Menu

 

A+ A A-

KEPERIBADIAN SEORANG REMAJA TERHADAP KELUARGA

ADAB merupakan satu cahaya yang akan membentuk budi pekerti seseorang dalam tingkah laku hidupnya dan menggambarkan ketertiban dan kesopanan seseorang terhadap orang di sekeliling terutama keluarganya. Secara ringkasnya, ia menyentuh perilaku seseorang terhadap Allah s.w.t., Rasulullah s.a.w., ibu bapa dan masyarakat. Adab perlu ditanam dalam diri setiap remaja masa kini kerana mereka bakal memimpin negara pada masa hadapan.

Ada ungkapan berbunyi: “Jika kita mahu melihat kejatuhan dan pembangunan sesebuah negara pada masa akan datang, lihatlah bagaimana keadaan generasi muda hari ini yang bakal mencorakkan tampuk kepimpinan negara kelak.”

Dewasa ini, berlakunya keruntuhan akhlak yang serius dalam kalangan remaja terutamanya terhadap ibu bapa. Akibatnya, pergaduhan berlaku dan institusi keluarga berpecah. Institusi kekeluargaan yang gersang dengan ilmu agama merupakan salah satu punca anak-anak tidak berakhlak dengan keluarganya.

keperibadian-seorang-remaja-1

‘Role Model’ Sebagai Contoh

Perubahan arus kemodenan pada zaman ini banyak menyumbang kepada keruntuhan akhlak remaja. Mampukah remaja-remaja mengatasi dugaan dan godaan dalam usaha membentuk akhlak yang mulia? Setiap hari, akhbar-akhbar tempatan memberitakan keruntuhan akhlak remaja. Remaja kini seperti tiada akhlak. Mereka bercakap dengan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik sehingga mengguris perasaan keluarga mereka. Bagaimana mereka hendak memimpin keluarga, anak-anak serta Negara pada masa hadapan nanti? Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia.” Kalau kita mencari ‘role model’ untuk dijadikan contoh, Rasulullah s.a.w. ialah manusia yang paling layak dicontohi kerana Baginda seorang manusia yang sempurna akhlaknya. Sebaliknya, bukanlah memilih artis, pemain bola sepak atau pelakon untuk dijadikan contoh.

Sebagai remaja, kita perlu matang dan berfikiran terbuka. Kita perlu memajukan diri sebelum kita memajukan keluarga dan masyarakat di sekeliling kita. Lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. bergaul dengan keluarga Baginda. Baginda sangat lembut dalam pertuturannya. Baginda tidak pernah menyakiti hati sesiapa pun. Walaupun kafir Quraisy mencacinya, Baginda tidak pernah sekalipun meninggikan suara kepada mereka. Betapa mulianya adab serta akhlak Rasulullah s.a.w. Bagindalah manusia yang paling layak dicontohi.

keperibadian-seorang-remaja-2

Wasiat Rasulullah untuk Remaja

Daripada ibn Abbas r.a, katanya: “Pada suatu hari, aku berada di belakang (boncengan) Rasulullah s.a.w. lalu Baginda bersabda, maksudnya: ‘Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada di hadapan kamu, dan jika engkau memohon, maka pohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.”

keperibadian-seorang-remaja-3

Jika kita mengambil nasihat-nasihat Rasulullah s.a.w. di atas dan diterapkan dalam diri kita, akhlak serta adab yang mulia dengan mudahnya lahir dalam hati serta mudah dizahirkan kepada keluarga kita.

Berakhlak dalam Keluarga

Keluarga merupakan perkara yang penting dalam kehidupan kita. Kita perlu menggauli keluarga kita dengan baik kerana ia bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, malah Allah s.w.t. memberi ganjaran kepada kita. Adab dan akhlak kepada keluarga sangat penting dalam agama kerana Allah s.w.t. tidak suka kepada pergaduhan dalam keluarga.

Sifat-sifat mahmudah yang diterapkan dalam keluarga akan melahirkan kebahagiaan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat kelak. Dengan latihan dan didikan jiwa yang bersepadu, ikhlas serta berterusan dalam sesebuah keluarga itu, akan lahirlah insan yang berakhlak murni serta beradab mulia.

Rumahku Syurgaku

Ungkapan ini perlu kita terapkan dalam hati kita kerana semuanya bermula dari rumah iaitu daripada keluarga kita. Rumah yang penuh dengan amal ibadat serta iman akan melahirkan anak-anak yang baik dari segi akhlak dan adabnya. Dalam perkara ini, ibu bapa perlu menganggap ini sebagai perkara yang penting kerana ia akan menjamin masa hadapan anak itu. Kita sebagai remaja pula perlu berusaha untuk menerapkan adab dalam diri kita supaya kita akan disenangi dan disayangi oleh keluarga serta orang ramai.

Ustaz Fauzi Abdul Hamid
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Ustaz Fauzi bin Abdul Hamid

Lulusan B.A dalam Usuluddin dan M.A dalam Ulum Hadis di Universiti Faisalabad, Pakistan. Kini bertugas sebagai editor syariah di jabatan penerbitan Telaga Biru Sdn.Bhd. Aktif dalam berdakwah di masjid dan surau. Antara guru beliau Syeikh Tariq Jamil iaitu ulama besar Pakistan dan Syeikh Ubaidillah (mufti). 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas