Menu

 

A+ A A-

JANGAN HINA AGAMA MEREKA

SOALAN: Baru-baru ini tersebar di media beberapa kes penghinaan kepada simbol-simbol yang berkaitan dengan Islam. Bagaimana pandangan Islam terhadap tindakan tersebut?

Menghina merupakan satu tindakan yang salah dan tidak wajar dilakukan. Hukumnya haram. Sesiapa yang menghina orang lain, maka dia berdosa.

Penghinaan dalam Islam tidak terhad kepada penghinaan terhadap agama sahaja. Islam turut melarang menghina ketidaksempurnaan tubuh badan seseorang. Apatah lagi menghina kecacatan seseorang dari segi pertuturan dan gaya jalannya.

Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sekumpulan lelaki merendah-rendahkan sekumpulan yang lain. Boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka.” (Surah al-Hujurat: 11)

Perbuatan memperlekehkan, mengutuk, mencerca dan sebagainya termasuk dalam maksud menghina. Al-Quran menegah tindakan sebegini, lebih-lebih lagi sekiranya Islam yang dihina. Jika seorang Muslim sendiri yang menghina Islam, maka rosaklah akidahnya.

Tempat Kotor

SOALAN: Katakan seseorang mendakwa bahawa sungai Gangga, tempat suci bagi masyarakat beragama Hindu sebagai sungai yang kotor dan mengandungi banyak kuman. Adakah tindakan seperti ini diharuskan dalam Islam?

Tindakan ini salah kerana tidak menghormati perasaan masyarakat beragama Hindu. Apabila kita menyatakan sedemikian, masyarakat Hindu juga boleh menyatakan yang sama tentang Islam. Mereka boleh mendakwa bahawa Makkah adalah kawasan yang kotor, banyak sampah, berdebu dan panas.

Bagaimana perasaan umat Islam apabila ada orang bukan Muslim yang menghina tempat suci umat Islam? Sudah tentu umat Islam akan tersinggung, lalu timbul perasaan dendam. Maka jelas di sini bahawa tindakan menghina mana-mana agama sekalipun adalah salah.

Al-Quran menyatakan: “Dan janganlah kamu memaki sembahansembahan yang mereka sembah selain Allah. Kerana nanti mereka akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.” (Surah al-An’am: 108)

Lihat, tindak balas ini sudah dimaklumkan dalam al-Quran. Ayat ini diwahyukan sebagai pedoman kepada umat Islam agar tidak menghina agama-agama lain selain Islam.

Apabila umat Islam menghina tuhan-tuhan yang disembah selain Allah, maka masyarakat bukan Islam akan turut menghina Allah. Tindakan menghina Allah merupakan dosa besar tambahan kepada dosa syirik. Akibatnya, masyarakat akan porakperanda dan perbalahan akan mudah terjadi.

Tidak reda

SOALAN: Bukankah umat Islam tidak boleh reda dengan agama selain Islam? Maka apa salahnya jika kita mengutuk agama lain?

Benar, sikap tidak reda terhadap mana-mana agama selain Islam merupakan tuntutan al-Quran. Ini kerana agama yang diredai Allah hanyalah Islam. Satu kaedah dalam perbahasan akidah menyatakan: “Reda dengan maksiat adalah maksiat, dan reda dengan kufur adalah kufur.”

Namun, soal reda adalah soal hati. Dalam hati setiap Muslim, mesti tersemat suatu prinsip bahawa ia tidak reda Allah disyirikkan dengan sesuatu yang lain. Boleh jadi juga dalam setiap hati pengikut agama lain tersemat perkara yang sama.

Dalam Islam, rasa tidak reda ini tidak boleh ditunjukkan dengan tindakan menghina agama lain. Sebaliknya Islam menganjurkan dakwah, nasihat yang baik dan dialog dengan golongan bukan Islam. Dialog pula mestilah dalam keadaan yang lebih baik dengan perkataan dan cara penyampaian yang baik.

Maka marilah kita hayati firman Allah: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui tentang sesiapa yang tersesat dari jalan-Nya. Dan Dialah yang lebih menge tahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Nahl: 125)

jangan-hina-agama-mereka-3
jangan-hina-agama-mereka-4

Penceramah Menghina

SOALAN: Jika ada seorang penceramah daripada kalangan umat Islam yang menghina agama selain Islam, apa yang patut kita lakukan?

Dalam Islam, kebenaran lebih utama untuk diikuti. Sikap segelintir penceramah agama yang menghina agama selain Islam bertujuan menjauhkan masyarakat Islam daripada agama tersebut. Misalnya, kerana tidak mahu umat Islam terpengaruh dengan agama Kristian, maka cerita palsu dan pelik tentang agama Kristian dicipta.

Niatnya baik namun caranya salah. Niat yang baik untuk menjauhkan masyarakat daripada pengaruh agama tersebut mesti dilaksanakan dengan cara yang betul. Al-Quran tidak mengajar umatnya berbohong, memfitnah dan sebagainya untuk mencapai sesuatu tujuan yang baik.

Oleh itu, tindakan sedemikian mesti ditegur. Ini bukan bermakna kita reda dengan agama tersebut, tetapi kita menolak pembohongan dan fitnah menjadi asas dakwah.

Jika diimbas kembali lipatan sejarah, kita tidak akan mendapati suatu Sunnah Nabi pun yang membenarkan perbuatan menghina mana-mana agama.

Wallahu a‘lam.

USTAZ MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR (AL-JARUMI)

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

  

  

Kembali ke atas