Menu

 

A+ A A-

BERSANDING PATUH SYARIAH

SOALAN: Saya akan berkahwin pada akhir tahun ini. Antara perkara yang merisaukan saya ialah majlis kenduri kahwin nanti. Ibu bapa saya beriaia sangat mahu menjadikan majlis itu besar dan meriah sedangkan saya lebih suka ia diadakan secara sederhana. Salahkah apa yang saya inginkan ini?

JAWAPAN

Hukum mengadakan kenduri kahwin atau yang disebut walimah adalah sunat muakkad (yang digalakkan). Ia dapat difahami daripada sebuah riwayat yang menyebut: “Nabi mengadakan walimah untuk perkahwinannya dengan Safiyyah binti Huyay dengan suwaiq (bijian campuran gandum dan barli) dan kurma.” (Riwayat al-Tirmizi)

Baginda bersabda kepada Abdul Rahman bin Auf: “Buatlah walimah walaupun dengan menyembelih seekor kambing.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut para ulama, kadar minimum bagi orang kaya untuk mengadakan walimah adalah dengan seekor kambing. Manakala bagi orang miskin, kadarnya mengikut kemampuannya.

Tiada penetapan kadar maksimum bagi jamuan dan majlis walimah. Namun dalam majlis itu mestilah tidak berlaku pembaziran, tidak berhutang atau mengadakan sesuatu hingga mengetepikan keperluan lain yang lebih penting.

Mengenai soalan saudara, perbincangan dengan ibu bapa penting untuk mencapai kata sepakat. Minda kita harus sedari awal lagi ditetapkan bahawa perkahwinan adalah suatu ibadah. Maka bermula daripada persiapan pertama, kita perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa semuanya perlu mengikut ketetapan syariat. Berpesanlah kepada setiap individu yang terlibat dalam urusan sesuatu walimah agar mengutamakan keikhlasan dan mengelakkan rasa riyak serta bermegah-megah.

Amalan Hindu?

SOALAN: Seperkara lagi adalah dari sudut persandingan. Saya dengar bermacam-macam pandangan tentang persandingan ini, termasuklah yang mengatakan ia amalan agama Hindu. Saya nak dapatkan kepastian, apa sebenarnya hukum bersanding, ustaz?

JAWAPAN

bersanding-patuh-syariah-2

Yang dikatakan persandingan adalah pengantin duduk di atas pelamin yang dihias indah dengan memakai busana pengantin dan ditonton oleh orang ramai atau orang tertentu sahaja.

Tujuan asal persandingan adalah untuk memperkenalkan pengantin kepada tetamu. Tetapi caranya berkait rapat dengan adat dan budaya tempatan. Ada juga yang beralasan bahawa bersanding hanya sekali, maka pelamin sangat penting untuk merakam kenangan hari perkahwinan dalam gambar dan video dengan latar belakang yang indah.

Sebaik-baiknya persandingan dielakkan. Tetapi jika hendak dilaksanakan juga, maka ia perlu menepati syariat. Tinggalkan segala unsur yang berlebih-lebihan dan pilihlah kesederhanaan. Malah, lebih baik jika persandingan itu diubah suai konsepnya agar sesuai dengan tujuan semasa dan kehendak agama.

Tentang kaitan persandingan dengan amalan agama Hindu, terdapat beberapa pandangan ulama tentang isu ini. Sebahagiannya melarang persandingan secara mutlak kerana mengikut ajaran agama lain. Pandangan ini berdasarkan prinsip Islam yang mengharamkan meniru amalan agama lain.

Sebahagian ulama lain melihat amalan bersanding ini sudah sebati dengan budaya Melayu dan tidak menjadi identiti khusus bagi agama Hindu. Namun, jika sesuatu persandingan disertakan dengan upacara merenjis, menepung tawar, atau amalan-amalan pemujaan, maka dengan jelas ia menyerupai amalan Hindu.

Karaoke

SOALAN: Perkara lain yang saya fikirkan adalah tentang berkaraoke sewaktu majlis. Bagi jiran-jiran saya, tidak meriah sesuatu majlis perkahwinan tanpa karaoke. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?

JAWAPAN

Hari perkahwinan adalah hari kesyukuran. Cara terbaik menyatakan kesyukuran adalah dengan kembali kepada Allah. Tetapi kita juga boleh meluahkan kesyukuran dan kegembiraan dengan sesuatu yang dapat memeriahkan suasana dan menghiburkan. Rasulullah pernah mengizinkan pukulan rebana dan nyanyian kanak-kanak pada majlis keraian. Sabda Baginda: “Meriahkanlah pernikahan.” (Riwayat Ibn Hibban)

Memeriahkan majlis perkahwinan dianggap perlu agar terdapat perbezaan antara perkahwinan yang dibuat secara terbuka dengan perzinaan secara diam-diam. Walau bagaimanapun, persembahan itu mestilah benar-benar bertujuan mensyukuri nikmat Allah, memeriahkan majlis mengikut sunnah, di samping mengajak hadirin untuk mengingati Allah.

bersanding-patuh-syariah-3

 

DR. FATHI YUSOF

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas