Menu

 

A+ A A-

HARTA SEPENCARIAN: JANGAN DIPERMUDAH TUNTUTANNYA

Membicarakan persoalan harta sepencarian, kita teliti satu contoh kes yang sering berlaku dalam masyarakat kita kini. Seorang janda dengan dua anak; seorang lelaki dan seorang perempuan. Pada masa yang sama dia masih ada ayah dan ibu, juga adik beradik iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan.

Masalahnya sekarang, nama rumah yang dia tinggal itu adalah milik bersama dengan bekas suaminya. Sungguhpun begitu, selama mereka membeli rumah itu, dia seorang sahaja yang membayarnya. Dalam keadaan itu jika berlaku kematian pada bekas suaminya, adakah rumah ini akan difaraidkan kepada ibu mertua dan keluarganya juga? Persoalan ini dilihat amat rumit atas kejahilan umat Islam dalam soal harta pusaka.

Kesan daripada itu, mereka membiarkan persoalan harta pusaka tanpa mengambil tindakan segera setelah berlaku perceraian atau kematian.

Sebenarnya daripada masalah yang dipaparkan di atas kita dapat rumuskan kepada dua persoalan yang penting, iaitu: (a) Persoalan status pemilikan rumah. (b) Persoalan pembahagian faraid.

Persoalan Status Pemilikan Rumah

harta2Kemusykilan yang diutarakan di atas adalah menyentuh soal status harta (rumah) tersebut. Sama ada rumah berkenaan merupakan milik mutlaknya ataupun merupakan harta sepencarian bersama bekas suaminya.

Perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah, sekiranya dia mendakwa bahawa rumah tersebut merupakan hak mutlaknya dan bukan harta sepencarian, maka dia perlu memberi bukti yang mencukupi bagi meyakinkan pihak mahkamah bahawa tidak ada langsung sumbangan dari pihak bekas suaminya dalam memperoleh rumah tersebut dari sudut pembayaran.

Hakim-hakim syarie pada amalannya, dalam menentukan sabitan harta sepencarian akan menggunakan kaedah pembuktian sebagaimana yang diperuntukkan menurut syarak iaitu sama ada melalui keterangan pihak-pihak, saksi dan juga qarinah. Terpulanglah kepada pihak mahkamah untuk menentukan status pemilikan rumah berkenaan berdasarkan kepada kaedah pembuktian tadi.

Berhubung hasil usaha terhadap pemilikan harta, Islam mengiktiraf usaha dan pemilikan setiap individu sama ada lelaki mahupun wanita terhadap harta.

Hal ini dibuktikan berdasarkan kepada firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Nisa’, ayat 32 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada kamu lebih banyak berbanding sebahagian yang lain. Bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Walau bagaimanapun, jika bekas suaminya mendakwa bahawa dia juga turut memberi sumbangan terhadap rumah tersebut, maka beliau perlu membuktikan dengan meyakinkan kepada pihak mahkamah berkenaan sumbangan yang telah beliau berikan.

Selanjutnya, mahkamahlah yang akan menentukan secara muktamad berkenaan bahagian masing-masing. Pihak mahkamah akan menentukan bahagian setiap pihak iaitu suami dan isteri mengikut kriteria-kriteria tertentu sebagaimana yang diperuntukkan dalam akta dan enakmen undang-undang keluarga Islam negeri berkenaan.

Merujuk kepada hal berkenaan harta sepencarian, saya ingin berkongsi pengetahuan kepada anda semua bahawa harta sepencarian boleh wujud dalam tiga keadaan, iaitu:

Harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak, dengan usaha bersama mereka, atau

Harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak, dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu, atau

Aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu berkuat kuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak oleh pihak yang satu lagi atau dengan usaha bersama suami isteri.

Jika mahkamah memutuskan bahawa rumah tersebut merupakan milik isteri secara mutlak, saya mencadangkan supaya urusan penamaan pada rumah tersebut perlu diperbetulkan segera supaya penama kepada rumah tersebut hanya miliknya. Ini bagi mengelak daripada berlakunya sebarang kekeliruan pada masa akan datang.

Sebaliknya, jika mahkamah memutuskan bahawa bekas suaminya mempunyai bahagian atau peruntukan terhadap rumah tersebut, pilihan yang boleh dibuat adalah dengan menjual harta tersebut dan hasilnya dibahagikan mengikut nisbah yang telah diputuskan oleh pihak mahkamah.

Di sini, jika bekas suaminya sudah meninggal dunia maka kadar atau bahagian yang telah ditentukan oleh pihak mahkamah kepada bekas suaminya itu dikira menjadi pusaka dan perlu diagihkan kepada waris-waris yang berhak iaitu yang masih hidup pada masa kematiannya. Akan tetapi sekiranya isteri itu memilih untuk terus tinggal di rumah berkenaan, maka dia boleh membeli bahagian yang diperuntukkan kepada bekas suaminya.

Sek. 58 (1), Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa:

“Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Persoalan Pembahagian Faraid

Sebenarnya berdasarkan isu di atas, tidak timbul persoalan “kalau berlaku kematian terhadap bekas suami”, kerana perkara ini boleh diselesaikan semasa dia masih hidup lagi.

Sikap melengah-lengahkan dalam hal perlu dihindarkan kerana jika “andaian” tersebut menjadi kenyataan maka situasi akan menjadi lebih rumit. Kesan yang sama juga akan dirasai jika “andaian” itu berlaku kepada diri isteri sendiri dan sudah pasti waris-waris yang berhak di sebelahnya akan teraniaya dan keadilan tidak akan terlaksana kepada mereka kerana mereka tidak diberikan hak yang sepatutnya.

Oleh sebab itu, selepas berlaku perceraian perlu menyelesaikan perkara ini dengan seberapa segera. Penyelesaian ini lebih memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Dalam hal ini, bahagian yang telah ditentukan dalam harta sepencarian yang akan diputuskan oleh pihak mahkamah nanti hanya melibatkan bahagian antara dirinya dengan bekas suaminya. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini.

Kalau hendak dibincangkan berhubung soal harta pusaka ‘jika berlaku kematian terhadap bekas suami’, bahagian bekas suami itu sahaja yang akan difaraidkan yang akan melibatkan anak-anak dalam perkahwinan suami yang pernah dilaksanakan dan juga melibatkan ahli keluarga bekas suami (sekiranya masih hidup pada masa kematian suami) seperti ibu dan bapa suami (bekas mertua).

Tetapi jika berlaku kematian terhadap janda di atas, maka harta yang ditinggalkan termasuk rumah tersebut sewajarnya difaraidkan kepada ahli-ahli waris termasuk anakanak, ayah dan juga ibu saudari.

Walau bagaimanapun adik beradiknya terhalang daripada menerima harta peninggalan disebabkan wujudnya anak-anak,terutamanya anak lelaki. Maka contoh nisab faraidnya adalah seperti jadual:

harta

 

Kita berharap agar semua pihak dapat mengambil langkah segera untuk mengelak daripada berlakunya kekeliruan, apatah lagi konflik antara pihak keluarga isteri dengan bekas suami dan keluarganya. Tindakan ini adalah bagi mengelak ketidakadilan terhadap waris-waris.

Secara ringkasnya apa yang perlu dibuat ialah dengan membawa permasalahan tersebut ke Mahkamah Syariah untuk dibicarakan dan seterusnya diputuskan.

Apa bila keputusan telah dibuat oleh hakim, laksanakan keputusan tersebut de ngan berlapang dada, reda dan penuh kesyukuran. Bahkan berkemungkinan juga bekas suami secara sukarela mahu namanya digugurkan sementelah tidak ada sumbangan pembayaran terhadap rumah terbabit. Walau apa pun, biar perkara tersebut dijelaskan secara muktamad di mahkamah. ¤

harta 1


Md. Yazid Ahmad
Sumber artikel daripada majalah Solusi 10

 


 

Md Yazid Ahmad

Pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM dengan bidang kepakaran dalam Undang-undang Harta Islam dan Pentadbiran/Perbandingan. Beliau juga merupakan Panel Klinik Hukum dan Guaman Syarie Fakulti Pengajian Islam UKM.

Kembali ke atas