Menu

 

A+ A A-

FIQAH BER”FACEBOOK”

Menyamar dalam Facebook

Soalan: Saya mempunyai rakan-rakan yang suka berfacebook. Masalahnya ada rakan lelaki yang meletakkan gambar perempuan cantik dan nama perempuan supaya dia mudah berhubung dengan perempuan lain? Apakah hukum menyamar sebagai orang lain dalam Facebook?

Jawapan:

Hari ini terdapat banyak kes jenayah siber yang menyebabkan kerugian yang ditanggung umat Islam. Sebagai langkah berhati-hati, hokum menyamar sebagai orang lain dalam Facebook sama ada menggunakan gambar atau nama samaran adalah diharamkan.

Ini kerana terdapat unsur-unsur penipuan yang boleh memudaratkan banyak pihak. Ia bertepatan dengan sabda Nabi: “Sesiapa sahaja yang menipu, maka ia bukan daripada kami (umatku).” (Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan larangan menipu, sehinggakan golongan yang melakukannya tidak dianggap umat Nabi. Mungkin kerana perbuatan menipu, menyamar dan seumpamanya tanpa sebarang keperluan syarak boleh memberi impak negatif ke atas hubungan kemasyarakatan.

Contohnya, seseorang akan terpengaruh dan tertipu dengan gambar samaran yang menawan atau nama samaran yang dipaparkan dalam maklumat peribadi pemilik laman sosial tersebut. Dengan cara begini, pelbagai jenayah boleh berlaku. Ada kalanya boleh menyebabkan kerugian wang ringgit, maruah dan sebagainya. Kaedah fiqah telah menegaskan: “Jangan memudaratkan (diri kamu) dan jangan dimudaratkan (orang lain)”

Guna Nama Samaran

Soalan: Bagaimana pula menggunakan nama samaran dalam laman sosial seperti Twitter, Facebook dan sebagainya? Ramai juga orang yang meminta menjadi kawan saya di dalam Facebook, namun mereka tidak menggunakan nama sebenar.

Jawapan:

Hari ini terdapat pelbagai jenis nama samaran yang digunakan oleh pengguna laman sosial. Ada yang menggunakannya untuk tujuan baik, ada juga yang menggunanya untuk tujuan penipuan dan fitnah. Kedua-dua keadaan di atas mempunyai hokum yang berbeza mengikut tujuan dan maksudnya masing-masing. Perincian hukum berkenaan perkara ini sebagaimana berikut:

PERTAMA:

Menggunakan nama samara untuk tujuan baik tanpa sebarang motif jenayah dan maksiat adalah diharuskan. Ini kerana perbuatan tersebut sama seperti nama-nama samaran (kuniah) yang diamalkan oleh Nabi dan para sahabat. Sebagai contoh, kuniah Nabi ialah Abu al- Qasim. Manakala Abd al-Rahman pula dikenali sebagai Abu Hurairah. Perbuatan ini adalah dibenarkan kerana tiada niat untuk melakukan jenayah atau maksiat daripada nama-nama samaran tersebut.

Selain itu, penggunaan nama samara untuk tujuan siasatan dalam arena kepolisan juga turut dibenarkan. Sememangnya Islam telah meletakkan keutamaan terhadap pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Oleh sebab itu, syarak membenarkan segala usaha untuk memastikan kelima-lima perkara tersebut terjaga dengan baik.

Atas dasar itu juga, Nabi pernah menggunakan seorang penyiasat bukan Islam dalam peperangan Khandak untuk mendapatkan maklumat musuh. Maka, tidak menjadi satu kesalahan bagi pihak berkuasa polis, tentera dan seumpamanya untuk menyamar bagi tujuan-tujuan keselamatan.

KEDUA:

Menggunakan nama samara untuk tujuan menipu dan jenayah adalah haram di sisi syarak. Perbuatan sedemikian akan mengakibatkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain.

Al-Quran di wall Facebook

Soalan: Apakah hukum saya meletakkan ayat-ayat suci al-Quran dalam wall Facebook dengan tujuan ia dibaca oleh sahabat-sahabat FB untuk disedekahkan kepada arwah tertentu?

Jawapan:

Membaca al-Quran dengan tujuan menghadiahkan pahala bacaannya itu kepada si mati adalah tidak salah dan ia adalah dibenarkan. Ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): ‘Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka) akan Aku perkenankan permohonan doa mereka kepada-Ku.’” (Surah al-Baqarah: 186)

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah menyuruh manusia berdoa hanya kepada Allah kerana Dia pasti memberi tanpa pilih kasih. Justeru, amalan membaca ayat suci al-Quran dengan harapan pahalanya dapat disampaikan kepada si mati juga dianggap sebahagian daripada doa yang dibenarkan.

Walaupun begitu, tidak dinafikan terdapat pandangan yang mengatakan bahawa pahala bacaan itu tidak sampai kepada si mati kerana setiap anak Adam hanya bersama dengan amalan masing-masing. Saya berlapang dada dalam hal ini. Kita menghormati semua pandangan ulama. Cuma dalam isu ini, saya lebih bersetuju dengan pandangan yang mengatakan pahala bacaan boleh sampai kepada si mati dengan izin Allah.

Antara mereka yang berpegang dengan pandangan ini ialah jumhur mazhab Syafii dan kebanyakan mazhab Maliki. Manakala ulama kontemporari yang juga turut membenarkan perbuatan tersebut ialah Dr Said Ramadan al-Buti.

Hujah akal yang boleh kita ketengahkan di sini ialah kedudukan pahala yang merupakan hak milik mutlak Allah. Tiada manusia yang mampu menentukan sama ada pahala seseorang itu diterima ataupun tidak. Disebabkan semua orang tidak tahu sama ada amal soleh mereka diterima ataupun tidak, maka melakukan perbuatan tersebut adalah lebih baik dan tidak merugikan. Jika ia diterima, maka itu satu rahmat dan syafaat untuk kita. Sekiranya ia ditolak, maka itu milik Allah dan kita tiada hak untuk memaksa-Nya.

Walau bagaimanapun, masyarakat Islam khususnya di Malaysia, dinasihatkan agar jangan sesekali-kali menetapkan hari-hari tertentu untuk membacakan ayat-ayat suci al-Quran seperti hari ketujuh, empat puluh dan keseratus. Kerana perbuatan sedemikian termasuk dalam amalan bidaah yang terlarang.

Wallahu a‘lam.

 

USTAZ MOHD IZHAR ARIFF MOHD KASHIM

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz

 


 

Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, UKM. Kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam isu fiqah makanan dan kepenggunaan semasa bagi produk halal. Pernah menetap di Syiria antara tahun 1992 hingga 2002. Dalam tempoh itu, beliau sempat berguru dengan ramai ulama Syiria antaranya Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buty dan Dr. Mustafa al-Bugha. Kini
pensyarah UKM.

Kembali ke atas