Menu

 

A+ A A-

MENYUNTIK JUJUR KE DALAM DIRI

JUJUR mempunyai pengertian yang besar dalam Islam. Sifat jujur sebahagian daripada iman. Mereka yang telah hilang sifat jujurnya adalah orang yang tipis imannya. Mengapa? 

Ini kerana jujur dan iman berjalan seiring. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang. Hayati pesanan Rasulullah s.a.w. akibat daripada sikap jujur dan berbohong menerusi sabda Baginda yang bermaksud: “Hendaklah kamu semua bersikap jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa ke syurga. Seorang yang selalu jujur dan mencari kejujuran akan ditulis oleh Allah sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah sifat bohong, kerana pembohongan membawa kepada kejahatan, dan kejahatan membawa ke neraka. Orang yang selalu berbohong dan mencari-cari kebohongan akan ditulis oleh Allah sebagai pembohong.” (Riwayat al-Bukhari) 

Kejujuran merupakan dasar atau fundamental dalam pembangunan umat dan kebahagiaan sesuatu masyarakat. Oleh sebab itu, Allah s.w.t. telah memerintahkan hambaNya agar mempunyai perilaku dan sifat ini dengan menjadikan Rasulullah s.a.w.

Sebagai contoh terbaik insan yang memiliki sifat kejujuran. Sememangnya kejujuran adalah akhlak utama para nabi dan rasul. Kejujuran boleh dibahagikan kepada tiga perkara: 

1. Jujur kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya.

2. Jujur kepada diri sendiri.

3. Jujur kepada orang lain. 

jujur d diri 1

Jujur kepada Allah dan Rasul Nya 

Orang yang jujur kepada Allah dan Rasul-Nya merupakan orang yang benar-benar beriman. Ibadahnya tidak sedikit pun berbeza sama ada perlakuan ibadah itu di hadapan orang ramai mahu pun ketika dikerjakan secara bersendirian. Orang yang jujur kepada Allah dan Rasul-Nya juga akan berasa malu untuk melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya seperti sabda Rasulullah s.a.w.yang bermaksud: “Hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Dan ingatlah sekiranya kamu tidak melihat Nya, Dia Melihatmu.” (Riwayat Muslim) 

Jujur kepada Diri Sendiri 

Percaya ataupun tidak, Allah s.w.t. telah menjadikan setiap anggota badan kita untuk berlaku jujur kecuali lidah. Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kes-kes di mahkamah, ketika saksi menjawab pertanyaan peguam, jawapan itu bukan sekadar diambil daripada percakapan semata mata. Gerak-geri badan, tangan, kaki dan juga pandangan mata diambil kira. Saksi yang berbohong atau tidak jujur akan berasa ‘kurang senang’ apabila menjawab soalan. 

Mungkin kadang-kadang kita boleh menghafal segala jawapan menggunakan lidah. Namun tidak semua jawapan itu ‘dipersetujui’ oleh anggota badan yang lain. Itu dimahkamah dunia, tetapi di akhirat kelak ketika dibicarakan, yang akan menjawab persoalan ialah tangan dan kaki seperti firman Allah s.w.t. dalam surah Yasin ayat 65 yang bermaksud: “Maka pada hari ini, Kami tutupkan mulut mereka, dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang mereka telah usahakan.” 

Jujur kepada Orang Lain 

jujur d diriKejujuran amat penting bukan sahaja dalam urusan kemasyarakatan, bahkan dalam kehidupan berkeluarga dan rumah tangga termasuklah dalam pergaulan dengan anak-anak. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berkata kepada seorang anak: ‘Mari anakku, ambillah kurma ini, lalu dia tidak memberikannya, maka dia telah mendustainya.” ambillah kurma ini,’ lalu dia tidak memberikannya, maka dia telah mendustainya.” (Riwayat Ahmad) 

Berdasarkan hadis tersebut, dapat kita lihat Rasulullah s.a.w. ingin mendidik ibu bapa supaya menanamkan sifat utama ini kepada anak-anak semenjak kecil. Hal ini penting supaya anak-anak dapat membesar dengan memiliki watak dan kebiasaan agar  berlaku jujur. Melalui cara ini, diharapkan akan lahir generasi Islam yang dapat memberikan kebahagiaan hidup dan membangkitkan kesedaran melalui sifat jujur.

Islam menaruh perhatian serius terhadap moral terpuji ini. Islam selalu mengajak dan mendorong manusia agar memiliki watak ini, sebaliknya memperingatkan manusia agar menjauhi dusta dan tidak amanah. Dusta merupakan salah satu sifat yang hina dan tercela. Berita yang berdasarkan pendustaan seringkali mengakibatkan terputusnya hubungan persaudaraan dan menimbulkan konflik yang tidak berhujung sesama manusia. 

 

USTAZ MUNEER MOHAMED FARID AL-HAFIZ

Sumber artikel daripada GEN-Q 10


 

Ustaz Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz

Penceramah personaliti radio

Kembali ke atas