Menu

 

A+ A A-

KECANTIKAN: SEBUAH AMANAH & UJIAN

TOKOH salafus soleh yang akan saya perkenalkan kali ini ialah seorang ulama dari kalangan tabiin di Madinah. Nama beliau, Sulaiman bin Yasar al-Hilali dan panggilannya adalah Abu Ayyub (w. 94H).

Beliau seorang ulama yang terkenal dengan sikap warak dan amat kaya dengan ilmu. Selain itu, beliau juga seorang yang sangat tampan. Setiap wanita yang melihat wajahnya selalu jatuh hati kepadanya. Namun begitu, beliau jauh daripada perlakuan maksiat.

Abu Hazim bercerita: Suatu hari, Sulaiman bin Yasar keluar ke Makkah bersama seorang temannya. Apabila tiba di Abwa, mereka berhenti untuk berehat. Temannya itu segera menyiapkan makanan, lalu pergi ke pasar untuk membeli bekalan mereka. Sementara itu, Sulaiman menunggu di dalam tenda yang telah disiapkan.

Dari kejauhan, seorang wanita tanpa sengaja terpandang wajah Sulaiman. Ketampanan wajah Sulaiman segera menawan hatinya. Wanita itu lalu berhias dengan cantik, menutupi wajahnya dengan ‘niqab’, lalu mendatangi tenda Sulaiman.

kecantikan-amanah-ujian-1

Di hadapan Sulaiman, wanita itu pun terus menyingkap ‘niqab’ dari wajahnya. Terlihatlah seraut wajah yang sangat cantik laksana rembulan. Dia pun berkata kepada Sulaiman, “Berikanlah kepadaku.” Sulaiman menyangka wanita itu menginginkan makanan. Beliau pun segera bangkit hendak mengambil makanan untuk diberikan kepada wanita itu.

Wanita itu berkata, “Aku tidak menginginkan makanan. Aku menginginkan apa yang diinginkan oleh seorang perempuan daripada seorang lelaki.”

Sulaiman sedar bahawa beliau sedang menghadapi ujian yang sangat besar. Beliau pun berkata, “Iblis telah mengutusmu untuk menyesatkanku.” Beliau lalu meletakkan kepalanya di kedua tangannya dan menangis dengan amat sedih sekali.

Melihat sikap ini, wanita itu berasa sangat malu. Dia pun menutup kembali wajahnya dengan ‘niqab’, lalu beredar dari situ. Tidak lama kemudian, teman Sulaiman kembali dari pasar dengan membawa bekalan yang dibelinya. Apabila melihat kesan tangisan di muka Sulaiman, dia lantas bertanya, “Apa yang terjadi? Mengapa engkau menangis?” Sulaiman menjawab, “Tidak ada apa-apa. Aku hanya teringatkan keluargaku di rumah.”

Temannya tidak percaya. Dia terus mendesak Sulaiman untuk memberitahu apa yang sebenarnya terjadi. Akhirnya, Sulaiman menceritakan kisah sebenarnya. Mendengar cerita Sulaiman, temannya menangis. Dia pun berkata, “Jika aku yang mengalami kejadian ini, aku takut tidak dapat menahan diri seperti yang kamu.”

Kisah ini dihikayatkan oleh Al-Hafiz Abu Nu’aim Al-Isbahani dalam kitabnya yang bertajuk ‘Hilyat al-Awlia’.

Amanah dan Ujian

Ketampanan dan kecantikan sememangnya adalah anugerah daripada Allah s.w.t. Seseorang itu akan berasa bangga jika memiliki penampilan yang menarik. Bahkan seseorang itu bersedia untuk membelanjakan wang berlimpah demi mencapai tujuan itu. Namun jangan lupa, sebenarnya keindahan rupa itu melahirkan sebuah tanggungjawab. Sebab ia adalah amanah daripada Allah s.w.t. Allah memberikan kelebihan itu kepada seseorang agar dia menjadi hamba yang bersyukur, bukan untuk membuka jalan berbuat maksiat.

kecantikan-amanah-ujian-2

Sesiapa yang menggunakan kecantikan paras rupanya untuk memuaskan hawa nafsu, maka sebenarnya dia tidak bersyukur atas nikmat yang diberi. Selalunya sebuah nikmat akan dicabut apabila ia tidak disyukuri. Selain itu, keindahan paras rupa juga adalah satu ujian berat bagi iman seseorang. Jika tidak diiringi dengan keindahan akhlak, ia boleh membawa malapetaka yang sangat besar.

Kisah Sulaiman bin Yasar telah membuktikan hal itu. Andai beliau menurutkan nafsunya, nescaya Allah s.w.t. tidak akan meninggikan darjatnya di dunia dan juga di akhirat. Jadi, sesiapa yang menyedari hakikat ini maka tidak akan tertipu dengan keindahan rupa. Jika dia memilikinya, dia akan selalu berwaspada. Dia menjaga sedaya yang mungkin agar kecantikan itu tidak menjerumuskannya ke dalam neraka.

Jika dia tidak memilikinya, dia tetap percaya diri sendiri. Sebab kecantikan hakiki adalah keindahan budi pekerti. Ikutlah budi pekerti Rasulullah s.a.w. Baginda adalah seseorang yang sangat tampan. Setiap kali memandang wajah di cermin, Baginda berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, sebagaimana engkau telah memperindah kejadianku, maka indahkanlah budi pekertiku.” Ini diriwayatkan oleh Ibn Hibban.

Nabi Yusuf

Kita kembali kepada kisah Sulaiman bin Yasar di atas tadi. Beliau dan temannya meneruskankan perjalanan mereka ke Makkah. Selepas melaksanakan semua amalan ‘manasik’ dengan sempurna, Sulaiman merasa penat, letih dan mengantuk. Lalu beliau pun tertidur. Dalam mimpi, beliau berjumpa dengan seorang lelaki yang sangat tampan. Beliau bertanya kepadanya, “Siapakah engkau, wahai tuan?” Orang itu menjawab, “Aku Yusuf bin Ya’qub.”

Sulaiman bertanya lagi, “Nabi Yusuf?” Orang itu menjawab, “Ya.” Sulaiman berkata, “Aku sangat kagum dengan kisahmu bersama wanita yang menggodamu sebagaimana diceritakan dalam al-Quran.”

Nabi Yusuf berkata, “Kisahmu di Abwa lebih mengagumkan.”

Wallahu a’lam.  

Ustaz Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas