Menu

 

A+ A A-

BILA PENAMA MEMBOLOT HARTA

BILA kita sebut surah al-Nisa kebanyakan kita terbayang ayat yang ketiga iaitu ayat yang menceritakan tentang kahwin poligami yang diharuskan oleh Islam. Sebenarnya ramai yang lupa, dalam surah al-Nisa’ ini terdapat ayat yang lebih penting daripada itu. Ia merupakan sumber rujukan pembahagian pusaka dalam Islam, yang sekarang ini dipanggil Ilmu Faraid. Ayatnya ialah ayat yang ke- 11 dan ke-12.

Dalam ayat ke-11 dan 12 ini, Allah s.w.t. menceritakan tentang pembahagian faraid dengan sejelas-jelasnya. Allah s.w.t. menegaskan hak-hak tertentu iaitu siapakah yang mendapat 1/2, 1/3, 1/4, 1/6, 1/8 dan 2/3. Tetapi segelintir umat Islam menyatakan pembahagian ini tidak relevan dengan situasi masa kini. Lalu mereka mengetepikan ketentuan Allah s.w.t.

Akhirnya ketentuan yang mereka ambil bukan membawa penyelesaian, bahkan menjerumuskan mereka ke lembah kebinasaan. Buktinya sekarang ini disebabkan pusaka adik beradik bergaduh, putus silaturahim sesama saudara-mara dan berbagai lagi musibah yang menimpa. Selain itu kedapatan terlalu banyakpusaka umat Islam yang tidak selesai. Mengapa? Kerana kita abaikan ketentuan Tuhan.

Apa itu Faraid?

Bila sebut Faraid, ramai orang memberikan maklumbalas “susahlah ilmu ini, Beratlah ilmu ini” dan macam-macam lagi. Apabila kita bersikap sedemikian, akhirnya yang berlaku hari ini ialah ramai yang tidak mahu mempelajari ilmu Faraid. Hasilnya ramai yang tidak tahu tentang ilmu Faraid dan juga yang tidak mahu ambil tahu tentang ilmu Faraid.

Sedangkan Rasulullah s.a.w. menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkan ianya kepada orang lain. Kerana sesungguhnya ia (ilmu Faraid) ialah sebahagian daripada ilmu yang banyak. Tetapi malangnya ia adalah ilmu yang dilupakan dan ia adalah ilmu yang mula-mula akan dicabut dari umatku.” (Riwayat al-Hakim, al-Baihaqi daripada Abu Hurairah).

bila penama membolot harta1

Bermakna menjadi kewajipan setiap kita mempelajari ilmu Faraid. Walaupun pengetahuan kita tidak sampai ke tahap terperinci dan mendalam, tetapi yang penting dengan mempelajarinya kita akan tahu sedikit sebanyak tentang kefarduan dan kepentingan ilmu Faraid ini.

Fitnah Harta

Apabila tidak ramai yang tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu tentang Ilmu Faraid, maka berlakulah apa yang telah berlaku hari ini seperti perebutan harta pusaka. Inilah yang dikatakan fitnah harta pusaka. Hal ini pernah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang bermaksud: “Pelajarilah al-Quran serta ajarkan ianya kepada orang lain dan pelajarilah ilmu Faraid serta ajarkan ianya kepada orang lain.

Kerana sesungguhnya aku ini akan dicabut nyawa (mati) dan ilmu tersebut juga akan dicabut oleh Allah s.w.t. Lalu akan timbullah fitnah harta (huru-hara) sehingga nanti akan ada di kalangan dua orang yang berselisih tentang pembahagian harta pusaka dan mereka sendiri tidak tahu siapakah yang akan dapat menyelesaikan masalah mereka.” (Riwayat al-Hakim, al- Baihaqi dari Abdullah Ibn Mas’ud)

 Panduan Urus Pusaka

Ayat 11 dan 12 dalam surah al-Nisa’ adalah ayat-ayat khusus yang menjelaskan tentang Faraid. Usia ayat-ayat al-Quran telah hampir 1500 tahun dan Allah s.w.t. masih kekalkan ianya hingga kini dan tidak ada sebarang perubahan padanya. Ini bermakna pasti ada hikmah mengapa Allah s.w.t. kekalkan ianya hingga masa kini! Tidak lain tidak bukan adalah untuk kita jadikan panduan bagi kita mengurus kehidupan ini menurut apa yang digariskan oleh syarak.

Ini termasuklah urusan harta pusaka. Ibu bapa kita yang meninggal dunia ataupun sesiapa sahaja saudara-mara kita yang meninggal dunia dan ada meninggalkan harta, dapat diuruskan seadilnya menurut hukum syarak.

 Penama Membolot Harta

Pernah seorang peserta bengkel faraid memberitahu saya, bahawa ada seorang datuk telah membolot semua harta pusaka anaknya yang berjumlah hampir RM500,000.00. Si datuk tadi tidak mahu menyerahkan bahagian pusaka kepada cucu-cucu dan menantunya. Bahkan dengan wang tersebut dia gunakan untuk pergi menunaikan haji dan umrah sebanyak beberapa kali. Bila ditanya kenapa dia tidak mahu menyerahkan bahagian pusaka kepada cucu-cucu dan menantunya, jawabnya adalah kerana dia adalah penama bagi seluruh harta anak lelakinya seperti di simpanan KWSP, insuran dan lain-lain.

Untuk makluman si datuk tadi ialah seorang imam masjid. Fitnah harta pusaka tidak kenal sesiapa. Siapa yang tidak mempunyai ilmu berkenaannya, memang akan terpedaya. Memang realiti hari ini, ramai PENAMA membolot harta pusaka si mati dan tidak mahu menyerahkan bahagian tertentu kepada waris-waris yang berhak. Mengapa? Kerana mereka menyangka harta si mati telah menjadi milik mereka dengan hanya sebab penama sahaja.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam tahun 1973, dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-96 yang diadakan pada 20 September 1973, telah memberi pendapat dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja:

“Penama-penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Wang Simpanan Pejabat Pos, bank, insuran dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber tersebut untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian Faraid.”

Wasi ialah pentadbir ataupun pemegang amanah. Bermakna, sesiapa yang dinamakan sebagai penama di KWSP (contohnya seperti suami-isteri). Bilamana pemilik KWSP tersebut meninggal dunia, maka penama boleh terus pergi ke mana-mana pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat pengeluaran.

bila penama membolot harta2

Setelah menerima wang tersebut, si Penama hanya boleh mengambil sejumlah wang untuk kos pengurusan yang berpatutan, dan selebihnya hendaklah dibahagikan kepada waris yang ada, menurut hukum Faraid ataupun menurut persetujuan bersama. Yang jelas, mereka tidak boleh membolot harta tersebut. Kerana mereka hanya sebagai Pentadbir ataupun Pemegang Amanah sahaja. ¤

 

 

Ustaz Md Ghazali Ibrahim

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

_________________________________________________________________

Ustaz Md Ghazali Ibrahim

Beliau memulakan kerjayanya di Pusat Zakat Selangor (MAIS) sejak tahun 1999 hingga 2004. Sekarang ini dikenali sebagai Lembaga Zakat Selangor (LZS). Antara jawatan yang pernah diamanahkan kepada beliau ialah Eksekutif Penyelidikan & Pembangunan Syarie dan Eksekutif Dakwah & Latihan. Beliau mendalami ilmu motivasi dengan beberapa buah syarikat antaranya ialah Fitrah Perkasa Sdn Bhd sekitar tahun 2005 . Sekitar tahun 2006, beliau mendalami ilmu faraidh & runding-pusaka dengan beberapa syarikat. Antaranya ialah Tetuan Jamilah Radzi & Co.

Beliau biasa muncul di kaca TV dalam rancangan Inspirasi Pagi (RTM1), Simfoni Alam (RTM1). Dan pernah beberapa kali muncul dalam rancangan Al Kulliyyah (TV3), Al Hidayah (TV3), Wanita Hari Ini (TV3), Tanyalah Ustaz (TV9) dan Astro Oasis dalam rancangan Khabar Haji & Liga Ilmu.

Sehingga kini beliau aktif memenuhi jemputan ceramah dan motivasi di dewan orang ramai, pejabat, universiti, sekolah, masjid dan surau.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Artikel berkaitan: TERGADAI TANAH PUSAKA »
Kembali ke atas