Menu

 

A+ A A-

BERSABAR DALAM BERSOPAN

Tidak Faham-faham

Bagaimana cara untuk kekal sabar dan sopan? Kadang-kadang hilang juga sabar dengan kerenah anak-anak murid yang bertanyakan perkara yang sama walaupun sudah diterangkan berkali-kali.

Jawapan: Cara orang bertanya soalan itu menunjukkan tahap kecerdikan dirinya sebenarnya. Sikap ingin tahu itu baik, jangan dimatikan. Tinggal lagi tahap pemahaman yang berbeza antara manusia. Berdoa agar semua cepat faham tentang agama. Antara tanda Allah beri kebaikan kepada seseorang ialah apabila diberitahu tentang agama, dia akan cepat memahaminya. Kalau kurang faham, cuba tengok hati kita, takut banyak dosa. Bertuturlah sambil tersenyum walau perkara yang dinyatakan telah berulang berkali-kali.

Agar Anak Sopan

Keempat-empat anak saya lelaki. Mendidik mereka supaya bersopan-santun dalam percakapan, sikap dan tingkah laku memang mencabar. Apa nasihat profesor?

Jawapan: Ubahlah diri sendiri kerana anak-anak akan dapat mencontohi peribadi ibu bapa mereka. Saya pernah menghulurkan tangan untuk bersalam dengan anak kecil iaitu pesakit saya yang berumur empat tahun. Lalu ibunya segera menjawab: “Anak saya ni pemalu!” Jika begitulah keadaannya, setiap kali si ibu berkata demikian, maka terus masuk dalam minda bawah sedar si anak: “Oh... aku ini pemalu.” Akibatnya terbentuklah tanggapan bahawa dirinya pemalu. Sepatutnya sebutlah: “Anak saya suka bersalam.” Hadiah terbaik yang diberi oleh ibu bapa kepada anak-anak ialah teladan yang baik. Apa-apa yang kita tinggalkan dalam jiwa anak kita itu lebih berharga daripada harta dan wang ringgit.

Dicemuh

Apabila saya bersikap lemah lembut, rakan-rakan seolah-olah mencemuh dan melecehkan usaha saya itu. Apa yang patut saya buat?

Jawapan: Tidak mengapa. Usah hiraukan apa-apa yang orang fikir. Hiduplah bermula dari dalam diri ke luar, bukannya dari luar ke dalam. Biar kita yang mempengaruhi orang, bukan orang yang mempengaruhi kita.

salamsopan

Sediakan Punca

Bagaimana untuk berhadapan dengan orang yang susah untuk menjawab salam dan tidak membalas senyuman? Serba salah kita dibuatnya.

Jawapan: Sebelum fikir tentang cara berhadapan dengannya, selesaikan isu peribadi terlebih dahulu yang menjadi punca. Salam dan senyuman itu luaran sahaja. Betulkan isu peribadi yang timbul dengannya. Berjumpa dengan cara yang betul dan minta maaf.

Orang Biadap

Bagaimana caranya untuk berhadapan dengan orang yang biadab?

Jawapan: Perkara pertama yang perlu kita buat ialah kita sendiri mengamalkan dahulu sesuatu perkara. Ingatlah bahawa orang yang baik menjadi guru kepada orang yang tidak baik. Jangan merasakan tahap kita lebih tinggi daripada orang walaupun ilmu kita lebih sedikit. Sebelum berdakwah kepada orang, biar orang menyayangi kita. Senang sahaja untuk membuatkan orang sayang iaitu dengan bersopan santun. Budayakan senyum, salam dan sapa. Kalau mampu, kita bersedekah dengan hadiah-hadiah yang kecil. Apabila akaun emosi kita tinggi, apa-apa yang kita cakap orang akan dengar. Sebab manusia mendengar bukan dengan telinga, manusia mendengar dengan emosi dan hati. Menangi hati manusia, barulah apaapa yang kita cakap akan didengari.

Jati Diri Timur

Satu kaji selidik pada tahun 2012 mendapati warga Kuala Lumpur berada di tangga 34 daripada 36 buah bandar yang warganya paling tidak sopan. Enam tahun sebelum itu, Kuala Lumpur berada di tangga 33. Fakta ini boleh menjadi amaran kepada kita bahawa jati diri ketimuran yang kita bangga-banggakan selama ini semakin luntur. Apa komen profesor?

Jawapan: Benar statistik itu menjadi penanda aras di mana kita berada. Namun sudutkan pandangan kita ke arah yang baik. Jadi kita lebih baik dari dua lagi negara. Apabila kita fokus kepada apa-apa yang kita inginkan, kita akan mengembangkan tenaga yang baik. Kita perhatikan bahawa ramai orang bercakap masalah itu dan ini. Namun apa tindakannya? Sebab itu orang yang menganalisis kurang membuat tindakan. Orang yang banyak bercakap jarang buat kerja. Hilangnya sopan santun itu disebabkan kurangnya ilmu. Ramai yang mencari ilmu untuk promosi diri untuk mendapat habuan di dunia. Kurang mencari ilmu akhlak demi memperbaiki diri agar bahagia dunia akhirat. Maka tidak hairanlah jika seminar untuk menjadi kaya ramai yang akan hadir. Namun seminar untuk motivasi kebahagiaan diri atau kursus audit solat kurang yang hadir. Dengan ini kita akan tahu di mana fokus kita. Apa-apa yang kita fokus, itulah hasil kehidupan kita.

Wallahu a‘lam.

 

 

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Artikel berkaitan: « KEKUATAN FOKUS ANDA
Kembali ke atas