Menu

 

A+ A A-

ADAKAH JIN MASUK SYURGA

Dalam al-Quran Allah s.w.t. menyebut, taklif (perintah agama) dikenakan kepada dua makhluk-Nya, iaitu jin dan manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.” (Surah al-Zaariyat: 56).

Persoalan di sini, adakah jin taat juga masuk syurga?

Jelas, dalam surah al-Rahman ayat 55-56 bermaksud: “Di dalam syurga terdapat bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh sebelumnya, oleh jin mahupun manusia.”

Menurut pandangan Imam Qurtubi di dalam tafsirnya: “Dalam ayat ini terdapat petunjuk yang menyatakan bahawa jin, sebagaimana halnya manusia, juga mati lalu masuk syurga. Untuk mereka disediakan jin-jin perempuan (bidadari-bidadari jin).” Dalam Tafsir Qurtubi juga menyebut, Dhamrah berkata: “Kepada mereka disediakan bidadari-bidadari, bidadari manusia untuk manusia.”

Kita sangat hairan dengan sebahagian orang yang berpandangan bahawa jin, jika mereka beriman dan mengerjakan amal soleh, tidak memperoleh pahala di hari Kiamat kecuali terhindar dari Neraka. Yang menghairankan ada juga yang berpendapat bahawa akhir kehidupan jin adalah menjadi debu seperti binatang.

Cuba renungkan firman Allah s.w.t. dalam surah al-An’am ayat 130-132 yang bermaksud:

“Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayat-Ku (perintah-perintah- Ku), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: ‘Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan rasul-rasul itu).’ Dan mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri bahawa sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu). Yang demikian bukti bahawa Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim padahal penduduknya sedang leka lalai. Bagi setiap orang (manusia dan jin) memperoleh beberapa darjat (balasan) seimbang dengan apa yang mereka lakukan. Ingatlah, Tuhanmu tiadalah lalai daripada apa yang mereka lakukan.”

Al-Qurtubi mentafsirkan ayat “dan masing-masing memperoleh darjat seimbang dengan apa yang akan dikerjakan” menyatakan bahawa maksud ayat tersebut merujuk kepada jin dan manusia.

Dalam surah Al-Ahqaf ayat 18-19 yang bermaksud: “Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) adalah yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka dalam kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka tergolong dalam kalangan orang yang rugi. Bagi mereka masing-masing (dari jin dan manusia yang berbuat baik dan yang berbuat jahat) disediakan berbagai peringkat (balasan) yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan, dan yang demikian itu bagi menyempurnakan balasan amal-amal mereka, dan mereka tidak dizalimi (sedikit pun).”

Imam an-Nawawi, dalam Syarahnya bagi kitab Shahih Muslim, kuat berpendapat bahawa jin itu boleh masuk Syurga. Demikian juga dengan pendapat Al-Fakhr al-Razi dalam Tafsir al-Kabir, Al-Alusiy dalam Ruh al-Ma’ani, Ibnu Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Aziim, Muhammad Rasyid Ridha dalam Manar, dan Sayyid Qutb dalam Fi Zhilal al-Quran.

Dato’ Haji Ismail Kamus

Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Dato’ Haji Ismail Kamus

Lulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan akhir beliau ialah sebagai pakar rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Kini sebagai pendakwah bebas di samping menjadi peniaga dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Related items

Kembali ke atas