Menu

 

A+ A A-

ASAL USUL JIN

JIN itu diciptakan dari nyalaan api sepertimana yang disebut di dalam sebuah hadis sahih. Jin adalah makhluk ciptaan Allah s.w.t. dan ia memang benar-benar wujud, bukanlah khurafat atau khayalan seperti mana dakwaan kebanyakan orang yang jahil.

Banyak ayat Allah s.w.t. dalam al-Quran yang menyebut tentang kewujudan jin di antaranya, firman Allah s.w.t.: “Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur perjalanan masing-masing.” (al-Naml:17).

Dalam al-Quran juga terdapat satu surah yang dinamakan surah al-Jin. Ini membuktikan jin itu satu makhluk yang benar-benar wujud.

Ibnu Masud, Ibnu Abbas, dan sebahagian dari golongan sahabat dan Sa’id bin Musayab mengatakan bahawa (asalnya) Iblis adalah pemimpin malaikat yang tinggal di langit dunia. Ibn Abbas berkata bahawa nama sebenar Iblis adalah Azazil. Dalam riwayat lain Iblis dikatakan bernama al-Haris.

Allah s.w.t. berfirman: “Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar, dan Dia telah menciptakan jin dari al-Maarij (lidah api yang menjulang-julang).” (Surah al-Rahman 55: 14-15)

Begitu juga firman Allah s.w.t. yang menyebut: “Dan jin pula, Kami jadikan ia sebelum itu, dari as-Samuum (angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma).” (Surah al-Hijr 15: 27)

Maarij bermaksud nyalaan api yang sangat kuat dan sangat panas bahangnya atau al-Lahab. Ia jilatan api yang sudah bercampur antara satu sama lain iaitu merah, hitam, kuning dan biru. Sesetengah ulama mengatakan al-Maarij itu ialah api yang bercampur warnanya dan sama maknanya dengan as-Samuun iaitu api yang tidak berasap tetapi sangat tinggi suhu panasnya. Angin as-Samuun yang telah sebati dengan al-Maarij itu, Allah s.w.t. jadikan Jaan.

Dalam Tafsir Ibnu Kathir menyebut, as-Samuum bermaksud dari api yang sangat panas. Menurut Ibn Abbas pula, as-Samuum adalah api panas yang mematikan. Beliau juga mengatakan bahawa Jin itu diciptakan dari nyalaan api sepertimana yang disebut di dalam sebuah hadis sahih: “Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyalaan api dan Adam diciptakan daripada apa yang telah disebutkan kepada kalian.” (Riwayat Muslim).

Justeru, jelas sifat-sifat api itu juga ada pada jin. Api bersifat ringan, terdiri dari pelbagai campuran pelbagai warna dan ia tidak ada bentuk yang tetap, boleh memanjang, memendek, melentuk ke kiri atau ke kanan, dan sebagainya. Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud pula mengatakan bahawa angin yang dijadikan Jaan itu hanyalah satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian angin as-Samuun yang sangat panas. Dari api yang sangat panas inilah Allah s.w.t. telah menciptakan jin, iaitu daripada sel atau atom atau daripada nukleus-nukleus api. Kemudian Allah masukkan roh atau nyawa padanya, maka jadilah ia hidup sepertimana yang dikehendaki Allah s.w.t.

Dalam kamus Lisanul Arab, perkataan jin (dalam bahasa Arab) berasal daripada perkataan janna, bererti terlindung atau tidak nampak. Antara perkataan yang terbit daripada janna ialah:

Janin : dinamakan janin kerana ia terlindung di dalam perut ibu.
Jinan :  bermakna hati, kerana ia terlindung di dalam dada.
Junan : bermakna gila, kerana akal telah hilang.

Dinamakan jin kerana ia terlindung daripada pandangan mata manusia. Oleh sebab itu, setiap perkataan yang beriringan daripada huruf jim dan nun maka maknanya tersembunyi atau tidak kelihatan. Begitu juga jin itu digelar dengan nama sedemikian kerana ia tidak dapat dilihat dengan pandangan mata kasar.

Allah s.w.t. berfirman: “Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Al-A’raf 7: 27).


Dato’ Ismail Kamus
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

Dato’ Haji Ismail Kamus

Lulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan akhir beliau ialah sebagai pakar rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Kini sebagai pendakwah bebas di samping menjadi peniaga dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas