Menu

 

A+ A A-

CIRI-CIRI SUAMI IDAMAN

Semua insan, sama ada lelaki atau perempuan, pasti punyai ciri-ciri yang diidamkan oleh pasangan masing-masing. Pelbagai ciri-ciri yang diletakkan sehingga kadang-kadang terlalu susah untuk bertemu dengan “Mr. Perfect” atau “Mrs. Perfect”.

Manusia perlu sedar bahawa diri mereka tidak akan mampu mencapai tahap kesempurnaan. Ini kerana manusia itu lemah dan tidak sempurna.

Tidak salah menetapkan ciri-ciri yang dihajati kerana ia dianggap merancang masa depan yang lebih bahagia dan diredai Allah. Islam juga telah menerapkan beberapa ciri-ciri pasangan yang perlu dititik beratkan.

Ciri-ciri tersebut seperti yang terakam di dalam hadis baginda Rasulullah s.a.w.: “Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Muttafaq ’Alaihi)
Meskipun hadis ini menyebut tentang wanita, namun ia boleh diaplikasikan kepada kaum Adam juga.

Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala).” (Surah al-Tahrim 66:6)

Berdasarkan ayat Allah di atas, kita faham bahawa kaum Hawa yang perlu dibimbing. Lelaki diciptakan untuk membimbing. Begitulah sunatullah yang ditetapkan Allah untuk manusia. Justeru, tidak dapat tidak si suami perlulah melengkapkan diri dengan takwa, ilmu, sikap-sikap mulia seperti bersabar, ringan tulang, rajin, gigih, mudah berbincang dalam apa jua masalah, kreatif dalam menjalin komunikasi, mengambil berat dan sebagainya.

Hadis Rasulullah s.a.w. berbunyi:

“Berwasiatlah kamu supaya berlaku baik terhadap isteri-isteri. Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah s.w.t. dan kamu menghalalkan persetubuhan dengan mereka dengan kalimah Allah s.w.t.” (Riwayat At-Tirmidzi)

Sabda Nabi yang lain: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang baik budi pekertinya dan lemah lembut terhadap isterinya.” (Riwayat Abu Daud)

Dalam keadaan lain, al-Quran juga sentiasa menyarankan suami supaya berbuat baik dengan isteri mereka. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“…dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasa) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah s.w.t. hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (Surah al-Nisa’ 4:19)

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Lelaki yang paling baik ialah yang amat baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku. Tidak ada seseorang yang memuliakan wanita, kecuali dia seorang yang mulia. Tidak ada yang menghina wanita, kecuali orang yang rendah pekertinya.” (Riwayat Abu Daud)

Isteri perlu memastikan keadaan rumah tangga dan anak-anak dalam suasana terkawal dan baik. Manakala si suami diamanahkan mencari nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Suami yang bertanggungjawab akan memastikan keperluan isteri dan anak-anak terjaga rapi dan akan berusaha semampunya untuk menyempurnakan tanggungjawabnya.

Allah berfirman: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah s.w.t. kepadanya (sekadar yang mampu); Allah s.w.t. tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah s.w.t. akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (Surah alTalak 65: 7)

Hari ini, kaum wanita juga mula keluar bekerja membantu mencari nafkah, lantaran tuntutan hidup semakin meningkat naik dan suami dan isteri perlu berganding bahu mencari rezeki. Justeru, suami yang memahami, tidak akan membiarkan semua kerja di rumah atas bahu isteri semata-mata. Hiburkanlah hati isteri dengan membantu kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan mangkuk, menyapu, membantu isteri memasak dan sebagainya. Suami idaman adalah suami yang tidak kedekut dengan tenaga.

Wanita suka membuktikan kasih sayangnya dengan kata-kata. Manakala lelaki pula lebih suka membuktikan kasih sayangnya melalui perbuatan. Jadi, kaum lelaki perlulah bijak bersikap romantik terhadap isterinya kerana ia mampu menjana tali kasih yang berpanjangan. Suami perlu memahami akan keperluan nafkah batin isterinya kerana wanita itu dihiasi dengan sifat malunya. Jadi, perlulah ada persefahaman antara suami dan isteri di dalam hal ini.

Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka telah suci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah s.w.t. mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.” (Surah alBaqarah 2: 222)

Wanita itu fitrahnya lebih halus emosi berbanding lelaki. Wanita mudah untuk merajuk dan suka dipujuk, lebih-lebih lagi apabila bergelar isteri tetapi jika kena dengan gayanya, rajuknya hanyalah sebentar cuma perlu tahu bagaimana memujuk isteri anda. Antaranya, suami perlulah: Ambil tahu masalah yang dihadapi oleh isterinya. Ajak bersiar-siar. Sentuhlah isteri anda dengan lembut dan penuh kasih sayang. Banyakkan berbincang. Perlu tahu waktu-waktu sesuai untuk memujuk isteri. Memberi hadiah. Mengaku kesalahan diri dan meminta maaf. Isteri akan menumpahkan sepenuh kasih dan sayangnya kepada suaminya setelah meluncur selafaz akad yang berat. Dia akan sentiasa memenangkan suaminya. Maka suami juga seharusnya menghargai perasaan dan pengorbanan yang dicurahkan isteri. Duhai lelaki, satu rahsia yang perlu diketahui, senjata apabila berhadapan dengan isteri bukan hanya pada badan yang gagah tetapi kesabaran dan kebijaksanaan yang perlu dipamerkan. Selamat menjadi suami idaman dan suami yang diredai Allah!

Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood

Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Berkarier sebagai pendakwah dan sering muncul di tv sebagai panel jemputan Forum Perdana TV1, juga al-Kuliyyah, Motivasi Pagi, al-Hidayah, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 dan Halaqah di TV9. Sentiasa mendapat undangan ceramah, membentang kertas kerja dan seminar di seluruh negara dan di Brunei. Juga sebagai kolumnis beberapa majalah antaranya Anis, Harmoni, Nona dan Mingguan Wanita. Telah melahirkan lebih 40 album pelbagai tajuk (agama, motivasi dan tip) dalam bentuk VCD, CD dan kaset. Dianugerahkan "Outstanding Achievement" dalam penjualan album daripada Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas