Menu

 

A+ A A-

ANTARA TUNTUTAN ADAT DAN TUNTUTAN SYARIAT

Hari perkahwinan ialah hari yang sangat bersejarah dalam hidup manusia. Pada hari itu, kedua-dua mempelai merasakan kebahagiaan yang sangat besar. Namun ramai yang lupa bahawa pada saat akad itu berlangsung, sebenarnya ia sedang melakukan satu ibadah. Ya, perkahwinan itu satu ibadat. Bahkan ibadat yang sangat besar kedudukannya di sisi Allah. Akad nikah merupakan satu akad abadi yang mengikat pasangan bukan hanya sepanjang hidup mereka didunia, bahkan hingga selepas mereka meninggal dunia.

Imam al-Bulqini berkata: “Nikah disyariatkan sejak zaman Nabi Adam dan berterusan hingga kesaat ini, bahkan ia akan berterusan hingga ke syurga. Tidak ada akad dan hukum lain yang menyerupai pernikahan selain daripada iman”. Namun, kita perlu ingat bahawa pernikahan hanya akan bernilai ibadah jika diniatkan sebagai ibadah. Akad nikah yang bernilai ibadah akan membawa keberkatan dan ganjaran besar daripada Allah.

Setiap wang ringgit yang dihabiskan untuk majlis itu akan dikira sebagai sedekah dan akan mendapat ganti daripada Allah. Namun jika akad nikah itu tidak diniatkan sebagai ibadah, maka terlepaslah peluang meraih pahala daripada Allah. Lalu majlis tersebut menjadi sekadar jamuan adat biasa sahaja.

Mulai dengan niat

SOALAN : Apakah niat yang patut saya tetapkan apabila hendak melangsungkan pernikahan agar majlis yang saya langsungkan nanti dikira sebagai satu ibadah yang berpahala?

JAWAPAN :

Soalan anda ini sungguh munasabah. Jika kita mengatakan bahawa perkahwinan itu satu ibadah, maka setiap ibadah mesti dimulai dengan niat. Niat terbaik yang mesti terpancang dalam hati adalah ikhlas mengharap reda Allah dan melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam kitab Fatawa, Imamal-Nawawi berkata: “Jika suatu perkahwinan diniatkan sebagai amalan taat seperti meneladani Rasulullah, mendapatkan anak yang saleh, menjaga kesucian diri, juga untuk memelihara kemaluan, mata dan hati atau yang seumpama dengannya, maka perkahwinan ini dikira sebagai amalan akhirat dan diberi pahala padanya. “Jika tidak diniatkan sedemikian, maka perkahwinan itu hukumnya harus belaka dan dikira sebagai amalan duniawi dan memperturutkan hawa nafsu. Tidak ada pahala atau dosa padanya.”

Agar Mendapat keberkatan

SOALAN :Bagaimana caranya agar saya mendapat keberkatan dalam akad nikah yang akan saya langsungkan nanti?

JAWAPAN :

Pernikahan yang paling berkatnya pernikahan yang paling menepati panduan syariat dan sunnah Rasulullah. Pelbagai hadis meriwayatkan betapa sederhananya majlis pernikahan Baginda. Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah pernah bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya isteri yang paling besar keberkatannya ialah yang paling sedikit perbelanjaan (nikah)-nya. ”(Riwayat al-Nasa’i) Sebagaimana ibadah membawa keberkatan, maka maksiat menghilangkan keberkatan. Oleh sebab itu,hindarilah perkara-perkara yang dibenci Allah dalam majlis perkahwinan saudari seperti keinginan untuk menunjuk-nunjuk, riyak, meniru budaya yang tidak islamik, mengganggu jiran tetangga dengan dentuman muzik yang memekakkan telinga, percampuran lelaki dan perempuan dan sebagainya.

Rukun Asas Nikah

SOALAN : Boleh ustaz jelaskan perkara-perkara asas yang wajib terdapat dalam akad nikah agar pernikahan tersebut sah secara syarak?

JAWAPAN :

Apa yang saudara tanyakan ini berkaitan dengan rukun-rukun nikah. Menurut Imam al-Syarbini, terdapat lima rukun nikah dalam mazhab Syafi‘i iaitu: bakal suami, bakal isteri, wali, saksi dan lafaz akad (sighah). Seorang lelaki bakal suami mestilah seseorang yang bukan sedang berihram, tidak dipaksa dan bukan mahram dengan calon isterinya. Calon isteri pula disyaratkan bukan dalam ihram, bukan isteri orang dan bukan dalam keadaan idah. Akad nikah tersebut mestilah berlangsung antara calon suami dengan seorang wali daripada pihak perempuan.

Seorang perempuan tidak boleh menikahkan dirinya sendiri, tidak boleh juga menjadi wali laki-laki. Wali mestilah seorang lelaki daripada keluarganya iaitu ayah. Jika tidak ada ayah, maka datuknya daripada sebelah ayah dan saudara lelaki kandungnya. Jika perempuan itu tidak memiliki keluarga, maka hakim (kadi) boleh menjadi walinya. Akad yang berlangsung antara kedua-dua orang ini mestilah dengan kalimah yang terang dan jelas, yakni menggunakan lafaz ijab (tawaran) daripada pihak wali seperti “aku nikahkan/kahwinkan engkau…”, dan qabul (penerimaan) dari pihak suami seperti “aku terima nikahnya/kahwinnya …”Antara lafaz ijab dan qabul itu, sebaik-sebaiknya tidak diselangi masa yang terlalu lama.

Selanjutnya akad nikah itu mesti dihadiri oleh dua orang saksi lelaki. Sama seperti wali, saksi pun mesti seorang Muslim, baligh, berakal,merdeka, lelaki dan adil (tidak fasik). Jika ada salah satu daripada syarat ini yang tidak cukup pada diri wali atau saksi, maka tidak sah akad nikah tersebut.

 perkahwinan

 

 

 

Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas