Menu

 

A+ A A-

KALAU SEMUA AHLI WARIS HIDUP

Tidak Semua Ahli Waris Dapat Bahagian

SAYA difahamkan bahawa datuk, cucu hatta bapa saudara dan anak saudara pun merupakan ahli waris kepada si mati. Jadi, mereka semua akan mewarisi harta si mati bersama-sama dengan anak dan suami/isterinya. Benarkah begitu?

Tidak. Hanya sebahagian daripada mereka sahaja yang akan mewarisi harta si mati sekiranya kesemua mereka masih hidup. Maknanya, ada sebahagian ahli waris yang terhalang (mahjub) oleh sebahagian yang lain. Kesemuanya ada 25 orang individu yang diperuntukkan oleh Allah sebagai layak dan berkemungkinan mewarisi harta seseorang yang meninggal dunia. Mereka digelar ahli waris. Lihat jadual berikut:

kalau-semua-ahli-waris-hidup-1

Ada beberapa situasi yang boleh diandaikan berkemungkinan berlaku:

Situasi 1:

Jika berhimpun semua ahli waris lelaki dan tidak ada seorang pun daripada kalangan waris perempuan, maka yang mewarisi harta si mati dalam kalangan mereka hanyalah:

1. Anak,

2. Bapa dan

3. Suami.

Adapun baki ahli waris lelaki yang lain terhalang oleh tiga orang individu di atas.

Situasi 2:

Sekiranya berhimpun semua ahli waris perempuan dan tidak ada seorang pun daripada kalangan ahli waris lelaki, maka mereka yang mewarisi harta si mati hanyalah:

a. Anak perempuan,

b. Cucu perempuan,

c. Ibu,

d. Isteri dan

e. Saudara perempuan seibu-sebapa

Adapun baki ahli waris perempuan akan terhalang oleh lima orang di atas.

Situasi 3:

Jika berkumpul semua ahli waris lelaki dan perempuan, maka yang mewarisi hanyalah:

a. Bapa,

b. Ibu,

c. Anak lelaki,

d. Anak perempuan,

e. Suami/isteri.

Adapun baki ahli waris yang lain, mereka akan terhalang oleh lima orang di atas.

kalau-semua-ahli-waris-hidup-2

Hikmah Halangan

Bolehkah ustaz jelaskan, mengapa sedemikian rupa kaedah pembahagian harta pusaka dengan adanya konsep halangan (hajb)? Saya terfikir, mengapa tidak hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat dari awal lagi ataupun kesemua tetap ada bahagiannya walau apa pun situasinya?

Faraid ialah ketetapan daripada Allah yang Maha Bijaksana. Pasti ada kebijaksanaan di sebalik ketetapan-Nya. Pembahagian harta pusaka dalam Islam tertegak atas dasar-dasar berikut:

kalau-semua-ahli-waris-hidup-3

1. Islam mengutamakan pembahagian harta si mati kepada ahli keluarga yang paling hampir dengan si mati. Ini kerana mereka dianggap sebagai penyambung zuriat daripada si mati atau kesinambungan kewujudan si mati di dunia ini. Atas dasar ini, maka bapa, ibu, anak (sama ada lelaki atau perempuan) dan suami atau isteri mesti mendapat bahagian daripada harta si mati. Dalam erti kata lain, tidak ada sesiapa yang menghalang mereka dengan halangan sepenuhnya (hajb hirman) walau apa pun situasinya.

2. Untuk mencegah monopoli atau pengumpulan harta di tangan seorang waris sahaja Ini seperti yang berlaku pada zaman Jahiliah (harta si mati hanya diwarisi oleh anak lelaki yang mampu mengangkat senjata atau mempertahankan kehormatan keluarga) dan juga seperti pembahagian harta pusaka mengikut sebahagian hukum adat seperti hukum adat Minangkabau (yang mewariskan harta hanya kepada anak perempuan sahaja). Maka Islam telah menetapkan bahawa hak waris bukan hanya anak sahaja tanpa ibu bapa atau sebaliknya, atau lelaki sahaja tanpa perempuan. Bahkan Islam meluaskan kelayakan menerima harta si mati kepada ahli keluarga terdekat yang lain. Dalam masa yang sama, Islam ingin menghindarkan pembahagian harta si mati menjadi terlalu meluas kepada semua yang ada pertalian persaudaraan dengan si mati hinggakan masing-masing mendapat bahagian terlalu kecil.

3. Untuk merealisasikan keadilan. Islam tidak menjadikan kadar bahagian yang diterima oleh ahli waris menjadi sama rata, bahkan menetapkan kadar yang berbeza bagi bahagian masing-masing, mengikut perbezaan kadar keperluan dan tanggungjawab mereka. Contohnya, Islam menetapkan kadar bahagian anak lelaki dua kali ganda bahagian anak perempuan, dan kadar bahagian anak lebih besar daripada kadar bahagian ibu bapa.

Wallahu a‘lam.

Dr Musa bin Fathullah Harun

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Dr Musa bin Fathullah Harun

PhD Syariah, Universiti Al-Azhar dan mantan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Berguru kepada ramai ulama antaranya Dr Hasan Hito dan lain-lain. Buku-buku hasil tulisannya telah diterbitkan di dalam dan luar Negara, antaranya: Sistem Tasawuf dalam Islam, Manusia dan Makhluk Ghaib di Sekelilingnya, dan Pengantar Tasawuf Islam. Kini beliau merupakan penceramah bebas di negeri Selangor.

Kembali ke atas