Menu

 

A+ A A-

PROJEK IBNU BATTUTAH

“ILMU beliau tidak setara mana. Di bulan Rejab pada tahun dua puluh lima – yang dimaksudkannya 725 Hijrah – beliau mengembara ke dunia timur. Merentasi negeri-negeri timur sehingga Iraq al-Ajam – iaitu Farsi – kemudiannya memasuki India, Sind dan Cina lalu kembali melalui Yaman.

Seterusnya beliau menunaikan haji pada tahun dua puluh enam–yang dimaksudkannya 726 Hijrah–dan bertemu dengan ramai tokoh penguasa dan ilmuwan. Di Makkah, beliau bermukim beberapa lama sebelum ke India yang rajanya melantik beliau sebagai kadi. Setelah itu, beliau meninggalkan India dan pulang ke Maghribi dan menceritakan tentang perangai raja India, pengalamannya dan perkara yang didapatinya semasa di India.” (Tulisan Ibnu Hajar al-Asqalani, wafat 1448M, dalam karyanya “al- Durar al-Kaminah” – Permata Yang Tersembunyi) “Beliau” yang dimaksudkan oleh Ibnu Hajar rahimahullah ialah Abu Abdillah Muhammad ibnu Abdillah al-Lawati, atau lebih dikenali sebagai Ibnu Battutah.

projek-ibnu-batuttah-1

Beliau bukanlah seorang ulama, ahli falsafah mahupun tokoh Islam yang sangat ulung. Sebaliknya, beliau adalah seorang pengembara Muslim yang menjelajah ke serata dunia untuk menikmati atau merasai kehidupan penduduk benua asing. Dalam pada itu, Ibnu Battutah membetulkan dan memperbaiki kelemahan sistem syariat di beberapa buah negara yang dilawatinya agar berada di landasan dan garisan yang dipandukan melalui al-Quran, mengikut kemampuan ilmunya. Sebab itulah beliau pernah dilantik sebagai kadi untuk sekian lama semasa di India.

Segalanya bermula pada tahun 725H / 1325M ketika usia Ibnu Battutah baru menjangkau hampir dua puluh dua tahun. Pada usia muda itu, dengan iman dan takwa yang bersemadi dalam dirinya, Ibnu Battutah meninggalkan tanah lahirnya, Tanjah di Maghribi untuk menunaikan seruan rukun Islam yang kelima iaitu haji di Makkah. Namun ketika dalam perjalanan yang penuh risiko pada zaman itu, terfikir olehnya untuk mengembara ke serata dunia. Hatinya berat mengatakan bahawa banyak ilmu dan pengalaman hidup yang terbentang di luar daripada jarak perjalanannya itu. Untungnya jika beliau mengambil peluang untuk mencungkil ilmu dan dalam masa yang sama menyampaikan dakwah islamiah ke pelosok dunia.

projek-ibnu-battutah-2

Setelah menunaikan haji kali pertama pada tahun 726H / 1326M, Ibnu Battutah tidak pulang ke Maghribi, bahkan menjelajah pula ke Iraq dan Iran sebelum kembali semula ke Makkah. Dua tahun selepas itu, beliau berlayar menyusuri pantai Afrika Timur sehingga tiba di kawasan yang kini dikenali sebagai Tanzania. Ketika pulang ke Makkah, beliau sempat singgah di Oman, Teluk Farsi dan Semenanjung Arab.

Pada tahun 730H / 1330M beliau membuat keputusan untuk ke India setelah mendengar kemasyhuran Sultan India, Muhammad ibnu Tughluq yang amat pemurah. Namun Ibnu Battutah tidak terus ke India, malah beliau melalui jalan yang agak sukar melalui Mesir, Syria dan Turki sebelum belayar merentasi Laut Hitam.

Tiga tahun selepas itu, Ibnu Battutah tiba ke tanah India. Beliau tinggal di situ selama lapan tahun dan mendapat pengalaman yang secukupnya. Oleh kerana ilmu agama beliau agak tinggi, maka beliau dilantik menjadi mufti dan penasihat agama kepada sultan.

Beliau dilantik menjadi duta ke negeri Cina oleh Sultan India pada tahun 742H / 1342M. Namun setelah terkandas di kepulauan Maldives selama 3 tahun, akhirnya beliau dapat meneruskan pelayaran ke Cina melalui Bengal, Burma dan Sumatera Utara. Seterusnya melalui Selat Melaka dan Laut Cina Selatan dan terus ke Canton, Cina.

projek-ibnu-battutah-3

Pada 749H / 1349M Ibnu Battutah pulang ke Maghribi selepas menunaikan haji di Makkah. Begitulah, selama hampir 25 tahun mengembara, akhirnya beliau tiba ke tanah tumpahnya dengan penuh kesyukuran. Bermula dengan perjalanan haji, beliau tidak terus pulang, bahkan menimba pengalamannya yang tersendiri di benua asing.

Satu pengajaran yang kita dapat di sini, menurut ceritanya, Ibnu Battutah melihat setiapbenua yang dilawati dan disinggahi, boleh dikatakan ramai penduduknya telah menganut agama Islam. Ini bermakna, seruan Islam telah tersebar luas sebelum pengembaraan beliau berlaku. Betapa hebatnya seruan Islam zaman dahulu yang sukar kita nikmati di zaman ini yang sering sahaja bertelingkah sesama sendiri.

Doakan terus Islam menjadi hebat semula seperti ketika Islam diseruankan pada zaman dahulu. Amin.

Faiz M Azhari

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana


Kembali ke atas