Menu

 

A+ A A-

PAKSA BERCERAI, JATUHKAH TALAK?

SOALAN: Jatuhkah talak jika seorang isteri memaksa suaminya supaya ia diceraikan?

Jawapan

Selagi suaminya tidak melafazkan perkataan talak atau cerai, maka tidak jatuh talak. Meminta talak tanpa sebab yang munasabah hukumnya berdosa. Sabda Rasulullah: “Mana-mana perempuan yang menuntut cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah, maka haramlah baginya mencium bau syurga.” (Riwayat Abu Dawud) Saya nasihatkan kepada suami dan isteri agar selalu menjaga emosi. Sekiranya terjadi persengketaan, carilah jalan keluarnya melalui perbincangan terlebih dahulu. Sekiranya perlu, mintalah nasihat dan bantuan pihak yang dipercayai. Pesanan bagi para isteri, janganlah sewenang-wenangnya meminta cerai tanpa sebab atau alasan yang munasabah. Dan bagi para suami, janganlah melafazkan talak sebelum difikirkan semua akibatnya.

 

Kanan dan Kiri

SOALAN: Ramai yang biasa gunakan tangan kanan, dan ada juga yang kidal. Tapi mengapa kita perlu membeza-bezakan antara kiri dan kanan?

Jawapan

Sunnah Rasulullah mengajarkan agar kita mendahulukan yang kanan dalam perkara-perkara kebaikan. Rasulullah suka mendahulukan yang kanan semasa memakai kasut, bersikat, bersugi dan dalam semua perkara. Jika kita teladani sikap Nabi ini, insya-Allah kita akan mendapat pahala. Namun ada juga perkara-perkara yang disunatkan supaya didahulukan sebelah kiri. Contohnya, masuk ke dalam tandas dan keluar dari masjid. Kedua-duanya disunatkan untuk didahulukan kaki kiri berbanding kanan. Selain itu, ada juga yang disunatkan untuk tidak didahulukan kanan ataupun kiri. Akan tetapi, kita disunatkan untuk melakukannya bersama-sama. Salah satunya apabila kita membasuh telinga ketika berwuduk, kita disunatkan untuk membersihkan telinga kanan dan kiri bersama-sama. Begitu juga apabila membasuh kedua tapak tangan. Kedua-duanya disunatkan untuk dibasuh bersama-sama.

 

Kahwin Ahli Kitab

SOALAN: Apakah hukum seorang lelaki Muslim berkahwin dengan perempuan ahli kitab?

Jawapan

Ahli kitab mereka adalah Yahudi dan Nasrani. Seorang Muslim halal berkahwin dengan ahli kitab, namun makruh menurut kebanyakan ulama. Allah berfifirman: “Dan (dihalalkan bagi kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya antara perempuan-perempuan beriman, dan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberi kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mas kahwinnya, sedangkan kamu yang demikian bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan.” (Surah al-Maidah: 5)

Mengikut sejarah, khalifah Islam ketiga iaitu Sayidina Uthman pernah berkahwin dengan Nailah binti al-Farafisah. Nailah ialah penganut Nasrani. Begitu juga dengan sahabat bernama Talhah bin Ubaidillah yang berkahwin dengan seorang perempuan Yahudi Syam. Ini merupakan pandangan segolongan para fuqaha. Sayidina Umar memakruhkan perkahwinan dengan ahli kitab. Ketika Huzaifah al-Yaman melangsungkan perkahwinan dengan perempuan ahli kitab Sayidina Umar memintanya menceraikan perempuan tersebut. Lantas ditanya oleh Huzaifah: “Adakah ia haram?” Sayidina Umar menjawab: “Aku takut orang akan meninggalkan perempuan Muslimah dan berkahwin dengan perempuan yang tidak baik.”

 

Manaqib al-Jilani

SOALAN: Bolehkah membaca manaqib Syeikh Abdul Qadir al-Jailani?

Jawapan

Manaqib ialah sebuah kitab yang menceritakan riwayat hidup dan kelebihan yang Allah berikan kepada seseorang ulama. Manaqib Syeikh Abdul Qadir al-Jilani ialah sebuah buku yang menceritakan kehidupan dan kelebihan beliau. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani ialah pengasas Tariqat al-Qadariyah yang masyhur. Beliau lahir di negeri Jilan pada tahun 471 Hijrah dan wafat di Baghdad pada tahun 561 Hijrah. Beliau adalah antara tokoh sufi dan ulama yang zuhud. Beliau telah mendalami banyak ilmu, mempelajari hadis dan sastera.

Syeikh Abdul Qadir telah menulis beberapa buah kitab antaranya al-Fuyudhat al-Rabbaniyah dan Futuh al-Ghaib. Keilmuannya diakui oleh para ulama. Membaca riwayat hidup para ulama hukumnya harus. Bahkan sangat disukai jika ditujukan untuk meniru akhlak, adab, ibadah dan keilmuannya. Namun kita hendaklah selalu memelihara akidah kita daripada perkara-perkara yang dapat merosakkannya. Seperti meyakini kitab ini memiliki keajaiban dan khasiat tertentu bagi pembacanya. Perkara ini memerlukan dalil yang sahih.

 

Sembunyi Nikah

SOALAN: Apakah pandangan agama tentang orang yang menyembunyikan akad pernikahan sedangkan rukun pernikahannya telah sempurna?

Jawapan

Selagi akad tersebut memenuhi rukun dan syaratnya, maka akad nikah itu tetap sah. Bagaimanapun, perkahwinan hukumnya sunat untuk dihebahkan. Ini untuk menghindari buruk sangka masyarakat terhadap pasangan yang telah berkahwin. Jika akad nikah itu tidak diketahui orang ramai, dikhuatiri akan berlaku fitnah dan salah faham. Rasulullah telah mengingatkan: “Hebahkan perkahwinan, jadikannya di masjid dan pukullah gendang untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi)

 

Minum Berdiri

SOALAN: Benarkah Rasulullah pernah minum berdiri? Apakah hukum minum sambil berdiri?

Jawapan

Rasulullah melarang minum sambal berdiri. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim menyebut: “Sesungguhnya Nabi melarang minum sambil berdiri.” Namun ada hadis lain yang menyatakan bahawa Rasulullah pernah minum dalam keadaan berdiri. Hadis yang dimaksudkan ini adalah daripada Ibn Abbas, beliau berkata: “Aku memberi Rasulullah air zamzam. Baginda minum dalam keadaan berdiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Maka ulama menyimpulkan bahawa larangan Rasulullah ini bukan untuk mengharamkan tetapi sebagai anjuran sahaja. Minum dalam keadaan duduk tetap lebih baik daripada minum sambil berdiri.

 

Yahudi Dilaknat

SOALAN: Benarkah orang Yahudi dilaknat oleh Allah dalam Al-Quran?

Jawapan

Tidak semua orang Yahudi dilaknat Allah, akan tetapi mereka yang kafir sahaja. Mereka ialah orang-orang yang suka melontarkan kata-kata dan perbuatan yang dimurkai Allah. Antara perbuatan tersebut ialah:

paksa-bercerai-jatuhkan-talak-5

paksa-bercerai-jatuhkan-talak-6

 

 

 

Ingat Dunia

paksa-bercerai-jatuhkan-talak-4

SOALAN: Adakah penghuni syurga akan mengingati perkara yang telah berlaku kepada mereka semasa di dunia?

Jawapan

Ya, penghuni syurga pasti akan mengingati kehidupan mereka semasa di dunia. Perkara ini dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran. Antaranya firman Allah: “Dan (dalam nikmat itu) mereka berhadaphadapan antara satu sama lain sambal bertanya-tanya. Mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami dahulu semasa berada dalam kalangan keluarga kami selalu merasa takut (azab Allah).

Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiq-Nya) serta memelihara kami daripada azab neraka. Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembah-Nya. Kerana sesungguhnya Dialah Yang Maha Melimpahkan Kebaikan, lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Tur: 25-28)

Ahli syurga juga mengingati musibah dan ujian yang mereka tempuhi di dunia sama ada kepada diri, anak-anak, keluarga mahupun harta mereka. Dengan senang hati mereka berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menghapuskan kesedihan daripada kami. Sungguh, Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi sebaik-baik balasan (kepada orang-orang yang taat).” (Surah Fatir: 34)

Wallahu a‘lam.

DATO’ HJ. ISMAIL KAMUS

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


Dato’ Haji Ismail Kamus

Lulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan akhir beliau ialah sebagai pakar rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Kini sebagai pendakwah bebas di samping menjadi peniaga dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas