Menu

 

A+ A A-

TANGGUNGJAWAB FIDUSIARI

“Bolehkah seorang pengarah syarikat sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk membelakangi pengarah dan pemegang saham syarikat?” tanya Najib kepada peguamnya, Encik Rizal.

“Sebenarnya, menjadi seorang pengarah ini berat bebannya. Dalam undang-undang Akta Syarikat dan undang-undang lain, seorang pengarah syarikat bertanggungjawab terhadap caruman KWSP, SOCSO, LHDN dan sebagainya. Dia juga mempunyai beban dan tanggungjawab fidusiari terhadap syarikat, ahli-ahli pengarah yang lain dan juga pemegang saham. Tanggungjawab pengarah syarikat berhad lebih berat berbanding pengarah syarikat sendirian berhad. Ini kerana setiap tindakan pengarah syarikat berhad akan sentiasa dipersoalkan oleh para pemegang saham,” jelas Encik Rizal kepada Najib.

“Jadi dalam kes encik, tindakan Encik Syamsul iaitu seorang pengarah syarikat yang telah membuka syarikat lain dan bersaing dengan syarikat encik kini adalah asas yang kuat bagi dakwaan kemungkiran tanggungjawab fidusiari Encik Syamsul terhadap syarikat kamu,” jelas Encik Rizal lagi.

“Saya syorkan syarikat encik membuat satu tindakan saman kepada Encik Syamsul kerana kemungkiran fidusiari ini. Lazimnya mahkamah akan mengadakan ganti rugi berbentuk account of profit. Segala keuntungan yang diperoleh oleh syarikat barunya perlu dibayar kepada syarikat encik sebagai pampasan ganti rugi.”

“Apakah maksud tanggungjawab fidusiari ini?" tanya Najib.

“Secara mudahnya, segala tanggungjawab pengarah syarikat termaktub dalam Seksyen 132 Akta Syarikat. Pendek kata, seorang pengarah syarikat bukan sahaja perlu bertindak secara amanah kepada syarikat, bahkan beliau juga perlu membuat keputusan dan bertindak untuk menjaga kepentingan syarikat.” jelas Rizal.

“Dalam kes ini, Syamsul dikira tidak amanah kerana dia yang mempunyai akses kepada maklumat sulit perniagaan syarikat menggunakan maklumat itu bagi kepentingan syarikat lain yang ada kepentingan baginya. Ini adalah salah dan jelas terdapat elemen kemungkiran tanggungjawab fidusiari di pihak beliau. Bahkan ada satu kes yang masyhur iaitu kes Avel Consultant yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Fakta kes tersebut mirip dengan kes encik.” jawab Rizal dengan menunjukkan salinan kes tersebut kepada Najib.

Najib mengangguk-angguk faham ketika membaca sinopsis kes tersebut. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk memfailkan tindakan saman terhadap Syamsul atas kemungkiran tanggungjawab fidusiari ini.

Susah Payah

Najib teringat akan susah payahnya menubuhkan syarikat. Ketika itu Najib mempelawa Syamsul yang bekerja sebagai seorang juruteknik komputer untuk menubuhkan syarikat jururunding perisian komputer. Najib telah membelanjakan sebanyak RM 250,000.00 sebagai modal untuk membuka dan mengembangkan perniagaan syarikat. Kerana kepakaran Syamsul dalam perisian komputer, Najib telah memberikannya pegangan 50% saham di syarikat tersebut secara percuma.

Rupa-rupanya, langit yang cerah tidak sampai sehingga petang. Setelah berjaya memperoleh beberapa kontrak perisian komputer yang besar yang diperkenalkan oleh Najib melalui jaringan korporatnya, Syamsul menjadi besar kepala. Ketika Najib cuba mendapatkan laporan kewangan bulanan syarikat setelah pulang daripada pengajiannya di United Kingdom, dia diherdik oleh Syamsul.

“Engkau mana tahu berniaga Najib. Balik daripada UK, sibuk sahaja kau nak minta itu ini!”

“Tapi Syamsul, aku yang keluarkan modal untuk syarikat ini. Aku juga yang mendapatkan kontrak besar-besar daripada rakan-rakan aku untuk syarikat. Aku juga masih lagi pengarah bersama dalam syarikat ini.” jawab Najib.

Tindakan Dalam Diam

Selepas dua minggu, Najib mendapat makluman daripada klien menyatakan bahawa Syamsul telah menubuhkan syarikat baru. Dia mengarahkan agar kontrak bernilai RM 2 juta ini dipindahkan ke syarikat baru milik Syamsul. Lebih mengejutkan, rakan Najib menunjukkan satu surat kononnya daripada kesemua lembaga pengarah syarikat yang bersetuju untuk memindahkan kontrak tersebut kepada syarikat baru milik Syamsul.

Najib terkejut apabila melihat tandatangannya dipalsukan. Bukan itu sahaja, beberapa hari kemudian seorang kakitangan di Kementerian Kewangan menghubungi Najib. Dia ingin meminta pengesahan Najib bahawa kesemua lesen kontraktor yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dibatalkan atas permintaan Syamsul.

Kemarahan Najib memuncak apabila bank pembiaya syarikat menyatakan wang klien yang sepatutnya dibayar terus kepada mereka gagal dimasukkan oleh syarikat. Walhal klien telah memaklumkan kepada bank pembiaya bahawa bayaran telah diterima oleh syarikat. Najib merupakan penjamin peribadi kepada kemudahan yang diberikan oleh bank pembiaya tersebut. Jadi tidak hairanlah Najib mengambil keputusan untuk menyaman Syamsul atas kemungkiran tanggungjawab fidusiari ini.

Keputusan Mahkamah

Pada hari perbicaraan, peguam Syamsul cuba membangkitkan isu bahawa kesemua tindakan Syamsul telah diratifikasi sepenuhnya oleh Najib. Malangnya, apabila Syamsul disoal balas oleh Encik Rizal, beliau gagal mengemukakan sebarang resolusi lembaga pengarah atau pemegang saham yang kononnya meratifikasikan segala tindak tanduk Syamsul ini.

Yang Arif Hakim memutuskan: “Setelah meneliti kertas-kertas klausa yang difailkan dalam tindakan ini dan setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati bahawa adalah jelas tindak tanduk defendan telah memungkiri tanggungjawab fidusiarinya kepada syarikat.

Tindakan menubuhkan syarikat baru dan mengarahkan kontrak dipindahkan ke syarikat baru yang defendan mempunyai kepentingan adalah jelas tindakan kemungkiran tanggungjawab fidusiari sebagai seorang pengarah syarikat. Saya tidak nampak justifikasi pembelaan defendan yang menyatakan bahawa tindakan beliau telah diratifikasikan oleh lembaga pengarah atau pemegang saham yang lain.

Tiada suatu bukti pun yang ditunjukkan defendan bagi menyokong pembelaan ini. Malah tiada penzahiran yang dibuat bagi tindakan defendan ini.”

“Oleh itu, tindakan ini sahaja cukup mewajarkan mahkamah untuk memberikan satu deklarasi bahawa defendan telah mungkir tanggungjawab fidusiarinya sebagai pengarah syarikat dan bertanggungan untuk ganti rugi atas dasar account of profit yang diperoleh oleh syarikat baru manfaat daripada kontrak tersebut.

Mahkamah juga bersetuju dengan hujahan peguam bela plaintif bahawa satu ganti rugi teladan exemplary damages dan ganti rugi teruk aggravated damages dibenarkan sebanyak RM 50,000.00 setiap satu. Kerana selain daripada kemungkiran di atas, defendan juga secara sengaja melalui beberapa siri tindakan selepas itu, memburukkan lagi keadaan dengan tidak mengendahkan langsung hak plaintif dalam kes ini. Lain-lain ganti rugi termasuk account of profit akan ditaksirkan oleh Pendaftar.”

Wallahu a‘lam.

tanggungjawab-firdusiari-2

MOHAMED FADLY DATO’ ZAKARIA

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Peguam di Advocates & Solicitors. Messrs Zuraidah Naziha & Fadly.

Terkini daripada Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Artikel berkaitan: « IBN HAZM AL-ZAHIRI
Kembali ke atas