Menu

 

A+ A A-

CINTA TANPA SYARAT

MASIH ingat watak dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk? Pada satu babak, Ali Baba yang dilakonkan oleh seniman Aziz Satar, mengambil sebilah kapak dan tali untuk pergi bekerja setelah “diugut” oleh isterinya. Sebaik keluar dari rumah, Ali Baba mengeluh, “Siapa tak sayang bini ooi…”

Ya, sungguhpun itu sekadar lakonan, namun dalam realiti hidup, ramai para suami yang bersikap sedemikian. Mereka bukan tidak menyayangi isteri tetapi sering gagal mempamerkan atau menterjemahkan kasih sayang itu dalam bentuk sikap dan tindakan. Dan selalunya mereka “mempamerkannya” hanya apabila didesak, diugut atau lebih buruk apabila isteri yang tersayang sudah lari meninggalkan rumah atau menuntut fasakh!

Memetik sebuah hadis daripada Rasulullah s.a.w., Baginda pernah satu ketika diberitahu oleh seorang sahabat akan rasa sayangnya ke atas seorang sahabat yang lain. Rasulullah pun bertanya semula, apakah dia telah memberitahu sahabatnya itu tentang rasa kasihnya. Sahabat itu menjawab bahawa dia belum berbuat demikian.

Lantas, Rasulullah bersabda, “Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu mengasihinya.” Apa yang kita dapat belajar daripada kisah ini? Ya, jika anda menyayangi seseorang, nyatakanlah. Dalam rumah tangga misalnya, seorang suami harus menyatakan kasih sayang kepada isterinya.

Luahkan kasih sayang

Penyataan kasih sayang ini boleh dinyatakan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian keadaan.

Pertama - Secara cakap. Sehubungan dengan ini, ingin ditegaskan bahawa ramai suami telah melakukan kesilapan. Kesilapan mereka bukannya tidak menyayangi isteri, tetapi tidak ataupun semakin kurang meluahkan rasa sayang itu dalam bentuk kata-kata. Para suami tidak boleh terlalu lokek dengan kata-kata yang membelai, memujuk, bersimpati dan menyayangi kepada isteri.

Pengaruh kata-kata sangat besar dalam kerukunan rumah tangga. Jika sebutir kalimat yang buruk boleh membawa kehancuran begitu juga sebaliknya, kalimah yang baik boleh membawa kebahagiaan dalam rumah tangga. Jangan sekali-kali beranggapan bahawa cukup rasa sayang yang bersemi di hati, tidak perlu diluahkan lagi. Sebaliknya, carilah masa yang sesuai dan ketika yang baik untuk meluahkannya. Suami boleh menunjukkan sayangnya dalam bentuk kata-kata pujian, ataupun secara empati misalnya, “Sudah seharian awak bekerja, tentu awak berasa letih,” dan sebagainya.

Kata-kata simpati sekadar menunjukkan kita memahami perasaannya. Tetapi kata-kata berunsur empati lebih daripada itu. Ia menunjukkan penuturnya merasai perasaan yang sedang dialami oleh pasangannya. Ia menunjukkan bahawa kita turut berkongsi merasakan kesusahan, kesenangan atau apa saja bentuk emosi yang dialami oleh isteri kita.

Kedua - secara sikap Penyataan sayang juga mesti diluahkan dalam bentuk sikap. Sikap memberi kesan yang lebih daripada sekadar cakap. Maksudnya, manusia lebih mempercayai kata-kata yang dibuktikan melalui sikap daripada kata-kata kosong atau cakap tidak serupa bikin. Sehubungan dengan ini, suami hendaklah membuktikan menerusi tindakannya bahawa dia benar-benar menyayangi isteri.

Belaian fizikal

Sikap boleh ditunjukkan dalam bentuk belaian fizikal. Katakanlah isteri kita membuat sesuatu perkara yang baik, maka kita pun membelai rambutnya atau menepuk bahunya sebagai tanda sokongan dan penghargaan. Ini adalah salah satu bentuk sentuhan fizikal yang sering diabaikan terutamanya oleh pasangan suami isteri yang berusia 40 tahun ke atas.

Sedangkan, semakin bertambah usia perkahwinan, sewajarnya semakin banyak belaian fizikal yang tidak dibauri oleh keinginan seks. Selain itu, kasih sayang juga mesti dibuktikan dalam bentuk tindakan pembelaan. Katakanlah isteri menghadapi krisis dengan keluarganya atau kawan-kawan di tempat kerja, maka kita sebagai suami perlu membelanya. Membela di sini bukan bermaksud membenarkan sahaja sikap isteri walaupun kita tahu dia bersalah. Tetapi membela dalam erti kata bersimpati terhadap krisis yang mereka alami.

Juga dengan memberi jalan penyelesaian ataupun panduan-panduan untuk mereka bertindak dalam menyelesaikan sebarang persengketaan peribadi tersebut. Jangan sekali-kali kita menempelak, menyindir atau membiarkan mereka keseorangan. Buktikan, kita sentiasa di sisi isteri kita dalam menghadapi “serangan” orang lain terhadap mereka.

Urusan harian rumah tangga

Kasih sayang juga boleh diterjemahkan secara membantu dalam urusan harian rumah tangga seperti mengemas rumah, memasak, mencuci pinggan dan sebagainya. Ini bukan bermakna para suami perlu mengambil alih peranan isteri sepenuhnya dalam urusan ini (kerana mereka ada peranan di luar rumah) tetapi itu satu sumbangan dalam bentuk bantuan tenaga kepada isteri sekali gus pernyataan kasih sayang kepadanya. Lebih-lebih lagi bagi isteri yang juga bekerja, bayangkan tergamakkah para suami jika mereka balik ke rumah untuk berehat sedangkan isteri balik ke rumah untuk menyambung kerjanya sebagai suri rumah.

Mengikut syariat Islam tanggungjawab mengemas rumah, memasak dan lain-lain bukanlah tugas asasi para isteri. Dalam keadaan yang ideal, suami mesti menyediakan pembantu rumah untuk meringankan beban kerja tersebut, jika mampu. Namun jika suami tidak mampu, apa salahnya jika para suami turut ringan tangan untuk menampung kekurangan itu dengan tenaga mereka sendiri! Kerja rumah akan menjadi mudah, dan masa yang terluang boleh digunakan untuk berinteraksi bersama anak-anak dan sesama suami isteri.

Lihat, betapa satu kebaikan akan menjadi satu mata rantai kepada satu kebaikan yang lain. Begitu juga, jika isteri mengalami keuzuran atau keletihan dan sebagainya, si suami bukanlah sekadar memberikan ubat tetapi perlu memastikan ubat itu diminum atau dimakan. rajin-rajinlah bertanya, “Dah makan ubat ke belum?” Jika ada perubahan, katakan, “Saya nampak muka awak dah ceria sedikit…” Begitulah, perasaan wanita perlu dibelai selalu.

Suami juga boleh meringankan beban kesakitan isteri misalnya dengan mengurut badan yang lenguh, memicit kepala dan sebagainya. Jangan hanya berkata, “Kasihan…” Tapi buktikan kasih saying dan kasihan itu dalam bentuk tindakan. Tanaman yang layu, tidak akan segar kalau pekebun hanya berkata, “Kasihan…” tetapi langkah yang terbaik ialah siramkan air, berikan baja barulah kasihan itu terbukti. Begitulah tindakan yang sewajarnya oleh para suami apabila isterinya sakit.

Ikhlas memberi kasih sayang

Tip-tip di atas tidak akan berguna sekiranya suami tidak benar-benar ikhlas dalam menunjukkan kasih sayang kepada isteri. Misalnya suami memberi kasih sayang dan pada masa yang sama mereka menuntut balasan. Apabila mereka tidak mendapat balasan yang setimpal, mereka mula merungut, menyesal dan sampai ke satu tahap memberhentikan belaian yang pernah mereka berikan.

Perlu diingat, hubungan kasih saying bukanlah hubungan perniagaan, yang mana kita mengharap keuntungan daripada modal yang diberikan. Segala-galanya dikira dalam bentuk angka. Kasih sayang, bukan barang niaga tetapi ia adalah pemberian ikhlas untuk mendapat sesuatu yang lebih berharga daripada Tuhan.

Oleh itu, suami hendaklah ikhlas memberi kasih sayang tanpa mengharapkan balasan. Mereka memberi kasih sayang itu benar-benar kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami yang memikul amanah daripada Tuhan. Soal isteri membalasnya semula, itu persoalan kedua. Maksudnya, suami yang beriman akan mempraktikkan apa yang dikatakan “unconditional love” – kasih sayang tanpa syarat dan tanpa mengharap balasan. Mereka tidak mengira berapa banyak balasan daripada apa yang telah mereka berikan.

Inilah kunci kasih sayang dalam rumah tangga. Dengan mempraktikkan kasih sayang tanpa syarat dan tanpa balasan, yang mana memberi dan menerima kasih sayang adalah kerana Allah, atas dasar iman, maka terlaksanalah hokum sunnatullah (nature law) berkaitan kasih sayang ini yakni seseorang akan mendapat kasih sayang hanya setelah ia memberinya. Sebab itu, masyhurlah kata bijak-pandai, “What you give, you get back!” ¤

 

 

 

Pahrol Mohd Juoi

Sumber artikel daripada Majalah Solusi Isu No.4


 

 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Artikel berkaitan: JOM BERSABAR »
Kembali ke atas