Jadi persoalan sampai atau tidak serbuk inhaler ke perut kekal sebagai perkara yang tidak pasti dan diragui. Dan perkara yang tidak pasti atau diragui (syak) tidak memberi kesan kepada perkara yang wujud secara pasti (yakin). Justeru puasa tidak boleh dihukum batal atas sebab menyedut inhaler. (Mufattirat al-Sawm al Mu‘asirah, hlm. 17)

Saluran Tiub Memasuki Badan

Banyak perubatan di hospital memerlukan kaedah memasukkan sesuatu yang berwayar seperti kamera mikro ke dalam badan. Kadang-kadang ia dimasukkan melalui mulut. Ada yang dimasukkan melalui dubur mana-mana bahagian badan yang lain. Apakah status puasa pesakit yang menjalani rawatan sedemikian?

RINGKASNYA: Puasa tidak batal. Segala peralatan itu, biarpun dimasukkan melalui mulut atau selainnya hinggalah ke dalam perut sekalipun tidak membatalkan puasa. Semata-mata memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan tidak membatalkan puasa. Pendapat ini sudah diputuskan dan disepakati antara fuqaha dalam Majmak Fiqhi Islami dalam daurahnya yang ke-10, 1997. (Rujuk http://www.fiqhacademy.org.sa)

Tambahan pula peralatan-peralatan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur makanan yang akan memberikan tenaga kepada tubuh.

Ubat Jantung

Bapa mertua saya menghidap sakit jantung. Beliau terpaksa mengambil ubat setiap hari pada waktu pagi dan petang. Ubat tersebut berbentuk pil dan mudah larut yang diletakkan bawah lidah atau dikemam tanpa perlu minum air. Menurut doktor, ubat yang larut terus menuju ke jantung, tidak sampai ke dalam perut pun. Bagaimana dengan puasa Ramadan beliau? Beliau masih mampu untuk berpuasa dan bekerja. Hanya sahaja beliau mesti mengambil pil tersebut hampir setiap hari.

RINGKASNYA: Puasanya tidak batal. Pil tersebut tidak mengandungi sebarang unsure makanan yang memberi tenaga baru kepada badan. Sementelah para doktor telah memastikan bahawa ubat itu terlarut terus pergi ke bahagian dada dan tidak sampai langsung ke perut. Pendapat ini turut diputuskan dan disepakati antara fuqaha dalam Majmak Fiqhi Islami pada daurah ke 10, 1997. (Rujuk http://www.fiqhacademy.org.sa)

perubatan-moden-kesan-pada-puasa-3

Rawatan Masuk Air atau Glukos

Pada Ramadan tahun lepas saya dimasukkan ke wad selama empat hari. Sepanjang waktu itu, badan saya menerima air dan gula melalui suntikan di tangan. Apa hukum berpuasa ketika itu? Air itu bukan melalui mulut pun. Dari satu segi pula, saya memang merasa bertenaga dan tidak letih ketika itu biarpun tidak makan minum. Barangkali disebabkan badan saya menerima air dan gula. Jadi saya inginkan kepastian.

RINGKASNYA: Puasa itu batal. Ulama yang mengkaji kewajaran hukum syariat (ta‘lil al-ahkam) di sebalik larangan makan dan minum bagi orang berpuasa merumuskan bahawa ia bertujuan untuk menghalang sebarang zat makanan atau minuman yang akan memberi tenaga baru kepada tubuh. Hikmahnya, Allah ingin melihat kesabaran dan kesungguhan hamba-Nya bertahan dalam keadaan tenaga badan semakin berkurangan. Sedangkan rawatan masuk air atau glukos ke badan sebenarnya memberi tenaga baru kepada tubuh biarpun ia tidak melalui mulut sekalipun.

Wallahu a‘lam.

Rujukan:

1. Kertas kerja Mufattirat al-Sawm al-Mu‘asirah (Perkara-perkarayang Membatalkan Puasa MasaKini), Dr. Ahmad bin Mohammadal-Khalil, Universiti al-Qasim,http://www.saaid.net.

2. Kertas kerja Nadwah Fiqah Perubatan Masa Kini dan Kesannya pada Puasa, 1428H,www.islamfeqh.com.

3. Kertas Kerja Daurah Ilmiah ke-6, Fiqh Nawazil al-Siyam, Dr. Abdullah bin Hammad al-Sakakir, http://www.saaid.net.

4. Keputusan majmak fiqhi Islam, daurah ke 10, 1997, http://www.fiqhacademy.org.sa.

Muhammad Luqman Makhtar
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 4


Muhammad Luqman Makhtar

Sarjana Muda Ilmu Wahyu (Fiqh dan Usul al-Fiqh), UIAM. Pernah berkhidmat di Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Selayang. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

special-4157 special-4099special-3928

 

Kembali ke atas