Menu

 

A+ A A-

EKSPLORASI HATI

HATI ialah punca segala perlakuan manusia. Manusia melakukan maksiat berpunca daripada hati yang kotor kerana dihinggapi berbagai-bagai penyakit yang memudaratkan. Ramai orang gagal mengawal diri lantaran hati tidak bertindak sebagai pembimbing kerana manusia suka mengikut kata hati dan jarang menggunakan kehendak akal sebelum melakukan sesuatu.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun, kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (daripada syirik dan munafik).”(Surah al-Syu’ara 26: 88-89)

Ibn al-Qayyim menjelaskan dalam tafsirnya, daripada Ibn Abbas r.a., maksud hati yang selamat sejahtera ialah individu yang mempunyai akidah yang mantap dalam diri dan melakukan ibadah selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.

Sabda rasulullah s.a.w. bermaksud: “Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika sekiranya baik daging itu, maka baiklah seluruh diri manusia itu. Jika sekiranya buruk daging itu, maka buruklah seluruh diri manusia itu. Ketahuilah, bahawa ia ialah hati.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru apabila hamba berkulit hitam yang bernama Luqman al-Hakim diperintahkan oleh tuannya untuk membawa bahagian yang paling baik daripada seekor kambing yang telah disembelih, maka Luqmanmembawakan hati dan lidah. Apabila diminta pula membawa anggota yang paling buruk, Luqman juga membawakan bahagian yang sama.

Rasionalnya daripada tindakan beliau yang diberikan ilham ini, ingin memberitahu bahawa kepentingan menjaga hati agar ia selari dengan kehendak Allah. Apabila ia selari dengan kehendak Tuhannya, maka segala tindak-tanduknya merupakan hasil daripada ilham Allah yang dicampakkan ke dalam hatinya itu.

Daripada biasan hati yang bersih yang mendapat panduan Allah, lidah mengungkap perkataan kebaikan dan kebenaran.

Antara riadah atau latihan yang sering disaran oleh para ulama untuk membimbing hati ke arah takwa ialahhendaklah melatihnya agar sentiasa sukakan kebaikan. Jika kita melakukan sesuatu perbuatan yang berupa maksiat, hati itu mestilah melalui proses pengubatan dan pendidikan hati semula.

Menurut hadis sahih, riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Huzaifah, apabila seseorang melakukan maksiat, hatinya akan ditimpa titik hitam. Jadi ia perlu dibebaskan semula daripada kekotoran maksiat yang berbekas padanya itu.

Hati yang baik dan bersih akan memberi arahan kepada anggota tubuh badan yang lain agar sentiasa berbuat kebaikan dan meninggalkan segala   keburukan.Bagi mengubat dan menghidupkan hati, hendaklah jauhkan hati daripada segala racun yang boleh merosakkan dan membunuh hati secara senyap tanpa disedari. Hati yang sakit akan mati jika tidak diubati.

Bagaimana untuk mengubati hati sedangkan ia tidak dapat dilihat?

Untuk mengubat hati, hendaklah sentiasa berbaik sangka sesama manusia. Orang yang berbaik sangka akan mendapat pahala kerana terang hatinya dan tidak dicemari dengan sifat yang keji. Tidak perlu bersusah payah memikirkan hal yang tidak berfaedah dan tidak pasti kebenarannya. Selain itu, buanglah segala sifat hasad dengki yang bersarang dalam hati.

Hati juga akan terubat dengan mengamalkan senyuman agar sentiasa terpancar di wajah kita. Wajah orang yang tersenyum akan kelihatan ceria, tenang dan segar sentiasa. Di samping itu, kita juga hendaklah membuang segala sifat sombong, ujub, riyak, takabur dan bongkak kerana sifat ini bukan sahaja dibenci oleh Allah, malah seluruh manusia. Hiasi diri dengan sifat pemaaf untuk mengelakkan persengketaan, kerana setiap manusia itu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Sifat ikhlas hanya mengharapkan keredaan Allah mampu membersihkan hati kita daripada sifat mazmumah yang lain.

Hati juga dapat dididik dengan membiasakan diri menghadiri majlis ilmu, kerana orang yang sentiasa menghadirinya akan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah melalui barisan malaikat yang membanjiri majlis ilmu untuk memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka. Selain itu, menurut Ibrahim al-Khawas dalam sebuah nasihatnya, penyucian hati juga akan berlaku apabila kita sentiasa berzikir mengingati Allah, membaca al-Quran dan melakukan tahajud pada waktu malam, bergaul dengan orang yang soleh dan mengamalkan puasa sunat secara istiqamah. Beruntunglah bagi sesiapa yang berjaya memiliki hati yang berunsur baik kerana dia bukan sahaja akan menjadi orang yang taat dan beriman malahan mempunyai akhlak yang mulia.¤

 

          Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4

 


 

Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood

Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Berkarier sebagai pendakwah dan sering muncul di tv sebagai panel jemputan Forum Perdana TV1, juga al-Kuliyyah, Motivasi Pagi, al-Hidayah, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 dan Halaqah di TV9. Sentiasa mendapat undangan ceramah, membentang kertas kerja dan seminar di seluruh negara dan di Brunei. Juga sebagai kolumnis beberapa majalah antaranya Anis, Harmoni, Nona dan Mingguan Wanita. Telah melahirkan lebih 40 album pelbagai tajuk (agama, motivasi dan tip) dalam bentuk VCD, CD dan kaset. Dianugerahkan "Outstanding Achievement" dalam penjualan album daripada Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas