Menu

 

A+ A A-

PUASA ITU LATIHAN MENGURUSKAN NAFSU

RAMADAN dihadapi umat Islam mengikut tanggapan yang berbeza berdasarkan ilmu, keyakinan dan kesungguhan masing-masing. Ada yang melihatnya di sudut ekonomi dan kewangan. Bagaimana bulan Ramadan boleh menambah atau mengurangkan pendapatan?

Ada pula yang melihat di sudut kesihatan, bagaimana puasa menyihatkan tubuh badan? Tidak kurang yang melihat Ramadan sebagai satu “adat” yang bersifat ritual tanpa nilai-nilai spiritual. Bijak pandai ada berkata, “what you get is what you see”. Maksudnya, apa yang kita akan dapat bergantung kepada apa yang kita lihat. Oleh itu, kesan dan manfaat puasa bergantung kepada cara kita “melihatnya”. Jika pandangan alam (worldview) kita tentang puasa tepat, maka kita akan mendapat hasil yang tepat juga.

Sebaliknya, jika pandangan alam kita tersasar maka tersasar jualah hasilnya. Realitinya, masih ramai melihat puasa secara serpihan bukan kebulatan (menyeluruh). Akibatnya, kesan daripada puasa itu juga serpihan dan tidak menyeluruh. Marilah kita teliti kembali sejauh mana kesan puasa dalam menjana peribadi yang baik, mencegah kemungkaran dan kejahatan, membina nilainilai murni serta membina sebuah masyarakat yang harmoni? Dan paling penting, apakah takwa yang menjadi tujuan utama puasa difardukan itu telah tercapai?

PUASA ITU "MENAHAN"

Puasa dari segi bahasa bererti “menahan”. Semua perkara atau perlakuan yang “ditahan” (haram) semasa berpuasa hakikat bebas (halal) dilakukan jika tidak berpuasa. Semasa berpuasa umat Islam dilatih bukan sahaja meninggalkan perkara yang haram malah yang halal juga. Jika demikian, seharusnya tidak timbul masalah lagi bagi umat Islam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan pada bulan-bulan lain lantaran latihan meninggalkan perkara yang halal pada bulan Ramadan. Ironinya, ini tidak berlaku! Hakikatnya berbagai-bagai kemungkaran telah dilakukan oleh umat Islam selepas bulan puasa.

Ini menunjukkan bahawa puasa umat Islam masih tidak berkesan. Bagaimana berpuasa secara berkesan? Ada beberapa faktor yang mesti diberi perhatian serius untuk melaksanakannya. Antaranya ialah:

  1. Misi berpuasa yang jelas.
  2. Input dalam niat yang betul.
  3. Proses pelaksanaan yang baik.
  4. Output (hasil) yang betul.

Misi Berpuasa Yang Jelas

Misi utama perintah berpuasa ialah “menahan” diri dengan melawan hawa nafsu. Puasa adalah latihan “mengurus” atau mengawal nafsu yang menjadi musuh dalam diri manusia. Firman Allah: “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Surah Yusuf 12: 53) Jika nafsu dapat “dijinakkan”, maka diri akan menjadi baik.

Puasa mempunyai mekanisme yang khusus untuk membantu manusia melawan dan menjinakkan nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan. Untuk menjadi hamba yang bertakwa, seseorang perlu meningkatkan keupayaan diri untuk melawan hawa nafsu yang membelenggu hati dan fikiran. Jika solat adalah latihan menghubung hati secara langsung dengan Tuhan, zakat membersihkan rasa tamak kepada harta di dalam jiwa, puasa adalah ibadah khusus untuk melawan nafsu. Justeru, puasa mempunyai pakej latihan tertentu untuk menangkis segala kejahatan nafsu demi membentuk sifat takwa. Antara pakej latihan itu ialah berlapar, bangun malam, membaca al-Quran dan beriktikaf di dalam masjid.

Input Yang Betul Dalam Niat

Apakah yang dimaksudkan dengan input dalam kita berpuasa? Maksudnya, kita berpuasa atas dasar apa? Kerana kesihatan? Kerana pahala? Kerana kebiasaan? Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 83)

RAMADAN

Melihat awalan ayat ini, fahamlah kita bahawa puasa mesti dilaksanakan atas dasar iman. Input dalam diri orang berpuasa ialah keimanannya kepada Allah. Justeru, niat berpuasa mestilah “kerana Allah”. Di sinilah seringnya berlaku kesalahan dalam diri orang yang berpuasa. Tanpa disedari ramai mengerjakan puasa bukan atas dasar iman lagi.

Ada kalanya puasa tidak lagi dilaksanakan atas dasar perintah Allah tetapi lebih didorong oleh tujuan mendapat hikmah di sebalik perintah. Antara hikmah puasa misalnya, seseorang akan mendapat kesihatan tubuh badan, pengurusan masa dan limpahan rezeki. Walaupun jika berpuasa, memang kita akan dikurniakan akan hikmah-hikmahnya tetapi perlu diingat bukan itu tujuan utama kita berpuasa. Kita melaksanakannya atas dasar iman. Walaupun sekiranya kita tidak mendapat hikmah yang disebutkan, kita tetap berpuasa. Hikmah soal kedua, yang pertama dan utama ialah perintah Allah.

Ada pula yang asyik memburu fadilat hingga fadilat itu dijadikan niat dan matlamat. Fadilat seeloknya tidak dijadikan dasar sesuatu ibadah. Ia hanya bersifat galakan dan insentif yang bersifat dorongan sampingan. Sedangkan, puasa yang berkesan, mestilah dibuat atas dasar rasa kehambaan kepada Allah. Kita hamba, maka sewajibnya sorang hamba mematuhi perintah Allah sama ada dengan atau tanpa ganjaran.

Proses Pelaksanaan Yang Baik

Input semata-mata tidak akan menjamin kesan yang baik sekiranya tidak diiringi oleh proses pelaksanaan yang baik. Ertinya, puasa hendaklah dilaksanakan dengan cara yang baik yakni mengikut segala ‘manual’ lahir dan batin seperti yang ditetapkan oleh syariat.

Nafsu adalah musuh batin, maka ia juga mesti dikalahkan secara batin. Namun soal batin ini berkait juga dengan soal lahiriah. Tiga elemen penting dalam “konspirasi” kejahatan manusia ialah kejahatan nafsu dalam diri, bujukan syaitan yang maknawi dan pengaruh makanan yang haram. Hubungan ini digambarkan begini; nafsu mendapat kekuatan dari makanan yang haram hasil bujukan syaitan. Kemudian barulah terlaksana kejahatan. Nafsu menjadi liar apabila seseorang makan secara berlebihan. Nafsu perut (makanan) sangat berkait dengan nafsu seks. Apabila seseorang makan berlebihan (walaupun yang halal), apatah lagi yang haram, nafsu akan menjadi buas dan seseorang itu mula terdorong mengikut jalan-jalan kejahatan yang dibentangkan oleh syaitan.

Daripada kedua jenis nafsu – seks dan banyak makan (hubbu ta’am) inilah timbulnya pelbagai kejahatan dan kemungkaran. Ingat betapa Nabi Adam dan Siti Hawa juga terjerat oleh tipuan syaitan menerusi nafsu makan (buah larangan di dalam syurga). Juga Qabil yang membunuh Habil kerana nafsu inginkan wanita yang cantik (seks)? Sesetengah riwayat menyatakan bahawa syaitan ‘dirantai’ pada bulan Ramadan. Pada masa yang sama kita dilarang makan dan minum dalam tempoh beberapa jam.

Berdasarkan logik, nafsu sepatutnya sudah lemah. Sumber “tenaganya” disekat dan ‘mentor’nya telah dirantai. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, masih banyak kejahatan yang dibuat oleh orang Islam di bulan puasa. Kenapa? Ini disebabkan proses “menyempitkan” saluran darah (yang merupakan “highway” syaitan) tidak tercapai sepenuhnya. Nafsu yang diempang pada siang hari bulan puasa telah “mengamuk” sebaik sahaja masuk waktu berbuka. Dengan berbuka secara membazir, gelojoh dan banyak, nafsu bukanlah ditahan, sebaliknya cuma diempang buat seketika dan diledakkan semula semahu-mahunya semasa berbuka. Jadi tidak hairanlah kalau nafsu bukan semakin lemah tetapi semakin kuat pada bulan puasa!

Ramai beranggapan tujuan berlapar pada bulan puasa adalah untuk merasai kelaparan yang dialami oleh orang-orang miskin supaya timbul rasa simpati dan empati kita terhadap mereka. Ini kurang tepat. Jika benarlah itulah tujuan utama, mengapa orang miskin yang mampu berpuasa juga diwajibkan berpuasa?

Bukankah hari-hari yang bukan di bulan puasa mereka sudah merasai lapar dan dahaga kerana kesempitan hidup? Ikut logiknya, biarlah hanya orang kaya yang selalu kenyang itu sahaja yang berpuasa. Mengapa orang kaya dan miskin sama-sama diwajibkan berpuasa?

Ini menunjukkan ada tujuan lain yang lebih utama di sebalik rasa ‘lapar’ semasa berpuasa selain untuk menimbulkan rasa simpati dan empati dalam diri orang kaya. Dan bagi orang miskin pula, amat besar bezanya berlapar kerana Allah (berpuasa) dengan berlapar kerana makanan memang tidak ada. Lapar kerana kesempitan hidup dengan lapar kerana berpuasa sangat jauh bezanya. Di bulan puasa umat Islam berlapar hanya kerana Allah justeru melalui puasa Allah melatih kita agar menjadi orang kaya yang syukur atau orang miskin yang sabar!

Dan latihan berlapar disiang hari itu diikuti pula oleh pakej latihan yang berbentuk habluminallah dan habluminannas. Pakej ini perlu dilaksanakan untuk mendapat kesan yang sepadu dengan berpuasa. Oleh itu, kita perlu menjalani latihan-latihan ini bersungguh-sungguh. Antara pakej latihan itu ialah solat tarawih, membaca al-Quran, memperbanyakkan sedekah, beriktikaf di masjid dan berqiamullail. Inilah proses yang mesti dilalui untuk mendapat puasa yang berkesan.

Output Yang Betul

Hati yang dicanai dengan memperbanyakkan solat sunat, fikiran yang digilap oleh pembacaan al-Quran dan fizikal yang beriktikaf di rumah Allah akan dapat mengawal hawa dengan sepenuhnya. Inilah yang dimaksudkan dengan takwa – yang bererti waqa (berhati-hati) atau wiqayah (pencegahan). Orang yang bertakwa ialah mereka yang sentiasa berhati-hati dan mencegah dirinya daripada melanggar hukum Allah lahir dan batin! Dan puasa umpama “break” kepada “kenderaan” nafsu kita.

Dengannya kita boleh melepaskan atau menghentikan perjalanan nafsu kita. “Semoga kamu menjadi orang yang bertakwa” di bahagian akhir surah al-Baqarah 83 itu adalah umpama buah yang diharapkan terhasil dari pohon yang baik, dan pohon yang baik itu pula berasal dari biji benih yang baik. Jadi bolehlah dirumuskan bahawa puasa mestilah dibina atas input yang jelas (benih yang baik), prosesnya yang tepat (pohon yang subur) dan akhirnya melahirkan output yang baik (buah yang enak), iaitu takwa.

Takwa itu dapat dikesan melalui dua bentuk – pertama, peningkatan akhlak (hubungan dengan manusia) dan kedua, peningkatan kualiti kerja peranan atau tanggung jawab (hubungan dengan pekerjaan). Jika akhlak masih rendah, kualiti kerja dan rasa bertanggung jawab masih lemah, itu petanda takwa masih rapuh. Kenapa takwa masih rapuh?

ramadan 2

PUASA - PUSAT LATIHAN UMAT

Jawabnya, kerana puasa tidak berkesan. Kenapa puasa tidak berkesan? Sebab ia sama ada dilaksanakan bukan atas dasar iman (inputnya tidak jelas) ataupun prosesnya tidak baik (tidak menepati syariat lahir dan batin). Kesanya? Nafsu masih buas walaupun setelah sebulan berlapar dahaga. Fikiran masih kotor walaupun telah tamat 30 juz bertadarus. Hati masih tamak walaupun telah bersedekah, beriktikaf dan qiamullail.

Sayang sekali puasa tidak lagi menjadi “pusat latihan” umat ini kerana kebanyakan kita menjalani puasa tanpa kesedaran, kefahaman dan penghayatan yang tinggi. Allah memberi sesuatu yang lebih tinggi dan mahal harganya di sebalik puasa, tetapi kita manusia leka dengan sesuatu yang rendah dan murah.

Ya, “what you get, is what you see” – puasa umpama laut yang luas dan dalam. Ada yang melihat sampah dan buih di atas permukaannya, ada yang melihat ikan dan hasil laut di dalamnya, namun ada yang mampu melihat “emas hitam” (petroleum) di dasarnya. Kesan puasa tidak sama pada semua orang. Ia bergantung kepada cara kita melihat, tahap kita berusaha dan kemampuan menahan keperitan untuk mendapat rahmat, magfirah dan barakahnya. Moga-moga kita mendapat takwa – hadiah yang dijanjikan Allah sejak lama. Bukan “lapar dan dahaga” seperti yang diterima sekian lama!¤.

 

Pahrol Mohamad Juoi

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas