Menu

 

A+ A A-

TIDAK SEMUA AHLI WARIS DAPAT BAHAGIAN

Bolehkah ustaz jelaskan lebih lanjut tentang sistem Pendindingan dalam undang-undang pembahagian harta pusaka dalam Islam?

JAWAPAN : Pendindingan atau hajb dalam pembahagian harta pusaka terbahagi kepada dua jenis:

1. Pendindingan sepenuhnya atau disebut hajbu hirman: Keadaan yang menyekat sepenuhnya ahli waris yang lain daripada mewarisi harta si mati. Contoh: Anak lelaki si mati akan mendinding (dengan pendindingan sepenuhnya) adik beradik dan cucu si mati daripada mewarisi hartanya.

2. Pendindingan sebahagian atau disebut hajbu nuqshan: Keadaan yang mengurangkan kadar harta pusaka yang boleh diterima oleh ahli waris yang lain. Contoh: Anak si mati akan mengurangkan bahagian pusaka yang akan diperoleh oleh isteri, suami dan ibu si mati. Kunci dalam memahami konsep ini adalah pada skema pembahagian ahli waris seperti dalam gambar rajah berikut:

1TSAWDB

Berdasarkan jadual di atas, ahli waris perlu dibezakan kepada dua kategori utama iaitu:

1. Ahli waris yang tidak ada perantara antara si mati dengannya.

Mereka ialah bapa,ibu, suami atau isteri, anak lelaki dan anak perempuan. Maka mereka tidak terhalang oleh mana-mana ahli waris lain dalam menerima pusaka.

2. Ahli waris yang ada perantara antara dirinya dengan si mati.

2TSAWDB

Mereka pula ada tiga pecahan golongan yang perlu dibezakan seperti berikut: 

A. Ahli waris yang mempunyai pertalian keturunan dengan simati daripada pihak atas.

Mereka ialah datuk daripada pihak ayah sahaja dan ke atas, dan nenek daripada pihak ibu dan bapasi mati. Adapun datuk daripada sebelah ibu tidak termasuk dalam kalangan ahli waris.

Antara rumusannya:

i. Tidak ada yang menghalang datuk daripada mewarisi melainkan bapa si mati. Dia pula akan menjadi  penghalang kepada ahli waris yang berada di atasnya.

ii. Ibu menghalang setiap nenek sama ada daripada pihaknya sendiri mahupun daripada pihak bapa.

iii. Bapa juga menghalang setiap nenek daripada pihaknya sendiri iaitu ibunya dan ke atas.

iv. Setiap datuk menghalang ibunya sendiri dan ibu daripada bapanya tetapi tidak menghalang ibu daripada orang yang di bawahnya.

v. Ayah dan datuk tidak menghalang nenek daripada pihak ibu, sama ada yang dekat mahupun yang jauh, berdasarkan ijmak.

B. Ahli waris yang mempunyai pertalian keturunan dengan simati daripada pihak bawah.

Mereka ialah cucu daripada anaklelaki si mati sahaja, sama ada cucuitu lelaki atau perempuan.Adapun cucu daripada anakperempuan si mati sama ada cucuitu lelaki dan cucu perempuantidak termasuk ahli waris si mati.

Antara rumusannya:

1. Cucu lelaki tidak ada yangmenghalangnya selain daripadaanak lelaki, dan cucu perempuantidak ada yang menghalangnyaselain daripada anak lelaki dan duaorang anak perempuan.

2. Apabila bersama cucuperempuan ada lelaki yang samadarjatnya atau lebih rendah yang menjadikannya ‘asabah, maka cucuperempuan tidak dihalang oleh duaorang anak perempuan tersebut.

C. Ahli waris yang bertalian keturunan dengan si mati daripada pihak sebelah atau samping.

Mereka ialah   saudara seibu sebapa, saudara sebapa, saudara seibu, anaksaudara seibu sebapa, anak saudara sebapa, bapa saudara seibu sebapa, bapa saudara sebapa, anak bapa saudara seibu sebapa dan anak bapa saudara sebapa si mati.

Antara rumusannya:

1. Saudara seibu sebapa si mati sama ada lelaki atau perempuan akan dihalang oleh bapa, anak lelaki dan cucu lelaki si mati.

2. Saudara seibu  si mati sama ada lelaki atau perempuan akan dihalang oleh anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki, cucu perempuan, bapa dan datuk si mati.

Wallahu a‘lam.

 

Dr Musa bin Fathullah Harun 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Dr Musa bin Fathullah Harun

PhD Syariah, Universiti Al-Azhar dan mantan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Berguru kepada ramai ulama antaranya Dr Hasan Hito dan lain-lain. Buku-buku hasil tulisannya telah diterbitkan di dalam dan luar Negara, antaranya: Sistem Tasawuf dalam Islam, Manusia dan Makhluk Ghaib di Sekelilingnya, dan Pengantar Tasawuf Islam. Kini beliau merupakan penceramah bebas di negeri Selangor.

Kembali ke atas