Menu

 

A+ A A-

SLOGAN BERPEGANG TEGUH DENGAN AGAMA MASING-MASING

ADA seorang kenamaan beragama Islam yang merasmikan satu program kemasyarakatan yang dihadiri oleh masyarakat berbilang kaum. Dalam ucapannya, beliau mengatakan: “Sama-sama kita berpegang teguh dengan agama masing-masing...”

Apa hukum ucapan tersebut? Adakah ucapan sebegini menjejaskan akidah seorang Muslim?

Pertama, Islam menjamin kebebasan beragama. Maka tiada paksaan untuk mana-mana individu menerima Islam sebagai agama dan akidahnya.

Kedua, setakat ini berdasarkan sedikit ilmu yang ada, penulis tidak menemui satu nas syarak dalam al-Quran mahupun hadis yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah menyarankan agar setiap pengikut agama masing-masing berpegang dengan agama mereka. Sebaliknya Nabi s.a.w. mengajak mereka untuk beriman mentauhidkan Allah. Maka amat wajar kita sentiasa berusaha mengajak Non Muslim kepada keimanan kepada Allah.

Ketiga, ucapan agar setiap pengikut agama berpegang teguh dengan agama masing-masing ada masanya perbuatan tersebut dikira haram dan ada masanya ia diharuskan.

berpegang-teguh-dgn-agama-1

Boleh ustaz huraikan tentang bila masanya pengucapan kata-kata tersebut menjadi haram?

Ia menjadi haram apabila wujud kefahaman pluralism agama dalam diri seorang Muslim. Pluralisme agama ialah konsep bahawa semua agama sebenarnya sama sahaja membawa kepada kebenaran. Sedangkan hakikatnya wujud perbezaan antara agama. Islam agama yang berteraskan tauhid kepada Allah. Hanya ada satu Tuhan yang sebenar iaitu Allah. Agama-agama lain tidak membawa kefahaman satu tuhan, sebaliknya mempunyai kepelbagaian kuasa.

Maka dalam aspek akidah, sudah wujud perbezaan. Oleh sebab itu, kefahaman pluralisme agama akan membawa kepada sikap mengakui kebenaran agama selain Islam. Walhal sudah jelas bahawa Allah tidak reda terhadap sebarang kekufuran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Jika kamu kafir, maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (iman)mu dan dia tidak meredai kekafiran bagi hamba-Nya. Dan jika kamu bersyukur, nescaya Dia meredai bagimu kesyukuranmu itu...” (Surah al-Zumar 39: 7)

Justeru, jika kata-kata itu diucapkan dengan anggapan bahawa semua agama adalah sama, maka ia bertentangan dengan akidah Islam.

berpegang-teguh-dgn-agama-2

Bagaimana pula tentang masa yang dibolehkan untuk mengucapkan kata-kata seperti itu?

Ia bergantung kepada niat masing-masing:

1 Jika niatnya agar setiap ahli masyarakat menjadi insan yang baik dalam aspek akhlak, maka ia adalah harus. Ini kerana pegangan kepada agama akan mengajar insan untuk menjadi baik. Baik kepada insan lain.

2 Jika niatnya agar wujud keharmonian hidup dalam masyarakat, maka ia adalah baik. Keharmonian masyarakat adalah perkara yang diutamakan dalam Islam. Islam suka dan menganjurkan perdamaian.

3 Jika niatnya agar masyarakat celik kepada agama dan terus  mencari hakikat agama yang sebenar, maka ia juga adalah harus. Muslim tidak boleh memaksa Non Muslim untuk menerima Islam. Apa yang Islam sarankan ialah nasihat dan dialog yang baik. Jika ucapan tersebut menggalakkan lagi dialog antara agama supaya akan terserlah kebenaran Islam, maka ucapan ini juga harus.

Mohammad Nidzam Abdul Kadir (al-Jarumi)

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

  

  

Related items

Artikel berkaitan: « MURTAD MANDI AIR SUSU »
Kembali ke atas