WARISAN TIDAK BOLEH DIBAHAGIKAN TERUS
- Ditulis oleh Dr Musa bin Fathullah Harun
- Kategori Harta Pusaka
- Read 5313 times
Sebelum ini saya beranggapan bahawa sebaik selepas kematian, harta si mati dibahagi-bahagikan mengikut faraid terus. Rupa-rupanya ada beberapa perkara yang wajib kita lakukan terlebih dahulu sebelum itu. Mohon penjelasan ustaz.
Ya, sebelum harta itu dibahagikan kepada semua ahli warisnya yang berhak, beberapa perkara perlu dilakukan oleh ahli waris terdekatnya terlebih dahulu sebagaimana dalam gambar rajah berikut:
Perinciannya:
- Kos pengurusan jenazah
Segala perbelanjaan kos pengurusan jenazah dan pengebumian si mati diambil daripada hartanya dengan cara yang makruf, sesuai dengan keadaannya tanpa sebarang pembaziran.
- Melangsaikan hutang
Hendaklah dikeluarkan daripada harta si mati untuk membayar seluruh hutangnya sama ada hutang kepada Allah seperti zakat, haji, kafarah (denda) mahupun hutang terhadap manusia seperti barang gadaian, amanat dan seumpamanya.
Islam memandang masalah hutang ini sebagai masalah yang sangat perlu diselesaikan. Sabda Rasulullah yang maksudnya: “Orang yang mati syahid diampuni seluruh dosanya kecuali hutang.” (Riwayat Muslim)
Dalam suatu riwayat, Rasulullah telah diminta untuk mengimamkan satu solat jenazah. Baginda bertanya, maksudnya: “Adakah si mati ada meninggalkan sebarang hutang?”
“Ya, tiga dinar.”
“Adakah dia ada meninggalkan sebarang harta atau benda untuk membayar hutangnya?”
“Tidak ada.”
“Kalau begitu, kamu sahajalah yang solat ke atas jenazah sahabatmu ini!”
Apabila Abu Qatadah menjamin untuk membayarkan semua hutangnya, barulah Rasulullah mahu solat untuk jenazahnya. (Riwayat al-Bukhari)
- Melaksanakan wasiat
Wasiat si mati hendaklah dilaksanakan dengan syarat tidak melebihi satu per tiga daripada harta yang ada pada waktu kematiannya.
Pada asalnya, sebarang bentuk pemberian disebut hibah. Jika pemberian itu atas niat mengeratkan persaudaraan, maka ia disebut hadiah. Jika tujuan pemberian itu kerana pahala, maka ia disebut sedekah. Apa pun nama sebelumnya, jika pemberian tersebut dirancang atau dilakukan selepas pemiliknya mati, maka ia disebut wasiat.
Pada awalnya, umat Islam wajib berwasiat dengan seluruh harta untuk kedua-dua ibubapa dan kaum kerabat secara adil. Ini bersandarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 180. Kemudiannya, kewajiban itu dibatalkan dengan turunnya ayat al-mawarithiaitu ayat-ayat yang menetapkan kadar bahagian ahli waris. Namun tindakan berwasiat kepada bukan ahli waris itu menjadi sunat muakkad. Berhubung hal ini juga, Rasulullah ada bersabda, maksudnya: “Tidak sepatutnya bagi seorang Muslim yang ada sesuatu yang hendak diwasiatkan untuk tidur hingga dua malam melainkan wasiatnya sudah tertulis di sisinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada hadis tersebut kita juga memahami bahawa menyegerakan wasiat adalah lebih baik. Seseorang itu tidak mengetahui bila ia akan didatangi maut.
Lebih-lebih lagi bagi seseorang yang menanggung hak Allah seperti zakat dan haji atau hak manusia seperti barang titipan dan hutang. Sekiranya dia tidak mendapati ada orang yang boleh diamanatkan atau dipercayai, maka berwasiat adalah wajib ketika itu.
Walau bagaimanapun, bersedekah pada waktu sihat adalah lebih baik daripada wasiat. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah ketika kamu masih sihat, kedekut, mengharapkan kekayaan dan bimbangkan kefakiran dan bukannya sedekah yang kamu kemudiankan sehingga apabila nyawa sudah di tenggorok, baru kamu berkata: “Untuk si fulan sekian sekian.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Allah memberikan kesempatan kepada orang yang berharta untuk berbuat kebaikan yang selama ini diabaikan atau untuk menambah kebaikannya yang masih dirasakan kurang. Dengannya juga, Allah memberikan kesempatan kepada orang yang berharta untuk memberikan sebahagian daripada hartanya kepada orang yang dicintainya yang bukan terdiri daripada ahli warisnya.
Sebagai imbangan demi mengelakkan ahli waris tidak mendapat bahagian daripada harta disebabkan wasiat, maka Allah telah menetapkan kadar wasiat itu mestilah tidak boleh lebih daripada satu per tiga daripada baki harta selepas dilunaskan hutang-piutang, pembiayaan pengurusan jenazah dan lain-lain.
- Harta dibahagikan mengikut faraid
Sampai pada tahap ini, barulah harta yang berbaki boleh dibahagikan kepada seluruh ahli waris yang berhak menerima yang diyakini hidupnya, walaupun janin dalam perut ibunya.
Tindakan seterusnya secara asas, hendaklah disenaraikan seluruh ahli waris yang berkemungkinan mendapat harta sama ada yang lelaki dan perempuan. Kemudian saringkan daripada senarai tersebut semua ahli waris yang terhalang. Sila rujuk perbincangan isu pendindingan dalam majalah al-Ustaz sebelum ini.
Setelah itu, barulah kita dapat menentukan kadar bahagian semua ahli waris. Insya-Allah, perkara ini akan dihuraikan secara terperinci dalam isu yang akan datang.
Wallahu a‘lam
Dr Musa Bin Fathullah Harun
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09
Dr Musa bin Fathullah Harun
PhD Syariah, Universiti Al-Azhar dan mantan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Berguru kepada ramai ulama antaranya Dr Hasan Hito dan lain-lain. Buku-buku hasil tulisannya telah diterbitkan di dalam dan luar Negara, antaranya: Sistem Tasawuf dalam Islam, Manusia dan Makhluk Ghaib di Sekelilingnya, dan Pengantar Tasawuf Islam. Kini beliau merupakan penceramah bebas di negeri Selangor.