Menu

 

A+ A A-

IMAN TANPA AMAL DITOLAK

ALLAH menyeru golongan yang beriman dan meminta mereka melaksanakan amalan soleh sama ada dalam bentuk ibadah khas atau ibadah umum.

Kedapatan segelintir umat Islam yang mengaku beriman tetapi amal ibadahnya dan akhlaknya tidak menggambarkan keimanan yang sebenar. Ramai juga yang culas dalam perkara solat. Sememangnya bukanlah senang untuk konsisten dalam melaksanakan solat lima waktu setiap hari.

Bayangkan, kalau solat pun banyak juga yang hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, bagaimana dengan ibadah puasa kerana ibadah puasa boleh ditipu. Tiada siapa yang tahu sama ada kita berpuasa atau tidak. Makanan boleh disimpan dalam rumah dan boleh dibeli dengan banyak.

Islam dibina di atas tiga asas yang utama iaitu aqidah, syariah dan akhlak. Antara ketiga komponen ini, aqidah adalah asas yang paling utama dan tunjang kepada Islam. Tanpa aqidah, Islam akan terkubur dan segala amal soleh tidak akan dinilai di Akhirat nanti.

Persoalannya bagaimana keadaan iman tanpa amal? Adakah iman sebegini diterima oleh Allah? Jika direnung tak’rif iman, ada kalangan ulama yang menfasirkan iman sebagai tasdiq dengan hati. Tasdiq dalam erti membenarkan dan mempercayai sahaja. Manakala amal soleh dianggap sebagai pelengkap tetapi bukan syarat sahnya iman. Namun ada para ulama yang menafsirkan bahawa iman ialah tasdiq dengan hati dan beramal dengan anggota badan. Maka mengikut zahir tafsiran ini, iman tidak sah jika tiada amalan soleh.

Dalam satu riwayat hadis, Muaz ibn Jabal r.a. menunggang keldai bersama dengan Nabi s.a.w. Satu soalan diajukan oleh Nabi s.a.w. kepada Muaz. Soalannya berbunyi:

“Wahai Muaz! Adakah kamu mengetahui apakah hak Allah ke atas hamba-Nya dan apakah pula hak hamba ke atas Tuhannya?

Muaz pun menjawab bahawa Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Dengan itu, Nabi s.a.w. pun bersabda yang bermaksud: “Hak Allah ke atas hamba-hamba ialah mereka menyembah-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya akan sesuatu, manakala hak hamba ke atas Allah ialah Allah tidak menyiksa akan sesiapa yang tidak syirikkan-Nya akan sesuatu”.

Apabila mendengar kalam nabawi. Muaz bertanya kepada Nabi s.a.w. sama ada dia boleh memberitahu para manusia dengan berita gembira ini. Nabi s.a.w. pun bersabda yang bermaksud: “Janganlah engkau memberitahu mereka akan berita gembira ini kerana nanti mereka hanya bergantung kepada perkara tersebut sahaja”.

Dalam al-Quran sendiri dibezakan juga antara iman dan amal. Allah menyeru golongan yang beriman dan meminta mereka melaksanakan amalan soleh sama ada dalam bentuk ibadah khas atau ibadah umum. Sebagai contoh, dalam surah al-A’sr iaitu Allah menceritakan golongan yang rugi kecuali golongan yang beriman, beramal soleh, berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.

Maka secara zahir, ada perbedaan antara iman dan amal soleh. Maka segelintir umat Islam masih ada yang enggan beramal ibadah kerana yang paling penting ialah keimanan kepada Allah.

Bagaimana kita perlu menghadapi pemikiran sebegini?

Pemikiran yang mungkin ada kebenaran tetapi ia menghasilkan impak yang negatif dalam diri dan masyarakat. Teori-teori dan tak’rif berkaitan iman amat banyak. Namun persoalan iman dan amal tidak boleh dipisahkan.
 
Iman sentiasa dikaitkan dengan amal dalam al-Quran.Dalam hadis juga tersebut, walaupun secara zahirnya iman sah tanpa amal namun mudharatnya adalah besar. Oleh sebab itu, di sana ternyata hikmah mengapa Nabi s.a.w. menegah Muaz daripada memberitahu konsep ini kepada orang lain.

Iman Bertambah dan Berkurang

Iman boleh bertambah dan berkurang. Pertambahan iman dilihat melalui aspek luaran seperti kuat beramal soleh. Manakala iman yang makin menipis dilihat dari sudut luaran yang tidak menampakkan amal soleh. Akhlak yang buruk menggambarkan iman yang sedikit.
Penipisan iman dan pengurangan iman ini boleh sampai ke tahap kosong. Ini bermakna sudah tiada iman ketika itu.

Solusi yang penting di sini ialah keimanan perlu disuburkan dan dimantapkan. Penyuburan dan pemantapan iman mesti dilakukan melalui ilmu dan amal ibadah.

Contoh mudah antara iman dan kufur ialah antara celik dan buta. Celik mempunyai kekuatan yang berbeza. Walaupun celik dan mampu melihat, ada yang memakai kaca mata. Kenapa? Ini kerana kekuatan mata melihat sudah berkurangan. Maka ada yang rabun jauh, rabun dekat, rabun malam dan sebagainya. Walapun rabun, ia masih dikira sebagai celik. Begitulah iman. Walaupun amalnya tidak sebagaimana iman, namun akar iman masih dikira wujud. Maka penghakisan iman boleh berlaku.

Oleh sebab itu, dalam satu riwayat hadis ada berbunyi yang bermaksud: “Tidak berzina seseorang itu jika ketika ia berzina dalam keadaan beriman.”

Semua itu adalah satu petanda kehakisan iman. Walaupun iman masih ada, namun ia tidak zahir dan tidak menyerlah. Hal ini sebagaimana orang celik yang memejamkan mata. Sudah tentu ketika itu, ia tidak mampu melihat apa-apa. Bagaimana dia masih dapat melihat semula? Sudah tentu dengan membuka matanya. Maka iman yang hilang ketika melakukan maksiat akan bersinar kembali jika kita bertaubat. Namun kemungkinan ia akan terus hilang jika kita terus bergelumang dengan maksiat.

Jadi, pengukuhan iman mestilah melalui amalan soleh. Biarlah iman tanpa amal ini ditinggalkan jauh-jauh. Sebaliknya iman mesti dibajai dengan amal soleh yang berterusan.

 


Ustaz Nidzam Abd Kadir

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.7

 


 

Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

  

  

Kembali ke atas