Menu

 

A+ A A-

MUKALAF ERTI SEBUAH TANGGUNGJAWAB

SAYA berazam dan berusaha untuk menjadi seorang Muslim yang baik, namun saya tidak dapat lari daripada perasaan terkongkong dan terbeban. Mengapakah berat mahu menjadi seorang Muslim sejati?

Jawapan:

Ya, sememangnya berat. Namun sesuai dengan kehebatan seorang manusia.

Tamadun dan Akal

Kehebatan manusia ialah kemampuannya membina tamadun. Tamadun ialah keadaan masyarakat manusia yang dicirikan berdasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran yang tinggi yang membentuk sosial, budaya, politik dan sebagainya. Maka bukan mudah untuk membina sebuah tamadun. Namun manusia berjaya melakukannya.

Persoalannya, di manakah paksi kehebatan seorang manusia? Jawapannya ialah akal. Allah s.w.t. telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian yang berbeza dengan makhluk yang lain antaranya binatang. Justeru, akal ialah pembeza antara kita dan haiwan. Maka dengan akal manusia mampu membina tamadun yang tinggi.

Muslim dan Akal

Allah menganugerahkan akal kepada manusia supaya mereka mampu memanfaatkannya untuk mencari hakikat Pencipta seluruh alam ini. Akal sama sekali tidak akan menipu jika digunakan dengan cara yang betul. Maka akal merupakan aset yang penting dalam memahami syariat Allah serta dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.

Lahirnya kita dalam keluarga Muslim bukanlah bermakna episod hidup kita sudah berakhir, bahkan ia baru bermula dalam erti kata mencari jawapan dan peranan sebagai seorang Muslim. Di sinilah zahirnya satu tanggungjawab agung yang dipundakkan ke atas setiap Muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

mukalaf-erti-sebuah-tggjwb-1

Muslim dan Tanggungjawab

Apabila sudah bergelar seorang Muslim, maka tanggungjawab mula dirasai satu persatu dengan dimulai tanggungjawab untuk belajar. Beginilah proses yang akan terus berlaku sehingga seorang Muslim itu memahami tanggungjawabnya.

Stephen R. Covey ada menegaskan bahawa orang yang proaktif ialah mereka yang bertanggungjawab kepada pilihan yang diambil dalam kehidupan mereka. Bertanggungjawab dalam erti kata tidak menyerah kepada persekitaran dan menyalahkan keadaan. Bahkan dia membuat pilihan untuk terus maju ke hadapan sambil memperbaiki kehidupannya supaya kebahagiaan dapat terus dikecap. Ini semangat daripada seorang bukan Islam. Bagaimanakah dengan seorang Muslim?

Maka sudah pasti seorang Muslim lebih hebat! Pada saat dia mengucapkan kalimah syahadah, maka dia telah membuat satu pilihan yang proaktif untuk membina kehidupannya berlandaskan syariat demi mendambakan keredaan Allah.  Sehubungan dengan itu, Allah telah mempersiapkan peraturan Ilahi yang lengkap serta perlu dipatuhi dan diaplikasikan dalam apa jua keadaan sama ada senang atau susah. Seorang Muslim tidak akan berasa sukar sama sekali dengan peraturan Ilahi ini kerana ia tanggungjawabnya.

Persiapan daripada Allah

Bukankah Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.”

Oleh sebab itu, seorang Muslim juga dikenali dengan istilah mukalaf iaitu orang yang diberati atau dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Buktinya, segala peraturan syariat sebenarnya dalam kemampuan seorang Muslim.

Ya, memang ada kepayahan, namun ada kemampuan. Untuk memasuki syurga Allah perlulah melalui saringan terlebih dahulu. Dunia inilah medan saringan untuk Allah melihat siapa hamba-Nya yang mahu melakukan sebaik-baik amalan.

Malangnya Muslim pada hari ini sering mengeluh dan mempertikaikan syariat yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Malahan mereka terasa terkongkong untuk mengikutinya kerana tidak selari dengan kehendak nafsu yang inginkan kebebasan mutlak dan keseronokan semata-mata.

Mengapakah ini berlaku? Puncanya ialah persediaan yang pincang dalam pembentukan seorang Muslim yang proaktif yang bertanggungjawab. Jika dilihat, Islam sebenarnya menggariskan persediaan untuk memahami tanggungjawab sebagai seorang Muslim ini sejak peringkat mumaiyiz lagi seperti berikut:

1. Mumaiyiz – Ketika ini kita dibiasakan untuk melakukan beberapa perkara syariat seperti solat, ke masjid, berpuasa dan sebagainya.

2. Baligh – Bermulalah melakukan kewajipan dan larangan seperti wajib solat, menutup aurat dan sebagainya.

Namun apakah yang berlaku dalam pendidikan anak-anak Muslim pada hari ini?

1. Mumaiyiz – Tidak dilatih untuk melakukan perkara syariat malahan disogokkan dengan hiburan dan kebebasan melampau seperti hanya bermain, menyanyi, menari dan menonton.

2. Baligh – Diri terasa berat untuk melaksanakan kewajipan dan larangan serta mula memberontak dan mencari peluang untuk lari daripada tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Berat Tetapi Hebat

Tanggungjawab sememangnya berat, tetapi berpadanan dengan kesannya yang hebat. Manusia tidak dijadikan untuk berhibur dan berseronok selama-lamanya, apatah lagi sebagai seorang Muslim. Fahamilah bahawa dirimu seorang yang hebat.

Hanya dengan tanggungjawab, maka kehebatan itu akan terserlah dan terpancar.

Lihatlah siapa sahaja manusia yang hebat atas muka bumi ini sama ada dia seorang ibu, ayah, ketua, doktor, guru, murid, atlit, perajurit atau pemimpin negara. Mereka menjadi hebat kerana mereka memahami tanggungjawab yang perlu mereka tunaikan. Bagaimana dengan anda? Sudah bersedia untuk menjadi Muslim sejati?

mukalaf-erti-sebuah-tggjwb-2

Amly Asenar

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Amly Asenar

Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang perguruan. Terlibat dalam penulisan buku dan majalah. Selepas buku pertamanya Ayuh Bersahur, kini karya keduanya Ayuh Haji sedang berada di pasaran. Kini editor Syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas