AWAS, SMS BERANTAI
- Ditulis oleh Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
- Kategori Hukum
- Read 6401 times
Apakah hukum mempercayai SMS berantai yang banyak menjanjikan pahala dan syurga serta mengancam akan ditimpa bala bagi mereka yang mengingkari?
Jawapan: Mengajak orang untuk mengingati Allah ialah amalan yang baik dan terpuji sama ada melalui percakapan, penulisan dan sebagainya. Selain itu, setiap perbuatan yang dilakukan atas tujuan tersebut juga akan mendapat pahala sehingga menyebabkan dirinya termasuk dalam golongan ahli syurga yang dijanjikan Allah. Namun begitu, perkara ini telah disalahertikan oleh sebahagian pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga sanggup menjanjikan sesuatu milik Allah dengan cara yang menyeleweng.
Antaranya menjanjikan bala atau neraka untuk golongan yang tidak mahu turut serta berdakwah melalui penyebaran SMS berantai yang semakin berleluasa pada hari ini. Penulis SMS seperti itu berdosa besar kerana telah menjanjikan sesuatu yang bukan milik mereka, bahkan ia hanya milik Allah. Mana mungkin seorang manusia boleh menjanjikan bala, dosa, pahala atau nikmat kepada orang lain? Justeru, ustaz menasihati para pembaca agar mengabaikan arahan yang terdapat dalam SMS berantai itu. Anggaplah ia telah dilakukan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab dalam urusan agama. Ingatlah, sesungguhnya dosa, pahala, bala, azab dan nikmat semuanya milik mutlak Allah.
Belajar al-Quran Tanpa Guru
Saya seorang yang sentiasa sibuk dengan urusan syarikat. Apa pendapat ustaz sekiranya saya belajar al-Quran dengan menggunakan perisian komputer sahaja?
JAWAPAN: Boleh mempelajari cara bacaan al-Quran menerusi perisian komputer jika dia seorang yang sudah mahir dan fasih terhadap teknik pembacaan al-Quran. Namun begitu, lebih baik jika mempelajari segala jenis cara bacaan al-Quran secara musyafahah (bersemuka) di hadapan seorang guru al-Quran yang mahir. Lain pula hukumnya bagi golongan yang jahil terhadap bacaan al-Quran. Mereka tidak dibenarkan mempelajarinya melalui perisian komputer semata-mata. Mereka perlu mempelajarinya di hadapan seorang guru agar tidak berlaku sebarang kesalahan yang tidak sepatutnya.
Bacaan al-Quran ini sangat unik.Pembacanya akan mendapat pahala, manakala orang yang mendengarnya pula akan turut mendapat pahala. Selain itu, al-Quran amat sukar dipelajari dengan hanya melalui perisian komputer. Ia memerlukan praktikal dan pembetulan terhadap bacaannya secara berulang kali oleh guru yang mahir dalam bidang al-Quran. Sekiranya seseorang itu hanya mempelajari teknik bacaan al-Quran melalui CD sahaja, dikhuatiri tidak akan ada sebarang penambahbaikan dalam bacaan al-Quran pada dirinya. Perbuatan sedemikian akan merugikan hidup seseorang yang tidak pandai membaca al-Quran.
Atas dasar itu, Nabi telah bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah golongan yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya”. (Riwayat al-Bukhari) Galakan seperti ini sebenarnya telah menyebabkan para sahabat mempelajari al-Quran dan membacanya di hadapan Baginda tanpa rasa malu dan jemu. Mereka berkata:“Sesungguhnya kami mengambil ayat al-Quran daripada Rasulullah sebanyak sepuluh ayat pada setiap pertemuan. Kami tidak akan berpindah kepada ayat-ayat lain sehinggalah bacaan kami diperbetulkan oleh Baginda. Tidak cukup sekadar itu, kami juga turut memahami ayatayat tersebut dan seterusnya beramal dengannya.” (Riwayat Ibn Abi Shaybah dan Ibn Jarir al-Tabari) Justeru nasihat saya, carilah guru demi al-Quran.
Masakan Orang Bukan Islam
Jiran bukan Islam memberikan makanan yang dimasaknya kepada saya. Bolehkah saya memakan makanan itu?
JAWAPAN: Harus memakan makanan yang dimasak oleh jiran bukan Islam sekiranya diyakini kandungan masakan tersebut berasaskan sumber yang halal dimakan. Jika didapati sumbernya daripada bahan yang haram, maka haram hukumnya memakan makanan tersebut. Terdapat dua penyelesaian terhadap masalah ini:
1. Tinggalkan makanan tersebut.
2. Meyakinkan diri dengan membaca “Bismillah” sebelum menjamah makanan yang dihidangkan sebagai langkah mengelak daripada waswas. Ini berdasarkan peristiwa yang berlaku kepada Aisyah. Beliau dan keluarganya telah dihadiahkan daging kambing yang disembelih dan orang yang menghadiahkan itu pula baru sahaja memeluk Islam. Ragu-ragu terhadap daging tersebut, Aisyah telah bertanyakan hal ini kepada Nabi. Lalu Baginda menjawab: “Sebutlah nama Allah pada daging tersebut dan makanlah.” (Riwayat al-Bukhari) Daripada hadis ini, para ulama berpendapat bahawa Nabi seakanakan melarang Aisyah daripada terus bertanyakan dan risau terhadap hal itu. Bahkan, Nabi juga tidak bersungguh-sungguh menanyakan hal tersebut kepada Aisyah. Apatah l agi bertanyakan hal itu kepada pemilik asal daging berkenaan.
Wallahu a‘lam.
Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim A.M.S
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12
Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, UKM. Kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam isu fiqah makanan dan kepenggunaan semasa bagi produk halal. Pernah menetap di Syiria antara tahun 1992 hingga 2002. Dalam tempoh itu, beliau sempat berguru dengan ramai ulama Syiria antaranya Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buty dan Dr. Mustafa al-Bugha. Kini
pensyarah UKM.