Menu

 

A+ A A-

PENGGUNAAN HARTA PUSAKA DALAM URUSAN JENAZAH

Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj alTalibin, meringkaskan hak-hak yang perlu ditunaikan sebelum pembahagian harta pusaka adalah seperti berikut:

‘‘Belanja pengebumian ialah tanggungan pertama daripada jumlah harta pusaka si mati, kemudian hutang piutangnya hendaklah dibayar, kemudian pemberian wasiat yang diwasiatkan olehnya hendaklah diselesaikan, akan tetapi hanya setakat satu pertiga daripada harta pusaka selepas menolak hutang piutang. Yang tinggal dua pertiga ialah hak ahli waris.’’

Ini bermakna, bukan semua harta yang ditinggalkan oleh si mati dikira harta pusaka yang boleh terus dibahagikan kepada waris. Para waris hendaklah menyelesaikan beberapa perkara penting terlebih dahulu sebelum membahagikan harta pusaka kepada waris secara faraid.

Antara yang perlu diambil kira dalam pembahagian harta pusaka ialah:

  • Belanja menguruskan jenazah.
  • Menjelaskan hutang si mati.
  • Wasiat amal sariah.
  • Harta sepencarian.
  • Faraidkan bahagian waris.

FARAID-1

Belanja Menguruskan Jenazah

Sekiranya waris tidak mempunyai wang yang cukup untuk membiayai kos pengurusan jenazah dan kebetulan si mati ada meninggalkan wang tunai, maka hukum syarak membenarkan waris menggunakan wang si mati atau harta yang ditinggalkan oleh si mati untuk membiayai kos pengurusan jenazah. Tetapi jangan sampai melampau atau berlebih-lebihan.

Ini bermakna harta si mati hanya boleh di gunakan untuk membiayai kos pengurusan jenazah yang perlu sahaja. Iaitu digunakan untuk:

  • Membeli kain kapan.
  • Membeli peralatan mandi jenazah seperti kapur barus, air mawar dan lain-lain.
  • Memberi sagu hati kepada tukang mandi jenazah.
  • Memberi sagu hati kepada tukang gali kubur.

Jumlahnya hendak berpatutan terutamanya sagu hati kepada tukang mandi dan tukang gali kubur.

Kadarnya janganlah terlalu rendah, kerana mereka melakukan tugas tersebut secara suka rela. Andainya kita beri terlalu rendah, ditakuti kita menganiaya mereka. Oleh sebab itu, kita boleh tanyakan kepada orang masjid, berapakah kadar kebiasaannya.

Pun begitu, para tukang mandi dan tukang gali kubur janganlah pula meletakkan jumlah yang terlalu tinggi. Yang penting berpatutan.

Selalunya kepada tukang mandi, sagu hati yang diberi sekitar RM100 ke RM200. Sekiranya ada pembantu tukang mandi, kita boleh beri kepadanya rendah sedikit daripada kadar yang kita berikan kepada ketua tukang mandi. Atau kekadang si ketua tukang mandi akan beritahu satu kadar untuk dia dan pembantunya.

Sebab itulah, Islam menuntut yang lebih utama memandikan jenazah ialah para waris. Supaya tidak timbul isu sagu hati atau sebagainya. Khidmat tukang mandi, mungkin kita perlukan sekadar memimpin dan memantau. Kemudian kita hadiahkan kepadanya sejumlah wang sebagai sumbangan ikhlas.

Kepada tukang gali kubur, memang wajar sangat kita berikan sagu hati yang berpatutan kepada mereka kerana mereka terpaksa bertungkus lumus menggunakan tenaga untuk menggali lubang kubur.

Andainya yang menggali lubang kubur ialah jentera, pun kita perlu memberi sejumlah wang kerana jentera tersebut memerlukan minyak untuk bergerak.

Oleh sebab itu, hukum syarak membenarkan harta si mati digunakan untuk membiayai kos pengurusan jenazah kerana ia memang sangat-sangat diperlukan. Terutamanya situasi sekarang ini, andainya kita memerlukan apa pun sudah pasti kena ada wang.

Sebab itulah ahli kariah seeloknya menubuhkan tabung khairat kematian, sepertimana yang sudah diadakan di merata tempat dan kariah kini. Sememangnya ia adalah amat baik. Lebih besar jumlah sumbangan yang dapat dikumpul, maka lebih besar manfaatnya.

penggunaan-harat-pusaka-1

Kini syarikat takaful ada menyediakan pelan khairat kematian dengan jumlah sumbangan ahli yang agak rendah. Namun, jumlah wang sumbangan khairat yang akan diterima oleh ahli agak besar.

Maka apabila berlaku kematian salah seorang ahli, apa yang perlu dilakukan oleh Badan Khairat ialah menghubungi pihak Takaful dan memberikan maklumat berkenaan. Seperti nombor keahlian dan salinan surat kematian.

Insya-Allah, dalam tempoh 24 hingga 48 jam, pihak Takaful akan menghantar wang sumbangan kepada Badan Khairat sama ada secara tunai melalui wakil takaful ataupun bank-in ke akaun Badan Khairat. Dengan wang sumbangan tersebut, sudah pasti dapat meringankan bebanan waris si mati. Bahkan mungkin pihak Badan Khairat boleh menambah-baik perkhidmatan dengan cara:

  • Memaklumkan kepada waris si mati, bahawa pihak Badan Khairat akan menghantar orang berkenaan untuk menguruskan jenazah.
  • Segala kos pembiayaan akan didahulukan oleh pihak Badan Khairat.
  • Bahkan mungkin pihak Badan Khairat juga boleh dahulukan kos untuk membiayai kenduri arwah.

Dengan adanya pelan khairat seperti ini:

  • Pihak waris si mati tidak perlu bersusah-payah dan tidak perlu risau tentang pengurusan jenazah.
  • Orang yang menguruskan jenazah pula seperti tukang mandi dan tukang gali kubur akan berkhidmat dengan lebih berdedikasi.
  • Ahli kariah pula terselamat daripada dosa makan harta secara batil, makan harta anak yatim ataupun makan harta si mati yang belum bersih. Ini kerana kos kenduri arwah tidak menggunakan wang si mati, tetapi menggunakan wang sumbangan khairat Takaful.

Ustaz Md Ghazali Ibrahim

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Ustaz Md Ghazali Ibrahim

Beliau memulakan kerjayanya di Pusat Zakat Selangor (MAIS) sejak tahun 1999 hingga 2004. Sekarang ini dikenali sebagai Lembaga Zakat Selangor (LZS). Antara jawatan yang pernah diamanahkan kepada beliau ialah Eksekutif Penyelidikan & Pembangunan Syarie dan Eksekutif Dakwah & Latihan. Beliau mendalami ilmu motivasi dengan beberapa buah syarikat antaranya ialah Fitrah Perkasa Sdn Bhd sekitar tahun 2005 . Sekitar tahun 2006, beliau mendalami ilmu faraidh & runding-pusaka dengan beberapa syarikat. Antaranya ialah Tetuan Jamilah Radzi & Co.

Beliau biasa muncul di kaca TV dalam rancangan Inspirasi Pagi (RTM1), Simfoni Alam (RTM1). Dan pernah beberapa kali muncul dalam rancangan Al Kulliyyah (TV3), Al Hidayah (TV3), Wanita Hari Ini (TV3), Tanyalah Ustaz (TV9) dan Astro Oasis dalam rancangan Khabar Haji & Liga Ilmu.

Sehingga kini beliau aktif memenuhi jemputan ceramah dan motivasi di dewan orang ramai, pejabat, universiti, sekolah, masjid dan surau.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas