Menu

 

A+ A A-

TIDAK JATUH TALAK KETIKA MARAH

SOALAN : Adakah jatuh talak suami yang melakukannya dalam keadaan marah?

 

talak

JAWAPAN :

1. Menurut Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, marah ada dua keadaan:

Marah melampau yang menghilangkan kewarasan sehingga seseorang itu tidak lagi menyedari ucapan atau tindakannya. Kemarahan sebegini boleh mempengaruhi ucapan dan tindakannya secara negatif.

2. Marah biasa yang tidak sampai kepada tahap menghilangkan kewarasan akal iaitu seseorang itu masih menyedari ucapan atau tindakannya. Para fuqaha bersepakat bahawa jika suami menjatuhkan talak dalam keadaan marah yang pertama, maka talaknya tidak jatuh. Hal ini disebabkan dia dianggap bukan mukalaf ketika itu kerana kehilangan akalnya. Keadaan ini sama seperti orang yang sedang tidur atau ditimpa penyakit gila yang ucapannya tidak diambil kira atau dihukum. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Diangkat catatan (taklif ) daripada umatku tiga golongan: anak kecil hingga baligh, orang yang sedang tidur hingga dia bangun dan orang gila hingga waras.” (Riwayat Abu Dawud) Maksudnya, seseorang yang marah melampau hingga tidak lagi mampu berfikir secara normal telah diletakkan dalam kategori “tidak siuman”. Namun fuqaha berbeza pendapat mengenai talak yang diucapkan dalam keadaan marah biasa. Berikut adalah antara pendapat ulama:

1.      Tidak jatuh.

Pendapat mazhab Hanafi dan sebahagian ulama mazhab Hanbali menyatakan talak itu tidak jatuh. Antara dalil mereka ialah sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah yang bermaksud: “Tidak ada talak dan membebaskan hamba dalam keadaan marah.” (Riwayat Abu Dawud)

2.      Jatuh.

Ini pendapat mazhab Maliki, Hanbali dan Syafi‘i. Antara dalil mereka ialah sebuah atsar (ucapan sahabat): Ibn Abbas didatangi oleh seorang lelaki yang mengadu: “Saya telah menjatuhkan talak tiga pada isteri saya dalam keadaan marah.” Ibn Abbas menjawab: “Aku tidak menghalalkan untukmu apa yang diharamkan Allah. Kamu telah mendurhakai Allah, dan isterimu telah haram bagimu!” (Riwayat alDaruquthni)


Pendapat Rajih (kuat dan terpilih)

Pendapat rajih ialah pendapat kedua. Alasannya, hadis Aisyah yang menyebut bahawa talak orang yang marah tidak jatuh itu merujuk kepada marah yang amat sangat, bukan sekadar marah biasa. Kesimpulannya, suami yang menjatuhkan talak dalam keadaan marah biasa dianggap tetap jatuh talaknya. Kemarahan itu tidak mempengaruhi hukum tindakan yang dilakukannya. Melainkan kemarahannya itu melampau, maka talaknya tidak jatuh.

Tonton Filem Lucah Elak Zina

SOALAN:

Apa hukum tindakan saya menonton filem lucah sebagai cara mengelakkan diri daripada melakukan zina? Kini saya sedang belajar di UK dan masih remaja. Saya tahu bahawa hukum asalnya haram.Namun pada saya, itulah cara berkesan setakat ini. Saya khuatir bila-bila masa sahaja saya boleh terpengaruh dengan budaya pergaulan bebas disini jika tidak melepaskan tuntutan seksual. Mohon bimbingan ustaz.

JAWAPAN :

Menonton filem lucah tetap haram walau apa jua desakan. Sebenarnya, perbuatan itu lebih mendedahkan saudara kepada zina. Allah berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina!” (Surah al-Israk: 32)

Imam Ibn Kathir menjelaskan: “Dengan ayat ini Allah menegah hamba-hamba-Nya daripadan zina, menghampirinya dan terlibat dengan segala sebab dan pendorong kepada zina.”

Atas dasar ini, apabila kita hendak menjauhkan diri daripada terjebak kepada perbuatan zina, sudah semestinya kita hendaklah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menghampirkan diri kepada zina, termasuklah menonton filem lucah.

Maka dalam kes saudara, hukum menonton filem lucah tetap haram secara sepakat ulama walaupun niatnya baik. Islam mengharamkan melihat aurat orang lain terutamanya bahagian sulit. Nasihat saya, saudara hendaklah memperbanyakkan puasa, solat sunat, membaca alQuran, memilih sahabat yang baik serta menyibukkan diri dengan program-program kemasyarakatan dan kebajikan.

Selain itu, saudara boleh mengamalkan doa yang dibaca oleh Nabi semasa Baginda meletakkan tangannya di atas dada pemuda yang cenderung melakukan zina, maksudnya: “Ya Allah, ampunkan dosanya, bersihkan hatinya dan peliharalah kemaluannya.” Wallahu a‘lam.

 talak 2

 

Dr. Hj. Ustaz Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08

 


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas