TERGADAI TANAH PUSAKA
- Ditulis oleh Mohamed Fadly Dato’ Zakaria
- Kategori Harta Pusaka
- Read 6374 times
“BETUL mak. Pemaju tu kata, kalau kita setuju nak buat usaha sama dengan tanah emak ini, kita akan diberi wang pendahuluan sebanyak RM50 ribu. Apabila siap nanti, pemaju akan berikan tujuh unit rumah berkembar atas nama kita. Pada masa yang sama, semasa projek pembinaan dijalankan, pemaju akan pindahkan kita ke rumah sewa sementara siap tanggung bayar sewa rumah tersebut sampai projek perumahan itu siap,” ujar Fadli kepada ibunya.
“Isy, betul ke ni nak? Entah-entah pemaju tu tipu. Nanti silap-silap, tidak berumah kita!” Puan Maryam tidak yakin. “Mana ada mak. Mak tengoklah pengarah syarikat tu. Dia berkereta BMW 5 series. Kalau tengok kad dia ini, pejabatnya di Damansara, Kuala Lumpur. Damansara ni mak, tempat orang kaya aje yang tinggal!” ujar Fadli kembali.
Tandatangan Perjanjian
Seminggu selepas itu, Fadli pun balik ke kampung untuk berjumpa dengan emaknya semula. Kali ini dia membawa tiga set dokumen perjanjian usaha sama antara pemaju dan ibunya dan tiga set dokumen perjanjian wakil kuasa. “Mak kena tandatangan di sini dan di tiap-tiap muka surat perjanjian ini. Nanti kalau dah tanda tangan, Fadli akan serahkan semula kepada pemaju untuk matikan setem. Lepas ni, dapatlah RM50 ribu!”
“Boleh ke kita tanda tangan ni, Fadli? Mak rasa tidak sedap hatilah. Apa kata kalau kita dapatkan nasihat peguam dahulu?” “Emak tidak percaya Fadli ke? Fadli sendiri pergi ke pejabat pemaju tu. Pejabatnya memang besar! Buat apa kita nak lantik peguam lain untuk semak perjanjian ini, buang duit aje mak. Ambil peguam sahaja dah kena bayar beribu-ribu. Baik tidak payah. Saya pun boleh baca perjanjian ini.” Fadli meyakinkan emaknya.
“Senang aje perjanjian ini. Emak sebagai pemilik tanah akan bekerjasama dengan pemaju. Emak akan serahkan tanah ini kepada pemaju untuk diusahakan sebagai projek perumahan. Bagi memudahkan kerja pemaju, emak kena tandatangan surat kuasa wakil (PA) supaya senang pemaju nak buat pinjaman bank bagi menjalankan projek ini. Selepas RM50 ribu, dapat pula tujuh unit rumah berkembar. Kita ambil satu rumah. Baki enam lagi kita boleh jual ataupun sewakan. Mana ada rugi mak!” Ibunya pun menandatangani perjanjian tersebut.
Habuan Awal dan Terakhir
Seminggu selepas itu, Fadli membawa pulang wang RM50 ribu dan menyerahkannya kepada emaknya. “Emak jangan lupa bagi saya komisen 10%,” Fadli mengusik ibunya. “Fadli dah cakap, mana ada tipu. Dah siap nanti, emaklah jutawan baru pekan Kluang ini!” Sebulan selepas itu, Puan Maryam pun berpindah ke rumah sewa sementara yang dijanjikan. Ia terletak agak jauh dari lokasi projek perumahan tersebut. Bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Kini sudah dua tahun berlalu. Puan Maryam terdengar bunyi loceng rumah sewa beliau dibunyikan. Puan Maryam mendapati ada dua orang di hadapan rumahnya.
“Makcik, kami ini wakil tuan rumah. Sudah tiga bulan bayaran sewa rumah ini tertunggak. Harap makcik dapat jelaskan. Kalau tidak, pihak kami tiada pilihan lain kecuali terpaksa menghalau makcik dari rumah sewa ini!” Puan Maryam menjelaskan butir-butir perjanjian usaha sama kepada mereka. Bagaimanapun mereka tetap menuntut bayaran tunggakan tersebut. Puan Maryam meminta mereka tempoh satu minggu bagi mendapatkan penjelasan daripada pemaju. Puan Maryam dan Fadli pun menaiki bas ke Kuala Lumpur.
Realiti Pahit
“Puan, syarikat ini dah berpindah semenjak enam bulan yang lepas. Dengar ceritanya, bos syarikat ini dah berpindah ke Taiwan,” ujar jiran kepada premis syarikat pemaju tersebut. Mereka pun pulang ke kampung dengan perasaan hampa. Setibanya di kampung, Puan Maryam terkejut menerima sepucuk surat dari pejabat peguam yang mewakili pihak bank. Menurut surat tersebut, pihak pemaju telah gagal membayar jumlah pinjaman yang tertunggak sebanyak RM5 juta kepada pihak bank. Surat tersebut juga menuntut sekiranya jumlah tersebut tidak dibayar dalam tempoh masa yang ditetapkan, maka pihak bank akan bertindak untuk melelong tanah yang dicagarkan oleh pemaju kepada pihak bank.
“Ya Allah, Fadli. Mana kita nak cari RM5 juta ni?” Akhirnya, tanah itu dilelong. Sebenarnya ramai lagi individu yang ditipu oleh syarikat pemaju yang sama. Modus operandinya sama. Wang pendahuluan akan diberikan dahulu sebagai balasan tuan tanah menyerahkan tanah di bawah kuasa surat wakil kuasa. Kemudian, pihak pemaju akan menggadaikan tanah-tanah tersebut kepada pihak bank sebagai cagaran bagi pinjaman pihak pemaju. Namun sebaik sahaja pemaju menerima wang pinjaman daripada bank, pemaju akan menutup syarikat dan melarikan diri ke luar negara.
Menurut cerita, pemaju ini telah melarikan wang sebanyak RM10 juta menerusi skim ini. Kesemua pemilik tanah yang terlibat berputih mata melihat tanah-tanah mereka dilelong.
Mohamed Fadly Dato’ Zakaria
Peguam di Advocates & Solicitors. Messrs Zuraidah Nazihah & Fadly
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz isu No.5
Mohamed Fadly Dato’ Zakaria
Peguam di Advocates & Solicitors. Messrs Zuraidah Naziha & Fadly.