BOLEHKAH AYAH MENCIUM ANAK PEREMPUANNYA?
- Ditulis oleh Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir
- Kategori Hukum
- Read 55786 times
Bolehkah ayah mencium anak perempuannya? Setiap kali saya ingin pulang semula ke kampus, ayah saya akan mencium saya sebelum berpisah. Bolehkah seorang ayah mencium anak perempuannya atau seorang ibu mencium anak lelakinya walaupun sudah dewasa?
JAWAPAN:
Alhamdulillah, terima kasih kepada yang bertanya. Kita tidak dapat nafikan bahawa seorang ayah adalah mahram bagi puterinya dan dibolehkan bagi si anak untuk tidak berhijab dihadapan ayahnya. Yang jadi pertanyaan disini, bolehkah seorang ayah mencium puterinya yang sudah baligh dan sebaliknya?
Diriwayatkan oleh al-Hakim di dalam al Mustadrak, Saidatina Aisyah berkata, “Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih mirip dengan Rasulullah SAW dalam ucapan dan perkataan daripada Fatimah r.ha. Apabila Fatimah dating kepada baginda, Baginda mengucapkan selamat dating kepadanya, berdiri menyambutnya, kemudian memegang tangannya, menciumnya dan mendudukkan Fatimah di tempat duduk beliau. ”Kata Imamaz-Zahabi, “Hadis ini sahih”.
Tidak ada dosa dan kesalahan bagi seorang ayah untuk mencium puterinya yang sudah besar ataupun yang masih kecil tanpa disertai syahwat. Namun ustaz nasihatkan supaya ciuman itu diarahkan ke pipi seorang anak atau sebaliknya apabila telah dewasa. Ciuman pada bibir terkadang akan menggerakkan nafsu dan syahwat ditambah pula dengan suasana zaman sekarang yang memandang bahawa ciuaman mulut ke mulut adalah ciuman kemesraan pasangan kekasih. Maka meninggalkannya lebih utama dan lebih hati-hati.
Demikian pula si anak, boleh baginya mencium ayahnya pada hidung atau kepalanya tanpa disertai syahwat. Seorang ibu juga boleh mencium anak lelakinya di dahi, pipi atau diatas kening dan begitulah sebaliknya. Adapun apabila ciuman itu disertai syahwat walaupun dibahagian mana sekalipun, maka haram hukumnya supaya menutup fitnah dan menutup ruang yang membawa kepada perbuatan keji. Wallahuaklam.
SOALAN 2: Adakah air mani itu najis?
JAWAPAN:
Alhamdulillah, terima kasih kepada yang bertanya. Dalam permasalahan najis atau sucinya air mani, ada perbezaan pendapat di kalangan para ulama. Sebahagian ulama menyatakan bahwa air mani itu najis, sebagaimana pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Sebahagian ulama yang lain berpendapat air mani itu suci, sebagaimana pendapat Imam Syafi’i dan Imam Ahmad.
Daripada dua pendapat tersebut, pendapat yang menjadi sandaran majoriti ulama adalah pendapat kedua, yang menyatakan bahwa air mani itu suci. Hal ini berdasarkan hadis Saidatina Aisyah r.ha. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di antaranya:
“Sesungguhnya aku mengikis air mani yang kering daripada kain Rasulullah SAW dengan kuku aku”.
“Sesungguhnya aku telah melihat air mani pada kain Rasulullah SAW lalu aku mengikisnya, kemudian baginda bersolat dengan kain itu”.
Daripada hadis di atas, jelaslah bahwa air mani merupakan sesuatu yang suci kerana:
- Perbuatan Aisyah r.ha. membersihkan air mani yang telah kering tersebut dengan hanya mengikis dengan kukunya. Kalau seandainya air mani adalah sesuatu yang najis, maka tidak cukup mensucikannya hanya dengan mengikisnya.
-
Sikap Rasulullah SAW menunda membasuh air mani yang menimpa pakaiannya sehingga kering, juga menunjukkan bahawa air mani itu suci. Seandainya najis, maka Rasulullah SAW akan segera membersihkannya, sebagaimana kebiasaan baginda dan sikapnya terhadap najis. Seperti peristiwa pakaian Rasulullah SAW terkena air kencing seorang bayi. Dalam hadis Ummu Qais binti Mihshan yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim: Ummu Qais binti Mihshan datang menemui Rasulullah SAW dengan membawa seorang bayi yang belum memakan makanan, kemudian Rasulullah SAW meletaknya di pangkuannya, kemudian bayi tersebut kencing di pakaian Rasulullah SAW, maka segera Rasulullah SAW meminta air dan merenjiskan air pada pakaiannya.
- Asal kejadian manusia adalah daripada air mani. Manusia dimuliakan oleh Allah dan diangkat darjatnya oleh Allah. Maka tidak selayaknya manusia berasal daripada najis. Wallahuaklam.
USTAZ MUHAMMAD YUSUF A KADIR
Sumber artikel daripada GEN-Q 10
Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir
Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.