Menu

 

A+ A A-

PLANET DISEBUT DALAM AL-QURAN

Ditulis oleh 

BARU-baru ini terdapat penemuan baru berkenaan bilangan planet. Sebelum ini kita mengetahui, planet ada sembilan buah kesemuanya. Kemudian pula ada saintis yang menambah sebuah planet baru dan ada pula yang menggugurkan yang lain. Adakah terdapat nas al-Quran atau hadis yang ada menyentuh hal ini?

Alhamdulillah, ada. Sememangnya manusia akan berbeza pandangan dalam masalah yang tidak jelas pada mereka. Sebelum ini, hanya sembilan buah planet sahaja yang dikenal pasti, Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto. Bagaimanapun, pada tahun 2006 planet Pluto telah digugurkan daripada senarai planet. Ia diletakkan dalam kategori “dwarf planet” (planet mini). Setelah itu, ahli astronomi menemui pula dua buah planet lagi iaitu Eris dan Ceres. Namun ahli astronomi di International Astronomical Union mengkategorikannya sebagai dwarf planet sepertimana Pluto.

Apa-apa pun pengkategorian yang diberikan, sekarang ini sudah dikenal pasti bahawa terdapat sebanyak 11 buah planet kesemuanya. Sebenarnya, hal ini telah dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran. Dalam surah Yusuf ada merakamkan kisah Nabi Yusuf a.s. bermimpi melihat 11 bintang berserta bulan dan matahari bersujud kepadanya. Firman Allah yang bermaksud: “(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: ‘Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat 11 bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku.’” (Surah Yusuf 12: 4)

Sebenarnya ulama tidak sependapat berkenaan maksud kalimah كوكبا . Ada ulama yang mentafsirkannya dengan maksud bintang. Manakala majoriti ulama meletakkan maksudnya sebagai planet. Ini kerana bintang dalam bahasa Arab boleh difahami dengan kalimah النجم .

Dalam ayat tersebut, Allah mengibaratkan 11 planet itu dengan 11 orang adik-beradik Nabi Yusuf manakala matahari dan bulan pula sebagai ayah dan ibunya. Maka terbuktilah kebenaran dan kebijaksanaan Allah. Perumpamaan yang dibuat mestilah dengan sesuatu yang wujud secara realiti. Manusia juga begitu. Tiada manusia yang memisalkan sesuatu perkara dengan perkara yang tidak wujud. Selain itu, National Geographic juga pernah menerbitkan sebuah buku karya David A. Aguilar yang berjudul 11 Planets: A New View of The Solar System. Ini menunjukkan bahawa mimpi Nabi Yusuf a.s. adalah benar dan al-Quran bukanlah kitab yang palsu.

planet-dalam-alquran-1


Kajian astronomi juga menjelaskan bahawa setiap planet bergerak atas orbitnya masing-masing. Adakah hal ini turut dinyatakan dalam al-Quran?

Salah satu faktor keseimbangan yang hebat di angkasa lepas ialah keadaan objek-objeknya yang bergerak mengikut jalan-jalan tertentu. Bukan sahaja dalam sistem solar galaksi-galaksi lain juga menunjukkan gerakan yang sama.

Realiti ini telah diterangkan dalam al-Quran melalui surah al-Anbiya’ ayat 33 yang bermaksud: “Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” 

planet-dalam-alquran-2 

Begitu juga dalam surah al-Dhariyat ayat 7 yang bermaksud: “Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai-bagai bentuk keadaannya.”

Alam semesta kita sangatlah luas. Dalamnya terdapat berjuta-juta galaksi. Setiap satunya mempunyai berjuta-juta planet. Yang uniknya, semuanya mempunyai orbit yang tersendiri. Maha Kuasa Allah yang menciptakan alam semesta. Tidaklah kita sebagai manusia yang kerdil ini dapat membayangkan kuasa Allah s.w.t. Subhanallah! Wallahu a‘lam.

Ustaz Fauzi Abdul Hamid
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5.


Read 29891 times
Ustaz Fauzi bin Abdul Hamid

Lulusan B.A dalam Usuluddin dan M.A dalam Ulum Hadis di Universiti Faisalabad, Pakistan. Kini bertugas sebagai editor syariah di jabatan penerbitan Telaga Biru Sdn.Bhd. Aktif dalam berdakwah di masjid dan surau. Antara guru beliau Syeikh Tariq Jamil iaitu ulama besar Pakistan dan Syeikh Ubaidillah (mufti). 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.