Menu

 

A+ A A-

BILA WALI TAK BERSETUJU

Soalan: Saya telah lama menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua daripada saya. Kami lalu merancang untuk melangkah ke jenjang pernikahan. Namun, apabila saya bincangkan perkara itu dengan ibu bapa saya, keduanya tidak setuju saya menikah dengannya. Apa yang mesti saya lakukan? Bolehkah saya melangsungkan pernikahan ini tanpa izin ayah saya?

Jawapan:

RINGKASNYA: Izin wali adalah salah satu rukun nikah. Tidak sah pernikahan tanpa wali.

HURAIAN: Bapa berada pada kedudukan teratas dalam senarai keutamaan wali kerana dia adalah wali yang lebih hampir (wali aqrab) berbanding wali-wali lain. Rasulullah bersabda: “Mana-mana perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya batal. Maka perkahwinannya batal. Maka perkahwinannya batal.” (Riwayat Abu Dawud) Menurut mazhab Syafii, urutan keutamaan wali adalah seperti berikut:

 WALI2

Selagi mana seorang bapa masih hidup dan mampu melaksanakan tugas wali, maka perkahwinan itu hanya dapat dilakukan dengan persetujuannya.

Tukar wali

Soalan: Dalam kes saya, bapa menolak untuk menjadi wali. Bolehkah kalau saya meminta agar wali saya ditukar kepada wali hakim?

Jawapan:

RINGKASNYA: Boleh, jika memenuhi syarat-syaratnya.

HURAIAN: Keengganan bapa untuk menikahkan anaknya boleh menjadi sebab untuk memohon agar kuasa wali berpindah kepada wali hakim atau wali sultan. Secara umumnya, perwalian boleh berpindah kepada wali hakim atas faktor-faktor berikut:

1. Ketiadaan wali nasab sama sekali.

2. Wali nasab berjauhan dua marhalah (60 km) atau lebih.

3. Wali nasab tidak dapat dikesan.

4. Wali nasab enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang munasabah. Jika wujud sebab-sebab di atas, hakim Syarii atau kadi boleh memberikan persetujuannya atas perkahwinan itu sebagai wali sultan. Walau bagaimanapun, seorang anak dara hanya boleh dinikahkan melalui kuasa hakim sekiranya menepati kesemua keadaan di bawah:

1. Wali mujbir atau bakal suami tidak bermusuhan dengannya.

2. Bakal suami sekufu dengannya.

3. Bakal suami berkemampuan membayar mas kahwin pada kadar berpatutan.

Jika memenuhi syarat di atas hakim mempunyai kuasa untuk membenarkan perkahwinan berlaku melalui wali hakim. Walau bagaimanapun kaedah ini hanya sesuai jika usaha bersungguh-sungguh telah dilakukan untuk memujuk dan melembutkan hati bapa tidak berjaya.

Berkahwin di Luar Negara

Soalan: Saya dan calon suami saya pernah berbincang; jika ayah saya tetap enggan menjadi wali, kami bercadang berkahwin secara rahsia di luar negara. Apa pandangan ustaz?

Jawapan:

RINGKASNYA: Berkahwin secara rahsia di luar negara bukanlah satu pilihan yang baik.

HURAIAN: Jika calon suami itu memang sekufu dan baik, maka saya yakin masalah ini boleh diselesaikan tanpa perlu menikah di luar negara. Jika calon itu tidak sekufu atau mempunyai masalah lain seperti tidak berkemampuan dan tidak berakhlak baik, maka lebih baik saudari mengikut kehendak ibu bapa iaitu membatalkan hasrat berkahwin dengannya.

Selain itu, berkahwin di luar negara boleh mendatangkan risiko-risiko yang tidak baik. Terdapat sindiket yang menganjurkan majlis akad nikah yang tidak sah dengan ‘pak lebai’ yang sebenarnya bukan kadi yang sah. Nikah sebegini tidak sah.

Nikah yang dilangsungkan di luar negara ini sepatutnya didaftarkan semula di dalam negara. Namun tidak sedikit yang mengambil sikap enggan mendaftarkannya. Akibatnya perkahwinan itu dikira tidak wujud menurut undang-undang negara. Masalah akan makin meruncing jika timbul isu berkaitan penjagaan anak, tuntutan nafkah, dan seumpamanya. Biasanya yang menjadi mangsa ialah wanita.

Jika saudari memilih untuk berkahwin secara rahsia, kerumitan juga akan berlaku jika ibu bapa saudari mahu menikahkan saudari yang dianggap seorang dara. Jika ia berlaku, saudari terpaksa berterus terang, atau berpisah dengan suami pertama untuk berkahwin dengan jejaka pilihan ibu bapa selepas habis idah. Hakikatnya jika ia benar-benar berlaku, tentu akan mendatangkan masalah yang besar kepada saudari.

Justeru, pilihan yang terbaik ialah dengan mengelakkan diri daripada berkahwin secara rahsia di luar negara.

Wallahu a‘lam.

 

DR. FATHI YUSOF

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu13

 


 

Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas