Menu

 

A+ A A-

KISAH SEDIH PEMBANTU RUMAH

Saya seorang pembantu rumah yang mempunyai masalah keluarga. Ketika saya hamil tiga bulan, suami meninggalkan saya dan mengahwini perempuan lain. Kini anak saya sudah berusia tujuh tahun dan suami langsung tidak menghiraukan saya. Malah isterinya itu mengejek dan menghina saya. Tolonglah saya Prof.

Jawapan

Masalah ini memang sering terjadi. Tetapi ingin saya pesankan di sini, setiap yang berlaku semuanya baik. Setiap yang berlaku adalah satu mesej daripada Allah untuk kita melihat dan memperbaiki diri kita. Orang yang menerima musibah dengan sabar dan reda, Allah akan memberinya ganjaran sebab orang yang sentiasa bersabar memang akan mendapat kemenangan.

Kita tidak boleh mengubah perkara yang berlaku. Kita cuma boleh mengubah respons kita terhadap perkara yang berlaku. Sama ada sesuatu perkara itu masalah ataupun peluang, bergantung kepada cara kita berfikir dan melihat. Jadi dengan mengubah cara kita melihat sesuatu, cara berfikir akan berubah.

Saya cadangkan kepada puan, hentikan merasa menjadi mangsa. Hentikan merasa tidak gembira bila ditinggalkan suami. Fokus dan bersyukur kerana telah melakukan sunnah Nabi dengan status isteri. Kerana sesiapa yang sudah berkahwin, nilai ibadahnya lebih besar daripada orang yang belum berkahwin.

Apa kata puan fokuskan tenaga untuk membesarkan anak supaya menjadi pencen kubur nanti. Jangan ada aura negatif di rumah - mengeluh, merungut, menyesal – sehingga kreativiti anak terbantut dan tidak memikirkan masa depan yang cerah. Anak kita ada masa depan yang lebih panjang daripada kita. Jadi, jangan bunuh potensinya untuk membesar.

Apa yang puan perlu lakukan adalah memperbetulkan akidah, ibadah dan akhlak. Berdoa kepada Allah supaya ditukarkan minda negatif kita kepada positif. Bercakap hanya yang baik dan berusaha sedaya upaya memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.

Kita boleh lihat contoh pembantu rumah dari Indonesia yang berjaya. Ramai pembantu rumah yang juga ditinggalkan suami, namun semuanya berjaya sekarang ini. Mereka tidak lihat ke belakang, sebaliknya mereka lihat ke depan dan buat pilihan yang baik setiap hari.

Ayah Perokok

Saya sangat menyayangi ayah saya sebagai ketua keluarga. Dia seorang ayah yang bertanggungjawab. Tetapi hanya satu perkara yang saya kesalkan tentangnya. Dia seorang penghisap rokok tegar. Bagaimana saya boleh mengubah tabiatnya ini Prof.?

Jawapan

Kita hanya akan lihat perkara yang ada dalam diri kita. Apa yang kita percaya, itu yang kita akan lihat. Saya selalu sebut, kalau kita banyak kebaikan dalam diri, kita akan dapat melihat kebaikan dalam diri orang. Kalau kita percaya semua orang baik, kita akan dapat melihat kebaikan dalam diri orang lain.

Jika bapa kita penghisap rokok, itu sifat negatifnya. Sebab itu di padang mahsyar nanti ada timbangan baik dan buruk. Tetapi kalau ayah kita berakhlak dan menjaga solat lima waktunya, kita harus memandang positif.

Jika kita ada hubungan yang baik dengan ayah, katakan padanya: “Ayah, saya sayang ayah. Tapi kalau ayah hisap rokok, nanti ayah sakit, saya pun susah hati. Ayah berhentilah.” Bila kita beri nasihat dengan penuh kasih sayang dan bukan menghukum, insya-Allah ayah akan mendengar.

Bandingkan Anak

Anak kembar saya yang kedua berumur lima tahun selalu merasa rendah diri. Di sekolah, dia tidak boleh fokus pada satu aktiviti. Dia akan buat benda lain dan bila berperangai begitu, dia selalu dimarahi. Berbeza dengan abang kembarnya yang aktif dan selalu mendapat penghargaan. Mereka kembar seiras. Saya selalu puji dia: “Adik pun pandai juga macam abang.”

Jawapan

Perhatikan ayat puan memuji: “Adik pun pandai juga macam abang”. Secara tidak sedar, kita telah membanding-bandingkan anak-anak kita. Perbandingan sebegini tidak patut dilakukan, sebaliknya kita sebagai ibu perlu yakin terhadap anak-anak.

Walaupun anak kita kembar seiras, mereka tetap individu yang berbeza. Jika kita ingin menjadi ibu bapa yang baik, galakkan anak kita buat benda yang betul. Kebanyakan ibu bapa fokus kepada benda yang tidak betul.

Ingat, apa yang kita fokus, itu yang kita lihat. Yang penting bagi anak-anak pada umur ini, mereka macam span, imej diri dan paradigmanya sedang terbentuk. Saya cadangkan supaya puan katakan kepada gurunya, anak-anak tidak boleh dimarahi sewenang-wenangnya.

Wallahu a‘lam.

 PROF. DR. MUHAYA HJ. MOHAMAD

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas