Menu

 

A+ A A-

AL-SYAFII

ZAMAN kanak-kanak al-Syafii diisi dengan menadah kitab dan menghafaz alQuran. Malah pada usia yang masih mentah itu juga dia sudah menghafaz banyak hadis Nabi s.a.w. Dunia pengajian kitabnya bermula seawal usia sepuluh tahun, selepas dibawa ibunya ke Makkah.

Dilahirkan di Gazah, Palestin, tahun 767 Masihi, dia tidak dikenali dengan namanya yang sebenarAbu Abdullah Muhammadbin Idris, sebaliknya lebih masyhur dengan gelaran al Syafii, bersempena nama datuknya, Syafii bin Saib.

Kemampuan luar biasanya menguasai ilmu pengetahuan menarik perhatian guru-gurunya di Makkah. Manakan tidak, pada usia yang begitu muda, dia sudah menghafaz dan menulis hadis-hadis Nabi s.a.w. Antara gurunya yang paling ternama ialah Muslim bin Khalid alZinji, mufti Makkah.

Al-Syafii Seorang Genius

Kemuncak kepercayaan gurunya terhadap al-Syafii ini, setelah murid genius itu tekun dan gigih menimba ilmu serta cepat pula mengusainya, Muslim bin Khalid alZinji memberi peluang kepadanya untuk mengeluarkan fatwa dan hukum.

Tetapi peluang itu ditolak dengan alasan ilmunya masih belum mencukupi untuk berbuat begitu. Tidak puas sekadar bergelanggang di Kota Makkah, al-Syafii mengembara jauh ke pedalaman dan tinggal bersama kabilah-kabilah. Di sana dia mempelajari bahasa dan adat resam mereka.

Beliau membesar dalam kemiskinan, hingga terpaksa mengumpulkan batu, kayu dan tulang belulang untuk dijadikan tempat mencatat ilmu pengetahuan. Kadang kala dia pergi ke tempat awam meminta kertas daripada mereka untuk mencatat pelajarannya.

Al-Syafii bukan saja alim dalam ilmu agama, nahu, sastera dan sejarah, bahkan juga “alim” memanah dan menunggang kuda. Sepuluh sasaran boleh dipanah dengan tepat menggunakan sepuluh bilah anak panah.

Dengan kebenaran guru-gurunya di Makkah, al-Syafii merantau pula ke Madinah untuk menimba ilmu dengan alim ulama di sana. Berbekalkan surat sokongan daripada mufti Makkah sendiri, al-Syafii dengan mudah mendapat tempat dalam majlis pengajian di Madinah. Khususnya majlis ilmu ulama Madinah tersohor, Malik bin Anas.

Mencatat dengan Lidi dan Air

Pada mulanya cara al-Syafii menadah ilmu mendapat teguran Malik bin Anas, kerana mencatat pelajarannya menggunakan sebatang lidi yang dicelup air. Tetapi nyata ulama Madinah itu sangat terpegun apabila murid barunya itu dapat membacakan semula semua hadis yang diajarkannya.

Lebih luar biasa lagi, baru beberapa muka surat sahaja Imam Malik bin Anas mengajar sebuah kitab utama kepada murid barunya itu, al-Syafii sudah menghafaz seluruh kitab tersebut dalam masa satu malam. Sedarlah Imam Malik, muridnya itu bukan sembarangan orang. Malah guru-gurunya yang lain juga menyedari kenyataan itu.

Lama menuntut ilmu akhirnya al-Syafii menjadi seorang alim yang semakin dikenali dan disegani. Dia juga tidak menyembunyikan atau memilih-milih ilmunya mana yang hendak disampaikan dan mana yang tidak. Berpandukan ilmu yang dipelajarinya, al-Syafii dengan tegas menegur sebahagian kelompok yang terlalu mengagung-agungkan Malik bin Anas (gurunya).

Al-Syafii sangat menghormati guru-gurunya. Malah sangat menghormati majlis-majlis gurunya lebih daripada menghormati majlis-majlis raja atau pembesar negeri. Dia tidak pernah meninggalkan majlis-majlis pelajaran yang diikutinya. Dia tidak akan berbincang atau bertanya gurunya melainkan selepas mendapat kebenaran terlebih dahulu.

Suatu masa al-Syafii mengadu mengenai dirinya yang dirasakan agak sukar menghafaz ilmu-ilmu yang dipelajari. Pesan guru, “Tinggalkan maksiat.” Penangan maksiat – menggelapkan hati, menyukarkan berbuat taat dan menjadi laluan turunnya kemurkaan Allah s.w.t.

Ekspedisi Menuntut Ilmu

Walaupun ramai alim ulama yang diam di Madinah, al-Syafii memilih untuk merantau juga ke negeri lain seperti Iraq, Yaman, Kufah, Basrah dan Mesir membawa tujuan yang satu mendalami ilmu pengetahuan. Membandingkan fahamannya dengan apa yang difahami oleh umat Islam di tempat-tempat lain.

Termasuk kaedah meluaskan kefahaman terhadap sesuatu bidang ilmu adalah dengan selalu bertukar-tukar fikiran dan berbahas dengan alim ulama yang ditemuinya. Sebab itulah guru al-Syafii sangat ramai, dan pengajiannya juga merangkumi pelbagai cabang ilmu. Bahkan ada juga yang berbeza fahaman dengannya. Hal itu tidak mendatangkan masalah kepadanya. Sebaliknya membantunya meningkatkan ilmu pengetahuannya.

Misalnya, hasil selalu mengadakan perbincangan dengan alim ulama di Iraq selain berguru dengan mereka, al-Syafii dapat menyatukan ilmu fiqah penduduk Madinah dengan ilmu fiqah penduduk Iraq, yang banyak berdasarkan kepada penyesuaian dengan akal. Ia menolongnya membentuk prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah hukum fiqah. Di sinilah al-Syafii mula menyusun mazhab fiqahnya.

Sepertimana tokoh-tokoh besar Islam yang lain, al-Syafii juga sangat kuat mengerjakan ibadah malam. Dia membahagi waktu malamnya kepada tiga bahagian – satu pertiga untuk menulis dan mengarang, satu pertiga untuk ibadah dan bertahajud dan satu pertiga lagi untuk tidur.

2Al-Syafii

Menyebarkan Ilmunya

Seorang yang alim pasti memiliki ramai anak murid, begitu jugalah al-Syafii. Muridnya yang paling tersohor dan menonjol ialah Ahmad bin Hanbal, yang kemudiannya mengasaskan mazhab Hanbali. Ahmad tidak pernah meninggalkan majlis-majlis ilmu yang diadakan oleh al-Syafii.

Di samping mengajar ilmu fiqah, al- Syafii juga mengajar ilmu-ilmu yang lain. Kelas pengajiannya bermula selepas solat Subuh, dan bertukar kepada pelajaran lain selepas naik matahari. Anak murid yang lain pula datang selepas anak murid kelompok pertama pulang.

Apabila matahari tinggi mereka pun pulang dan majlis dibuka untuk ber muzakarah atau mengulang kaji pelajaran, dan apabila matahari lebih tinggi mereka pun bersurai. Datang pula kelompok anak murid yang lain belajar pelajaran yang lain pula.

Bermakna al-Syafi i mengajar kira-kira 6 jam sehari tanpa henti. Walau pun berpindah dari satu mata pelajaran ke satu mata pelajaran yang lain, beliau tidak meninggalkan majlis pengajarannya.

Al-Syafii Mengarang Kitab

Setelah lama dan jauh merantau, al-Syafii kembali semula ke Makkah. Beliau mengajar di Masjidilharam. Di samping mengajar, beliau masih juga belajar; mendalami alQuran, hadis, ijtihad, usul-usul pengambilan hukum dan kaedah-kaedah umum dalam bidang ilmu fiqah.

Selepas kira-kirasembilan tahun di Makkah, al-Syafii berhijrah lagi. Kali ini ke Baghdad dan mencurahkan pula ilmunya di sana. Al-Syafii mula menyusun kitab al-Risalah yang memuatkan beberapa prinsip ilmu fiqah. Empat tahun kemudian al-Syafii berhijrah pula ke Mesir.

Al-Syafii menyusun beberapa buah kitab lagi. Di Mesir juga dia memperjuangkan mazhabnya yang baru disebabkan keadaan dan juga adat-adat yang berlainan. Kesemua hukum-hukum disebutkan dalam kitabnya yang berjudul al-Um. Beliau menetap di Mesir hinggalah ke akhir hayatnya, dalam usia 54 tahun. ¤

 

Zuraimi Ismail

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

 

Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Artikel berkaitan: « IMAM SHAFIE IMAM AL NAWAWI »
Kembali ke atas