KELEBIHAN MEMELIHARA TANGGUNGJAWAB
- Ditulis oleh Ustaz Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz
- Kategori Terkini
- Read 19119 times
AMANAH adalah satu hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang sama ada tanggungjawab itu milik Allah (hak Allah) mahupun hak manusia (hak insan) – baik berupa pekerjaan mahupun perkataan dan pekerjaan hati.
Pengertian amanah
Pengertian amanah bererti – menempatkan sesuatu pada tempatnya yang wajar, seperti sesuatu kedudukan tidak diberikan kecuali kepada orang yang betul-betul berhak dan yang betul-betul mampu menunaikan tugas dan kewajipannya dengan benar.
Ramai orang menganggap bahawa pengertian amanah itu hanya untuk menjaga urusan yang melibatkan kewangan dan harta benda sahaja, sedangkan pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat untuk pertanggungjawabkan. Inilah pengertian amanah yang sebenarnya.
Daripada riwayat Al-Bukhari, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pimpin. Ketua atau imam adalah pemimpin dalam masyarakatnya, dia akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang dipimpinnya.
Suami adalah pemimpin dalam keluarganya, dia akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang dipimpinnya. Isteri juga pemimpin dalam mengendalikan rumah tangga suaminya, dia juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang dipimpinnya. Pembantu rumah tangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya, dia juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang dipimpinnya.”
Daripada hadis ini jelaslah bahawa setiap orang yang hidup tidak akan dapat melepaskan diri daripada tanggungjawab dan setiap orang yang hidup itu juga tidak akan dapat melepaskan tugasnya kepada orang lain dengan begitu sahaja. Ini adalah kerana semuanya itu akan ditanya oleh Allah s.w.t., apakah amanah yang diberikan itu dapat dilaksanakan dengan baik atau sebaliknya.
Suatu kisah di sebalik amanah
Terdapat satu kisah yang telah diceritakan oleh Abdullah Ibnu Dinar: “Pada suatu hari, saya berjalan bersama Khalifah Umar al-Khatab di Makkah. Di pertengahan jalan, kami bertemu dengan seorang hamba yang bekerja sebagai penggembala sedang menggembala kambing-kambing tuannya di suatu kawasan lapang. Melihat demikian, Sayidina Umar berkata kepada si hamba penggembala kambing itu, ‘Juallah kambing itu kepada saya.’
Si hamba itu pun menjawab: ‘Kambing ini bukan kambing saya, ia kepunyaan tuan saya.’ Kemudian Sayidina Umar sekali lagi cuba menawarnya, ‘Bukankah nanti kamu boleh mengatakan kepada tuan kamu bahawa seekor daripada kambing-kambing itu telah dimakan oleh serigala. Nanti pasti tuan kamu tidak akan mengetahui yang kambing itu telah dijual.’
‘Tidak... saya tidak mahu,’ kata budak itu. ‘Sesungguhnya Allah maha mengetahui.’
Sayidina Umar terkejut mendengar kata-kata si hamba tersebut. Lalu menangislah Sayidina Umar dan berkata kepada pengiringnya supaya memanggil tuan kepada si hamba itu. Sayidina Umar pun membeli hamba tersebut lalu memerdekakannya dengan berkata, ‘Mulai hari ini kamu bebas merdeka di dunia dan kamu akan lapang di akhirat.’”
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hokum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil.”
Untuk memenuhi erti amanah, manusia hendaklah berlumba menunaikan tugasnya dengan tegas dan bersungguh-sungguh serta sebaik-baiknya. Ini adalah disebabkan, menyempurnakan tanggungjawab dengan amanah amat disanjung tinggi malah diwajibkan dalam Islam.
Selain itu, Islam juga menyarankan agar dalam menyempurnakan amanah itu diiringi sekali dengan keikhlasan. Kerana, keikhlasan itu dapat melengkapkan sifat amanah.
Akhir kalam, semoga Allah s.w.t. menolong kita untuk menjadikan kita orang yang sentiasa beramanah dalam setiap apa pun pekerjaan yang kita lakukan. Insya-Allah.
“Ya Allah, jadikanlah agama kami agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., Islam kami sebagaimana Islam orang-orang Muslimin, iman kami sebagaimana iman orang-orang Mukminin, solat kami sebagaimana solat orang-orang yang khusyuk, amalan kami sebagaimana amalan orang-orang soleh, niat kami sebagaimana niat orang-orang yang ikhlas. Terimalah amalan kami, ya Allah.” Amin Ya Rabbal Alamin.
Ustaz Muneer Mohamed Farid al-Hafiz
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2
Ustaz Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz
Penceramah personaliti radio