Menu

 

A+ A A-

CHATTING DENGAN BUKAN MAHRAM

Ditulis oleh 

Dalam keseronokan komunikasi siber, perbualan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram sudah menjadi kebiasaan. Saya inginkan penjelasan tentang hokum berinteraksi menggunakan saluran komunikasi siber secara tertutup seperti melalui talian e-mel, mesej peribadi Facebook, Whatsapp dan sebagainya antara berlainan jantina. Adakah syarak membenarkan atau ada garis panduan yang boleh diikuti?

Jawapan

Islam amat menekankan soal penjagaan kehormatan lelaki dan wanita. Kehormatan ini merupakan tanda kemuliaan manusia berbanding makhluk lain di atas muka bumi ini. Oleh yang demikian, Islam menggariskan batas-batas pergaulan agar manusia tidak terjebak dalam percampuran yang boleh menyebabkan tergadainya kehormatan.

Jika lelaki dan wanita terlalu bebas bergaul mesra, mereka amat mudah terheret ke lembah maksiat.

Antara batas yang ditetapkan oleh syarak adalah seperti sabda Rasulullah: “Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali dengan mahramnya dan janganlah seorang wanita bermusafir melainkan dengan mahramnya.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Baginda menyebut bahawa syaitan akan turut sama menyertai lelaki dan wanita yang berdua-duaan.

Pada asalnya tiada larangan untuk seorang wanita berkomunikasi dengan seorang lelaki sama ada secara terbuka atau tertutup.

Komunikasi terbuka di sini merujuk kepada komunikasi yang melibatkan orang lain dan tidak khusus kepada dua orang yang berkomunikasi. Komunikasi begini agak sukar menimbulkan fitnah antara lelaki dan wanita. Perasaan malu menghalang mereka berdua terlibat dalam maksiat di khalayak ramai.

Walau bagaimanapun, ada kemungkinan berlaku fitnah dalam komunikasi tertutup antara seorang lelaki dan wanita. Komunikasi ini walaupun asalnya bertujuan baik, kadang kala ia boleh terpesong dan disalahgunakan untuk memenuhi kehendak nafsu.

Oleh yang demikian, haram hukumnya jika sesuatu komunikasi mengandungi pujuk rayu, kata-kata pujian atau apa sahaja yang bertujuan untuk menggoda dan merangsang nafsu. Mudah-mudahan kita semua dipelihara daripada segala bentuk maksiat yang dilarang oleh Allah.

Online dengan Tunang

Bagaimana jika wanita yang saya ajak berbicara itu tunang saya sendiri? Kami jarang bertemu kerana jarak yang memisahkan. Internet sahaja satu-satunya cara untuk kami berhubung selain telefon.

Jawapan

Ikatan pertunangan hanyalah satu perjanjian untuk mendirikan rumah tangga. Ia tidak mengubah hokum yang membatasi percampuran antara lelaki dan wanita.

Oleh itu, sebarang bentuk komunikasi secara atas talian dengan tunang perlu dilakukan dengan bijak agar kedua-dua pihak tidak terjebak dengan maksiat. Komunikasi dalam tempoh ini diperlukan untuk tiga tujuan.

Pertama, untuk lebih mengenali hati budi antara satu sama lain secara terhormat tanpa melampaui batas. Perkenalan ini dapat membantu dalam membina rumah tangga yang utuh atas dasar sikap berterus terang dan jujur.

Kedua, untuk memastikan kedua-dua pihak rasa terjamin dengan ikatan yang wujud. Jika langsung tiada komunikasi sepanjang pertunangan, kemungkinan akan timbul keraguan hingga membuka kepada pintu gangguan pihak ketiga atau seumpamanya.

chatting-dengan-bukan-mahram-2

Ketiga, komunikasi dengan tunang perlu bagi membincangkan persiapan perkahwinan. Prinsipnya, kedua-dua pihak perlu menghindari godaan nafsu syahwat dan mengehadkan komunikasi sekadar keperluan bagi mengelakkan dosa dan maksiat.

Online dengan Isteri Orang

Saya sudah berkahwin. Satu hari, seorang kawan lelaki ketika sekolah rendah dahulu menegur saya melalui mesej peribadi di Facebook. Setelah beberapa kali berbual, tiba-tiba dia menyatakan bahawa dia sukakan saya. Bagaimana harus saya lakukan, ustaz?

Jawapan

Terdapat peringatan khusus kepada kaum Muslimin agar tidak merosakkan rumah tangga orang lain.

Rasulullah bersabda: “Dan sesiapa yang merosakkan hubungan seseorang dengan isterinya atau hamba sahaya yang dimilikinya maka ia bukan dari golongan kami.” (Riwayat Ahmad)

Menurut hukum syarak, seseorang lelaki diharamkan melamar isteri orang lain atau perempuan yang dalam idah talak raj’i. Melamar di sini termasuklah ucapan atau mesej secara ta’ridh (sindiran) iaitu perkataan yang boleh ditafsirkan sebagai berminat untuk menjadikannya sebagai isteri. Contohnya seperti kata-kata ‘awak memang cantik’, ‘ramai orang sukakan awak’, ‘saya rasa tenang bila bersama awak’ atau seumpamanya. Hukumnya lebih jelas haram jika lafaz itu dibuat secara jelas (tasrih). Contohnya ‘kalau boleh saya nak jadikan awak isteri’, ‘alangkah bahagianya kalau awak isteri saya’ dan ‘saya sedia berkahwin dengan awak selepas ketiadaan suami awak’ atau seumpamanya.

chatting-dengan-bukan-mahram-3

Dalam situasi ini, puan haruslah menolak hasratnya itu dengan cara yang baik. Penting untuk puan mengingatkannya bahawa puan sudah bersuami. Jika dia masih sukar menerimanya, hentikanlah daripada melayan sebarang mesej darinya. Insya-Allah, lama kelamaan dia akan memahami.

Kesimpulannya, pengguna saluran komunikasi siber perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam perkara yang diharamkan ketika menggunakan medium ini. Elakkan perkara yang boleh menjurus kepada dosa. Gunakanlah nikmat Internet dan gajet ini untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukannya untuk mengikut hawa nafsu sehingga boleh menggoyahkan institusi keluarga dan masyarakat.

Wallahu a‘lam.

DR. FATHI YUSOF

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Read 45801 times
Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.