Menu

 

A+ A A-

RAHSIA VOKAL DAN PERGERAKAN SOLAT

RUKUN-RUKUN fi’li, qauli dan qalbi (perbuatan, bacaan dan hati) dalam solat mempunyai peranan amat besar kepada kesihatan tubuh badan dan ruh (jiwa). Solat juga merupakan senaman bagi orang mukmin bukan sahaja fizikal, bahkan sekaligus senaman untuk rohani.

Kalau senaman lain hanya untuk fizikal sahaja atau untuk jiwa sahaja. Seperti yoga dan anmo untuk jiwa sahaja. Bagi membuktikan solat sebagai senaman zahir dan batin (untuk kesihatan anggota dan tenaga luaran dan dalaman), dipetikkan di sini hasil kajian ilmiah oleh pakar perubatan, Sheikh Hakim Moinuddin dalam kitab at-Tib al-Rauhi as-Sufi.

A. Berdiri betul dan takbir

tipsolat-1-2

Perbuatan berdiri dan takbir (Gambar 1 & 2) dalam sembahyang memberi faedah kerehatan kepada otot-otot atas dan bawah belakang dan kedua-dua kaki, kerana berdiri meluruskan tulang belakang dan kaki dan kedua-dua tidak membengkok atau terhimpit, ini memudahkan kelancaran darah berjalan dengan betul dan urat saraf berada di posisi asal.

Sementara tumpuan mata ke tempat sujud menarik tumpuan otak atas dan bawah bersatu dalam satu pusat konsentrasi dan membebaskan akal dari sebarang ingatan, menjadikan ia rehat dan tenang. Ini merupakan latihan untuk membina kesejahteraan (kesihatan) zahir dan batin seseorang.

B. Rukuk dan iktidal

tipsolat-3

Rukuk pula (Gambar 3) berperanan merenggang sepenuhnya otot-otot bahagian bawah belakang, paha dan betis. Ketika itu darah pula dipamkan ke atas badan. Kesan daripada pergerakan dan diam perbuatan itu melembutkan otot-otot perut dan buah pinggang. Kesan jangka panjangnya akan menyejahtera dan mengharmoni jiwa.

Perbuatan berdiri iktidal (bangun dari rukuk) dan berhenti sejenak memberi peranan kepada darah yang baru bergerak itu masuk ke dalam saluran urat asalnya. Lalu badan mendapat balik kerehatan dan menghilangkan ketegangan (release tension).

C. Sujud dan duduk antara dua sujud

tipsolat-4

Sujud pula (Gambar 4) membina otot perut dengan sempurna dan mengelak perut buncit. Menambah dan melancarkan aliran darah ke bahagian atas badan, khususnya daerah kepala, termasuk mata, telinga, hidung dan paru-paru (kerana kedudukannya direndahkan), membersihkan pernafasan dan sistem urat saraf, mengeluarkan mentol toxin (gas keracunan) dari badan oleh aliran darah itu daripada organ-organ berkenaan.

Sujud kedua pula mengimbangkan sistem saraf dan menyempurnakan pengoksidenan seluruh badan. Kesannya memberi keringanan kepada badan dan emosi. Kesan lain daripada sujud terhadap kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan ialah mengurangkan tekanan darah tinggi, menambahkan keanjalan (elasticity) sendi-sendi.

Bagi wanita yang sedang mengandung pula, sujud dapat membetulkan (adjust) kedudukan janin di posisi yang sempurna. Kesan sujud di segi kerohanian pula ialah menghapuskan ego, meningkatkan kesabaran dan tawakal kepada Allah, meninggikan ruh dan memantapkan tenaga jiwa. Lantaran itu Nabi s.a.w. menganjurkan agar lama dalam bersujud.

tipsolat-5

Perbuatan duduk di antara dua sujud pula (Gambar 5), bila tumit kanan melentur dan dihimpit pula oleh tekanan berat kaki dan badan, membantu mengeluarkan keracunan (toxin) dari organ hati (heart) dan menggerakkan tindakan otot pada usus besar. Sementara bagi kaum wanita pula mereka membiarkan badan mereka berada di atas kedua kaki yang bertapak tegak ke atas.

Kesannya akan memberi keselesaan dan kerehatan yang selesa. Gerakan ini memberi kesan penghadaman dengan menekan kandungan-kandungan dalam perut ke arah bawah, memberi kelawasan kepada pembuangan najis dan mengelak sembelit.

D. Kesan bacaan dalam solat pada kesihatan

Selain rukun perbuatan (rukun fi’li) dalam solat, gerakan rukun bacaan (rukun qauli) juga memberi kesan merangsangkan hati, kelenjar tiroid (leher dan halkum), kelenjar pineal, kelenjar pitunitari, kelenjar adrenal dan paru-paru serta meningkatkan fungsi semua anggota zahir dan batin.

E. Kesan rukun tertib

Tertib ialah kesinambungan antara suatu rukun dengan rukun yang lain wajib ada susunan yang teratur tanpa boleh didahulukan atau dikemudiankan mana-mana yang telah ditetapkan. Bermula dari takbir hinggalah kepada salam. Rukun ini ialah sebagai latihan kepada jiwa kita agar peka dengan disiplin dalam hidup. Orang yang telah biasa mematuhi disiplin dalam solat dengan sepenuh hati, ia mudah untuk mendisiplinkan dirinya ketika berhadapan dengan disiplin hidup, khususnya yang telah diaturkan oleh syariat Allah. ¤


Jaafar Salleh
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana

 


 

Jaafar Salleh

Dilahirkan di Kg. Merbok, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Madrasah Saadatul Islamiah, Pasir Jernih dan Madrasah Saadatuddarain, Batu Hampar. Berpengalaman sebagai Tim. Ketua Pengarang akhbar Mingguan Islam, dan menjadi koresponden di Bangkok selama 2 tahun, di samping menjadi wartawan dan penulis. Beliau juga adalah Setiausaha Yayasan Aminul Ummah Malaysia sejak tahun 2000. Telah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku, dan sekarang bergiat sepenuh masa di bidang penulisan.

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

psn1029

Terkini daripada Jaafar Salleh

Kembali ke atas