Menu

 

A+ A A-

HUKUM KUBUR BERTINGKAT

Saya ada mendengar desas-desus bahawa ada perancangan untuk membina perkuburan bertingkat. Boleh ustaz jelaskan isunya?

Jawapan :Pada prinsipnya, setiap jenazah dikuburkan dalam kubur yang berasingan. Jumhur fuqaha daripada mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali telah mengharamkan perbuatan tersebut selagi tiada keperluan yang mendesak sehingga ke tahap darurat seperti kawasan tanah perkuburan yang tidak mencukupi untuk menampung kadar jenazah yang ramai.

Manakala mazhab Hanafi pula menghukum perbuatan itu sebagai makruh sahaja. Hujah mereka ialah hadis peristiwa syuhada Uhud. Para sahabat mengadu kepada Nabi: “Ya Rasulullah, ramai dalam kalangan kami yang cedera dan meninggal dunia. Apa yang perlu kami lakukan?”

Sabda Nabi, maksudnya: “Galilah lubang sedalam dalamnya dan luaskan kawasannya. Kemudian letakkan dua atau tiga jenazah di dalamnya.”

“Ya Rasulullah, siapa yang perlu kami dahulukan?”

“Dahulukan mereka yang paling banyak menghafal al-Quran.” (Riwayat al-Tirmizi)

Berdasarkan kepada perbincangan para fuqaha yang berlandaskan peristiwa Uhud di atas, dapatlah disimpulkan bahawa sesebuah Negara Islam dibenarkan untuk membina sistem kubur bertingkat untuk kemudahan jenazah umat Islam.

Walau bagaimanapun, usaha tersebut mestilah menepati beberapa syarat seperti yang disebutkan oleh Majlis Fatwa Antarabangsa yang bersidang pada 26 Oktober 1963:

1.Pihak kerajaan di sebuah negara Islam telah mendapati bahawa tempat untuk menempatkan kawasan perkuburan orang Islam semakin terhad dan berkurangan.

2.Usaha ini perlu dilakukan secara menyeluruh untuk semua agama termasuklah Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya. Jika ia hanya dikhususkan untuk perkuburan orang Islam sahaja, maka hukum berbuat demikian adalah haram. Ini kerana terdapat penindasan dan diskriminasi terhadap hak umat Islam dalam sebuah negara Islam.

3.Dilakukan dengan penuh tertib dan adab supaya kemuliaan jenazah terpelihara.

4. Antara jenazah dengan jenazah mestilah dipisahkan dengan lahad berasingan atau dengan tanah yang berasingan sama ada ke atas atau ke kiri dan ke kanan.

Wanita Dilarang Solat Jenazah

Soalan :Saya baru kematian ayah. Ketika solat jenazah hendak dilaksanakan, saya ingin turut serta tetapi ada orang melarang. Menurutnya orang perempuan tidak boleh melakukan solat jenazah. Benarkah begitu?

Jawapan :Tidak benar. Tidak terdapat sebarang nas sama ada daripada al- Quran atau sunnah yang melarang kaum wanita berbuat demikian.

Imam al-Nawawi dalam al- Majmu berkata: “Kaum wanita turut disunatkan solat jenazah secara berjemaah sebagaimana disunatkan ke atas kaum lelaki. Namun, penglibatan mereka itu mestilah aman atau selamat daripada sebarang fitnah dan kemudaratan.”

Pandangan yang dijelaskan oleh al-Nawawi ini juga sebenarnya pegangan kebanyakan sahabat dan fuqaha terdahulu seperti Aisyah, al-Hasan bin Soleh, Sufyan al- Thawri, Imam Ahmad, Abu Hanifah dan ramai lagi. Cuma Imam Malik sahaja yang berpendapat bahawa kaum wanita tidak digalakkan solat jenazah secara berjemaah tetapi digalakkan mereka solat secara berseorangan.

Mandikan Jenazah Berlainan Jantina

pic 1Soalan :Bolehkah seseorang itu memandikan jenazah yang berlainan jantina dengannya?

Jawapan :Penentuan hukum bagi memandikan jenazah yang berlainan jantina perlu dibezakan antara tiga keadaan iaitu:

i.Suami memandikan isteri.

ii.Isteri memandikan suami

iii.Lelaki atau perempuan yang bukan mahram memandikan jenazah yang berlainan jenis.

Setiap daripada tiga keadaan tersebut mempunyai hukum yang berbeza antara satu dengan lain.

Hukum suami memandikan jenazah isterinya.

Para ulama termasuklah mazhab Syafi‘i telah bersepakat bahawa seorang suami harus memandikan jenazah isterinya. Antara dalilnya ialah tindakan Sayidina Ali bin Abi Talib yang telah memandikan jenazah isterinya Fatimah puteri Rasulullah. Tiada seorang pun sahabat yang membantah. Bahkan Fatimah sendiri berwasiat supaya jenazahnya dimandikan sama ada oleh suaminya atau Asma’ binti Abu Bakar.

Hukum isteri memandikan jenazah suaminya.

Hukumnya sama seperti hukum suami memandikan jenazah isterinya. Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ berkata: “Adalah tidak menjadi satu kesalahan bagi seorang isteri untuk memandikan jenazah suaminya.”

Antara hujahnya ialah wasiat Abu Bakar al-Siddiq yang meminta agar jenazahnya dimandikan oleh isterinya iaitu Asma’ binti ‘Umays dan wasiat tersebut telah dilaksanakan oleh Asma’ tanpa mendapat sebarang bantahan daripada para sahabat yang lain.

PERHATIAN: Walaupun hukumnya diharuskan, si isteri perlu memahami situasi dan keadaan terlebih dahulu. Sekiranya urusan permandian itu melibatkan ramai lelaki yang bukan mahram dan penglibatannya dalam urusan permandian akan menyebabkan aurat kelihatan dan terbuka kepada kaum lelaki yang berada di situ, maka, hukum berbuat demikian bertukar menjadi haram.

Namun jika keadaan itu selamat daripada sebarang fitnah aurat dan sebagainya, maka hukum berbuat demikian kekal harus.

Hukum lelaki atau perempuan yang bukan mahram memandikan jenazah yang berlainan jantina.

Jumhur ulama bersepakat bahawa sekiranya seorang perempuan meninggal dunia dan tiada bersamanya suami atau wanita-wanita yang boleh memandikannya, maka wajib ke atas kaum lelaki yang berada di situ melakukan tayamum ke atas jenazah tersebut hingga ke paras lengan di samping tapak tangan mereka berlapik dengan sesuatu yang boleh mencegah daripada bersentuhan dengan kulit jenazah. Mereka juga wajib memelihara mata daripada melihat kepada aurat jenazah perempuan berkenaan kecuali keadaan mendesak untuk tujuan itu.

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, UKM. Kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam isu fiqah makanan dan kepenggunaan semasa bagi produk halal. Pernah menetap di Syiria antara tahun 1992 hingga 2002. Dalam tempoh itu, beliau sempat berguru dengan ramai ulama Syiria antaranya Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buty dan Dr. Mustafa al-Bugha. Kini
pensyarah UKM.

Kembali ke atas