SET SEMULA MINDA DENGAN 5S 3M
- Ditulis oleh Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad
- Kategori Terkini
- Read 8102 times
Bagaimana untuk memupuk sifat tawaduk?
Apabila berjumpa dengan orang hulurkanlah senyuman, salam dan bertanya khabar dengan penuh sopan santun. Muka yang cantik semata-mata namun tidak diserikan dengan senyuman menunjukkan perangai yang tidak elok. Dahulukan memberi salam, sapa dan bertanya khabar dengan sopan santun.
Riak muka melambangkan seseorang itu bersopan santun atau tidak. Riak muka seperti senyum, mata memandang dengan kelembutan dan cara pandangan sahaja boleh membuatkan orang berasa suka atau sakit hati. Salah satu sifat ahli syurga ialah tidak akan membuatkan orang lain berasa sakit hati dengan pandangan, perkataan mahupun perbuatan. Jika hati baik, cara pandangan akan nampak lembut. Pandangan dengan kasih sayang itu pula sopan daripada segi pandangan, riak muka dan bahasa badan.
Orang yang sombong bersalam dengan cara mendabik dada, muka mendongak ke atas dan tidak memandang anak mata. Ini berlainan dengan cara orang yang tawaduk dan lemah lembut. Mereka akan menundukkan sedikit badan, menganggukkan kepala dan juga menghadiahkan senyuman.
Akhlak dan Minda Bawah Sedar
Daripada segi bahasa badan dan cara berjalan, semua ini dikenali sebagai akhlak. Akhlak merupakan sesuatu yang tidak perlu difikir, bahkan ia terjadi secara spontan. Daripada segi saintifik ia dipanggil paradigma, program pelan tindakan (programming blueprint) dan apa-apa yang berada di dalam minda bawah sedar. Tiada siapa-siapa yang tahu di mana letaknya minda bawah sedar. Kebanyakan ahli saintifik mengatakan ia berada di setiap sel. Dalam sel kita pula ada kulit sel. Di setiap kulit sel ada penerima atau penyambut tetamunya. Penyambut tetamu yang berada di sel itu jika semuanya dalam keadaan baik, maka keseluruhannya menjadi baik.
Bagaimana membentuk sifat sopan santun terhadap anak-anak? Mulakan membentuk akhlak dan paradigma anak-anak sejak dari kecil. Elakkan menonton cerita ganas bersama anak-anak. Bercakap pun perlu ada sifat lemah lembut. Cuba lihat bayi yang tersenyum, semua orang pasti suka melihatnya. Tiada siapa yang tidak suka melihat senyuman bayi yang bersih. Tetapi selepas 25 tahun, bibir yang sama sudah pandai untuk tersenyum sinis. Ratu cantik yang akhlaknya tidak baikpun, jika kita melihat dia tersenyum pasti kita tidak akan suka kerana ia menunjukkan cara kita diprogramkan.
Ilmu Itu Tanah, Akhlak Itu Air
Orang Islam ada aqidah tersendiri. Kita ditekankan dengan ibadah dan akhlak. Kalau ada ilmu sahaja tetapi tidak bertambah akhlak, pasti ada silapnya. Memetik kata-kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi: “Ilmu itu ibarat tanah, akhlak pula ibarat air hujan. Jika tiada air hujan maka tiada gunanya tanah.” Sopan itu adalah gaya badan dan gaya bercakap. Santun pula ialah kita sentiasa mendahului orang lain dalam setiap pemberian. Contohnya dalam majlis perkahwinan ketika beratur mengambil makanan, kita mengambil pinggan untuk dihulurkan kepada orang lain di belakang. Ramai yang mengatakan remaja sekarang kurang berakhlak.
Kita jangan menyalahkan remaja, cuba lihat dan renung-renungkan diri dan guru-guru yang membuat sistem sejak dari tadika lagi. Berapa kalikah pembelajaran kita ditekankan dengan akhlak dan bahasa? Sekarang semua ini dijadikan kempen pula. Seperti kita bernafas, itulah budi bahasa sepatutnya. Apabila berjumpa dengan orang dahulukan bertanya khabar kepadanya. Dengar cerita dan perkongsian mereka dahulu sebelum kita bercakap. Orang yang bersopan santun memulakan sifat sopan santun itu bermula daripada dirinya. Dia berlemah lembut dengan diri sendiri, tidak mengutuk diri dan sangat positif. Orang yang tidak mampu bersopan santun kepada diri sendiri, dia tidak akan mampu bersopan santun kepada orang lain. Sopan santun itu dibina oleh ibu bapa kerana anak merupakan cerminan kita. Jika anak kita tidak bersopan, jangan katakan anak kita yang bersifat sedemikian. Sebaliknya katakan: “ Oh, mak ini yang kurang sopan sebab itu anak-anak mak kurang sopan. ”
Formula 3M
Ada orang minta tolong dengan saya katanya: “Prof, minta tolong doakan anak saya nak PMR.” Tiada pula yang suruh doakan anak-anaknya agar solat lima waktu dan menutup aurat. Peliknya, tiada yang menyebut tentang sifat sopan santun tetapi sibuk menyebut doa untuk PMR. Dalam fanpage selalu dinyatakan para ibu bapa yang inginkan anak mereka berjaya dalam PMR. Tentukanlah apa tujuan niat tersebut. Jangan sibuk membayangkan mahu keluar dalam surat khabar kerana kejayaan anak mendapat keputusan semua A dalam peperiksaan dan ingin mengadakan kenduri dengan niat menunjuk-nunjuk. Kita mulakan niat daripada awal: daripada benih anak. Ajarkan anak-anak kita tiga sistem 3M dalam setiap apa-apa sahaja yang kita lakukan kepada anak-anak kita. Cuba bayangkan apa hasil yang kita inginkan.
Bayangkan kita mahukan sifat sopan santun sebagai pilihan pertama. Apakah tujuannya? Tujuannya ialah kerana kita mahu mengikuti akhlak Rasulullah yang terkenal dengan sifat sopan santun. Nabi tidak pernah bercakap sebelum Baginda tersenyum. Ingat senyum itu satu ibadah dan sunnah bukannya adat. Seterusnya, gunakanlah prinsip 3M dalam apa-apa yang kita akan lakukan:
Jadi mulakan dengan memberi senyuman dahulu, memberi salam, bertanya khabar dan gunakan bahasa badan dengan penuh lembut. Dalam apa-apa jua keadaan sekalipun kita mulakan atau dahulukan orang lain dahulu. Jika kita mengamalkan 5S dan 3M ini, insya-Allah kita akan membentuk negara yang bersopan santun.
Wallahu a‘lam.
Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11
Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad
Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.