Menu

 

A+ A A-

SEORANG MUSLIM MESTI BERBEZA

Soalan: Mutakhir ini semakin ramai generasi muda yang berpakaian menyerupai orang-orang kafir. Terutamanya setelah fenomena “Demam Korea” berjangkit dalam kalangan anak-anak muda kita. Mereka menyerupai artis-artis Korea dalam potongan rambut, pakaian dan lain-lain. Apa komen ustaz?

Jawapan:

Islam datang dalam bentuk aqidah, syariah dan akhlak. Tiga perkara ini adalah komponen asas bagi Islam. Inilah tiga perkara utama yang disebutkan dalam al-Quran.

Oleh itu, terdapat riwayat hadis yang menyebut kelebihan membaca surah al-Ikhlas, yakni pahalanya menyamai satu pertiga al-Quran. Menurut sebahagian ulama, ini kerana isi kandungan surah ini membahaskan aspek aqidah yang merupakan salah satu daripada tiga aspek di atas.

Islam juga menganjurkan agar setiap Muslim mempunyai jati diri yang zahir sebagai seorang Muslim. Ia boleh difahami sebagai penampilan diri seorang Muslim. Tujuannya agar dapat dikenali dirinya sebagai seorang Muslim menerusi penampilan zahirnya.

Rasulullah menganjurkan agar Muslim berbeza dengan bukan Muslim. Antaranya hadis berikut: “Berbezalah dengan golongan bukan Muslim. Dan simpanlah janggut, biarkan ia menjadi panjang dan nipiskanlah misai.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini mengandungi beberapa arahan. Pertama: Individu Muslim mesti berbeza dengan golongan bukan Muslim. Kedua: Salah satu contoh bentuk perbezaan itu ialah dengan menyimpan janggut dan menipiskan misai. Oleh itu, lelaki Muslim hendaklah melakukan perkara sedemikian, yakni menyimpan janggut dan menipiskan misai.

Hukum Menyerupai

Soalan: Apakah ini bermaksud kita diharamkan berpenampilan menyerupai orang bukan Islam?

Jawapan:

Dalam aspek penampilan diri, sesungguhnya menyerupai bukan Muslim tidaklah haram secara mutlak. Oleh itu, tidak wajib berbeza daripada golongan bukan Muslim. Ini dapat di analisa melalui beberapa perkara berikut :

1.Nabi memang memerintahkan supaya menipiskan misai, namun Imam Malik meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab memintal misainya apabila marah. Ini menunjukkan bahawa misai beliau panjang.

2.Fatimah al-Zahra pernah melihat bangsa Habshah beragama Nasrani meletakkan mayat di dalam bekas. Oleh itu, beliau berwasiat agar mayatnya juga diletakkan di dalam suatu bekas apabila meninggal. Abu Bakar al-Siddiq dan para sahabat mensolatkan jenazah Fatimah tanpa membantah perbuatan tersebut. Ini menunjukkan bahawa perintah menyalahi golongan bukan Muslim bukan satu kewajipan.

3.Nabi bersabda: “Bersolatlah kamu dengan selipar kamu, dan janganlah kamu menyerupai golongan Yahudi.” Para ulama tidak menghukum wajib solat memakai selipar, sebaliknya perintah ini hanya menunjukkan satu keharusan sahaja.

Niqab

Soalan: Bagaimana pula dengan niqab (tutupan wajah)? Saya sering melihat ramai juga wanita-wanita Muslimah yang memakai niqab. Adakah ini pakaian Islam yang wajib dipakai seorang Muslimah agar berbeza dengan orang kafir?

Jawapan:

RINGKASNYA: Memakai niqab bukan satu kewajipan.

HURAIAN: Penampilan diri perlulah dilihat selaras dengan maqasid syariah. Jika penampilan diri dalam bentuk yang wajib, maka ia wajib dilaksanakan. Penutupan aurat kepala bagi wanita merupakan satu kewajipan. Maka wanita Muslim mestilah meletakkan khimar iaitu tudung atas kepala mereka hingga menutup belahan dada mereka. Tiada kompromi dalam isu ini melainkan kalau nyawa terancam.

Adapun penampilan diri dengan memakai niqab, ia perlulah dilihat kepada suasana setempat. Jika undang- undang negara melarang, maka ketetapan undang-undang tersebut wajar dipatuhi. Ini kerana wajah wanita bukanlah aurat menurut majority ulama.

Jika wujud ketakutan masyarakat bukan Muslim terhadap wanita Muslim yang memakai niqab untuk menutup muka, maka ia sewajarnya dibuka. Jika terdapat kes di mana berlaku pengeboman berani mati dan suspeknya memakai niqab, maka ia wajar dibuka. Jika peraturan tempat kerja atau tempat pengajian mensyaratkan agar wajah tidak ditutup, amatlah elok peraturan tersebut dipatuhi demi kepentingan keselamatan.

Bagi minoriti Muslim di negara bukan Islam seperti Amerika, Britain, Australia dan sebagainya, mereka perlu meraikan suasana tersebut. Bagi Muslim yang berkunjung ke negara seperti ini, mereka juga perlu meraikan suasana.

Wallahu a’lam.

Janggut

Soalan: Ustaz ada menyebut tentang memelihara janggut. Adakah ianya satu kewajiban bagi lelaki Muslim memanjangkan janggut mereka agar berbeza dengan orang bukan Islam?

muslim2Jawapan:

RINGKASNYA: Memelihara janggut hukumnya sunat, bukan wajib.

HURAIAN: Hukum menyimpan janggut ini menjadi medan perbincangan para ulama. Isunya Nampak remeh dan kecil namun hukumnya adalah berat. Para ulama berbeza pendapat bagi perintah ini antara wajib, sunat dan harus. Terdapat ulama yang tegas menyatakan wajib hukumnya menyimpan janggut dan mengatakan:

1. Muslim yang mencukur janggutnya telah melakukan satu dosa kerana menyalahi perintah Nabi.

2. Muslim yang mencukur janggutnya telah menyerupai (tasyabbuh) golongan bukan Muslim. Tasyabbuh dengan golongan bukan Muslim adalah haram.

3. Lelaki Muslim yang mencukur janggutnya menyerupai wanita. Hukumnya haram juga.

4. Mencukur janggut termasuk dalam mengubah ciptaan Allah.

Dalam isu ini, penulis cenderung kepada pendapat ulama yang menyatakan bahawa menyimpan janggut hukumnya sunat, bukan wajib. Ini kerana beberapa sebab berikut. Antaranya sabda Nabi: “Sepuluh perkara daripada fitrah iaitu menggunting misai, menyimpan janggut, bersiwak, menyedut air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi tangan dan kaki, mencabut bulu ketiak serta mencukur bulu ariari.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini, menyimpan janggut dikategorikan dalam beberapa perkara sunat sebagaimana beberapa perkara yang lain yang disebutkan bersamanya.

Wallahu a‘lam.

USTAZ MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR (AL-JARUMI)

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu13

 


 

Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

  

  

Kembali ke atas