Menu

 

A+ A A-

PENYELESAIAN MASALAH HARTA PUSAKA DALAM ISLAM

Era kepesatan globalisasi dunia kini menyebabkan timbulnya pelbagai permasalahan baru dan fenomena ini menghambat kehidupan individu Muslim terutamanya yang berhubung dengan harta pusaka.

Sejajar dengan itu, Islam sebagai agama yang sempurna mencakupi segala bidang kehidupan manusia telah menyediakan satu medium yang terbaik dan praktis sebagai solusi untuk merungkai segala permasalahan berkaitan harta pusaka iaitu melalui Undang-undang Pusaka Islam atau faraid.

Undang-undang yang berteraskan keadilan mensasarkan objektifnya yang berpaksikan tauhid kepada Allah s.w.t. Ini bukan sekadar untuk kesejahteraan dan kebahagiaan manusia di dunia malah untuk meraih kemenangan hakiki di akhirat nanti. 

Maka individu Muslim yang memahami pengertian Islam dengan sebenar-benarnya pasti berpegang teguh dengan sepenuh keyakinan bahawa Allah s.w.t. adalah pemilik mutlak dan pemilik hakiki segala-galanya. Manusia hanyalah sebagai melaksanakan amanah khilafah dalam menunaikan tanggungjawab

Penyelesaian Masalah Harta Pusaka

Dalam Islam jawab mentadbir dan mengurus bumi ini berlandaskan kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Keperluan kepada solusi permasalahan berkaitan harta pusaka dalam masyarakat Islam di Malaysia yang berasaskan kepada prinsip-prinsip asas Undang-Undang Pusaka Islam adalah amat penting. Hal ini supaya keharmonian silaturahim dalam konteks jalinan hubungan sesama manusia dapat dipelihara dan dikekalkan selaras dengan piawaian yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Sumber Undang-undang Pusaka Islam

Undang-undang Pusaka Islam (faraid) bersumberkan kepada al-Quran al-Karim, al-Sunnah, ijmak sahabat dan ijtihad bagi masalah-masalah tertentu. Di dalam al-Quran, ayat-ayat yang menjelaskan hak-hak ahli waris yang dapat dilihat dalam pelbagai surah yang disebut ayat al-mawarith.

Ayat-ayat yang menjelaskan hak-hak ahli

Waris secara umum ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).” (Surah al-Nisa’ 4: 7).

Dalam ayat lain bermaksud: “Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, sesetengahnya lebih berhak atas sesetengah yang lain menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Anfal 8: 75).

Banyak lagi ayat yang menjelaskan hak-hak ahli waris secara terperinci dapat dilihat dalam al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 11, 12, dan 176. Kita perhatikan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Mereka (umatmu) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai masalah kalalah. Katakanlah: ‘‘Allah memberi fatwa kepadamu dalam perkara kalalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu 1/2 dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara-saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat 2/3 dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Nisa’ 4: 176).

Prinsip Asas dalam Faraid

Undang-undang faraid yang dibentuk oleh Allah s.w.t. adalah berdasarkan kepada integrasi prinsip-prinsip asas yang kukuh dan unik yang jelas berbeza dengan sistem pusaka yang lain di dunia ini. Ia mampu bertindak sebagai medium solusi yang berperanan untuk mencerakin dan merungkai permasalahan berkaitan harta pusaka.

Prinsip asas yang merupakan tunggak kepada undang-undang faraid ini ialah:

a. Penentuan dan Penetapan Melalui Nas Syarak

Penentuan dan penetapan kadar bahagian ahli-ahli waris adalah bersumberkan kepada wahyu Ilahi sebagaimana yang tergambar dalam ayat al-mawarith iaitu ayat 11, 12dan 176, surah al-Nisa, juga ada dinyatakan dalam ayat 75, surah al-Anfal, ayat 6, surah al-Ahzab dan ayat 7 surah al-Nisa’, di samping bersumberkan kepada al-Sunnah. Berdasarkan kepada ayat al-mawarith di atas dapat digariskan beberapa elemen yang penting iaitu:

1. Dasar pembahagian pusaka dalam Undang-undang Pusaka Islam ialah bahagian ahli waris lelaki dua kali ganda daripada bahagian ahli waris perempuan atau bahagian lelaki menyamai dua bahagian perempuan.

2. Ahli-ahli waris ashab al-furud, fardu telah ditetapkan dengan jelas dan kadar serta cara pewarisan mereka telah ditentukan dengan jelas. Antara ahli-ahli waris ashab al-furud yang disebut dalam ayat tersebut ialah anak perempuan, ibu, bapa, suami, isteri, saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa, saudara lelaki seibu dan saudara perempuan seibu. Kadar bahagian yang telah ditetapkan pula oleh Allah s.w.t. untuk mereka pula ialah sama ada 1/2, 1/4, 1/8, 2/3 , 1/3 atau 1/6.

3. Langkah untuk membahagikan harta pusaka kepada ahli-ahli waris perlu dilaksanakan selepas penunaian hutang-hutang si mati sama ada yang berbentuk hutang kepada Allah SWT mahupun hutang kepada manusia dan setelah disempurnakan wasiat yang dibuat oleh si mati semasa hidupnya.

4. Hak pusaka mempusakai adalah berasaskan kepada hubungan nasab (qarabah) atau melalui akad perkahwinan yang sah.

b. Keadilan Kepada Ahli-ahli Waris

Konsep keadilan yang mewarnai sistem pembahagian pusaka secara faraid ini merupakan matlamat kepada Undang-undang Pusaka Islam itu sendiri. Keadilan dalam pengagihan harta pusaka kepada semua ahli-ahli waris adalah selaras dengan kedudukan peranan dan tanggungjawab serta keakraban hubungan kekeluargaan dengan si mati bersesuaian dengan hak dan kadar yang telah ditetapkan padanya.

Situasi ini dapat dilihat melalui nas al-Quran yang telah menetapkan undang-undang dan peraturan bahawa bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan. Allah s.w.t. telah pun menegaskan dalam Firman-Nya yang bermaksud:

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.” (Surah al-Nisa’ 4: 11).

Perintah Allah s.w.t. dalam ayat al-mawarith ini mempunyai hikmah dan falsafah tersendiri, yang kadang-kadang sukar difahami dan diterima oleh logik akal manusia yang terbatas.

Antara rahsia dan hikmah penganugerahan dasar pembahagian itu oleh Allah s.w.t. adalah atas asas tanggungjawab dan kewajipan  yang perlu dipikul dan dipenuhi dalam rumah tangga, keluarga, masyarakat dan agama.

c. Keseimbangan Mekanisme Pengagihan Harta Pusaka

Konsep keseimbangan mekanisme pengagihan harta pusaka ini jelas tergambar melalui pelupusan dalam bentuk wasiat untuk kebajikan (tidak melebihi kadar 1/3 dari harta pusaka si mati) yang dilakukan dengan tidak mendatangkan mudarat kepada ahli-ahli waris yang berhak Kedudukan ini jelas sebagaimana yang dinyatakan Allah s.w.t. di akhir ayat 12, surah al-Nisa’ iaitu melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Wasiat-wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada ahli-ahli waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Amat Mengetahui lagi Amat Penyabar.” Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Sa’ad bin Abi Waqas yang bermaksud:

“Sepertiga dan sepertiga itu sudah banyak, sesungguhnya lebih baik bagi kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin yang meminta-minta kepada orang lain.” (Riwayat Muslim).

d. Kewajipan Menerima Hak dalam Pusaka

Melalui prinsip ini, ia mewajibkan semua ahli waris, yang telah ditentukan dengan kadar bahagian yang telah ditetapkan dalam al- Quran, menerima hak mereka masing-masing.

Penerimaan harta pusaka ini diharapkan kelangsungan hidup ahli-ahli waris di dunia ini terjamin dan matlamat keadilan sosial dapat direalisasikan.

Dengan kata lain, tidak boleh dihalang salah seorang daripada ahli-ahli waris yang berhak daripada menerima harta pusaka itu, melainkan ahli-ahli waris tersebut telah melakukan salah satu perkara yang menyebabkan dia dihalang. Begitu juga jika ahli waris sendiri menarik diri dengan melepaskan haknya dalam pembahagian harta pusaka melalui kaedah “al-Takharuj”.

e. Kesaksamaan Hak Semua Golongan

Prinsip tiada unsur-unsur diskriminasi dalam undang-undang ini terbukti melalui pengagihan harta pusaka yang merangkumi semua ahli waris dalam semua peringkat golongan tanpa menafikan hak golongan-golongan tertentu. Setiap keluarga sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda, kanak-kanak kecil atau orang dewasa, kecil atau besar, sempurna sifat ataupun cacat, kaya atau miskin, khunsa, mafqud termasuklah janin dalam kandungan ibu juga mempunyai hak dalam harta pusaka.

Selain itu, suami atau isteri juga diberi hak untuk mendapat bahagian dalam harta pusaka melalui perkahwinan bukan berdasarkan kepada nasab kerana hubungan suci yang dijalin melalui perkahwinan itu diiktiraf oleh syarak. Hal ini kerana pengorbanan, tolak ansur dan kesetiaan yang telah dicurahkan dalam melayari kehidupan sebagai suami atau isteri dalam rumah tangga.

f. Kedudukan Hukumnya Yang Bersifat Lestari dan Muktamad

Kelestarian sifat hukum faraid adalah sepanjang zaman, yang tidak berubah dan tidak boleh ditukar ganti dengan apa jua alasan yang berpandukan pada rasional dan kebijaksanaan akal. Ini adalah keranaia ketetapan yang telah diwahyukan oleh Allah s.w.t. melalui nas al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. kecuali dalam kes-kes tertentu yang menerima ruang untuk berijtihad seperti kes ‘Umariyatain, Minbariyah, Akdariyah, perwarisan datuk ketika bersama saudara-saudara, wasiat wajibah dan lain-lain. 

Pensyariatan undang-undang pusaka Islam adalah semata-mata bermatlamatkan kepada kebahagiaan dan kesejahteraan umat manusia sejagat baik di dunia mahupun di akhirat. Undang-undang ini mempunyai dasar yang jelas dan bersifat syumul kerana ia merupakan ketetapan Allah s.w.t yang lebih mengetahui segala-galanya.

Prinsip asas yang mendukung citra dan gagasan Undang-undang Pusaka Islam yang diperkasakan dengan hikmah dan falsafahnya yang tersendiri ini merupakan solusi yang terbaik bagi merungkai seterusnya menangani permasalahan berkaitan harta pusaka masyarakat Islam.

 

 

Md Yazid Ahmad

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

Md Yazid Ahmad

Pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM dengan bidang kepakaran dalam Undang-undang Harta Islam dan Pentadbiran/Perbandingan. Beliau juga merupakan Panel Klinik Hukum dan Guaman Syarie Fakulti Pengajian Islam UKM.

Kembali ke atas